BERSAMA MEMUGAR ASPIRASI PERJUANGAN, MEMBINA KEBERDAYAAN GERAKAN

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad s.a.w. dan sekalian para rasul.

Assalamualaikum warahmatulLahi wabarakatuh.

MUKADIMAH

Alhamdulillah, kita rafa’kan kesyukuran selayaknya ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin dari-Nya jua, kita berkumpul di dewan yang permai ini bagi melangsungkan Perhimpunan KARISMA Nasional 2006. Mewakili barisan kepimpinan KARISMA Nasional, saya mengalu-alukan kehadiran para tetamu, para perwakilan dan para pemerhati yang hadir dari segenap pelusuk tanahair. Setinggi penghargaan saya tujukan buat KARISMA Zon 2 selaku tuan rumah yang telah berusaha memberikan yang terbaik. Moga perhimpunan kita yang berlangsung dalam kehangatan iman dan ukhuwwah pada hari ini mampu mengundang rahmat Allah s.w.t.

Kehadiran para jemputan kehormat termasuk barisan mantan pimpinan utama KARISMA ke majlis ini amat besar ertinya. Mereka adalah antara contoh du’at yang cekal, tabah dan kental mengharungi segala dugaan dan ujian pasca graduasi sehingga ke hari ini dan insya-Allah selamanya. Kehadiran mereka juga telah menzahirkan ikatan kasih yang mulia, atas dasar iman dan taqwa yang pasti kekal tidak terungkai. Semangat dan sikap yang ditunjukkan wajar dijadikan tauladan dan disemai di dada setiap dari kita yang hadir. Justeru, sama-sama kita pasakkan azam dan berdoa agar selamanya kita terus kekal di dalam bahtera dakwah ini; bagi menjalankan amanah sebagai seorang ‘abd dan khalifah, walau dilanda ombak badai yang makin lama makin mencabar ketahanan diri.

Perhimpunan ini adalah forum terpenting yang memberi ruang kesempatan kepada para perwakilan bersuara menyentuh perjalanan KARISMA, membincangkan isu-isu, menyuarakan pandangan, menyarankan cadangan dan merumuskan kesepakatan; agar gagasan rahmatan lil-alamin yang kita dokongi mampu difahami dan diimani masyarakat, dalam usaha melangsungkan perjuangan warisan anbiya’ ini. Dinamisme organisasi mampu dipertingkat, jika perwakilan secara jujur, ikhlas, berani dan tegas, menyuarakan kebenaran. Pada masa yang sama, kepimpinan yang memandu organisasi akan menjadi bertambah berkesan, jika pemimpin pula bersedia, dengan berlapang dada dan berfikiran terbuka, menerima dan memberi perhatian kepada setiap teguran, pandangan, saranan dan cadangan yang disuarakan. Hakikatnya kita semua menggalas amanah yang sama dan akan dipertanggungjawabkan di hadapan rabbul-jalil kelak.

TUMPUAN UCAPAN

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah,

Pemilihan tema “Bersama Memugar Aspirasi Perjuangan, Membina Keberdayaan Gerakan” bertujuan memberi penegasan terhadap keperluan roh perjuangan ini untuk disebar, dikongsi dan disuburkan bersama dengan angkatan muda dan masyarakat luar amnya. Berikut adalah perkara yang akan saya sentuh pada hari ini:

  1. 1. Seputar isu umat
  2. 2. Matlamat hidup
  3. 3. Palestin simbol perjuangan ummah
  4. 4. Malaysia di pentas dunia
  5. 5. Citra politik generasi muda
  6. 6. Fikrah Islamiyyah dominan di kampus
  7. 7. Ke mana KARISMA?
  8. 8. Memugar aspirasi perjuangan, membina keberdayaan gerakan
  9. 9. Pembangunan ahli
  10. 10. Pemantapan organisasi
  11. 11. Aktivisme dakwah

Semoga perhimpunan kita ini diberkati Allah s.w.t.

SEPUTAR ISU UMAT

Sidang perwakilan dan pemerhati yang dikasihi,

Sehingga ke hari ini, dunia telah melewati beberapa siri transformasi yang diterbitkan daripada kepelbagaian anutan aqidah dan sistem kepercayaan kalangan kuasa-kuasa besar dunia. Dengan berakhirnya Perang Dingin dan tumbangnya ideologi komunisme anutan negara Dunia Kedua, globalisasi telah menjadi aktiviti tunjang order baru mencorak lanskap ekonomi, politik dan sosio-budaya di negara-negara bangsa di dunia. Dua ciri utama globalisasi kini iaitu; pasaran ekonomi bebas dan revolusi teknologi komunikasi maklumat (ICT) boleh memberi samada manfaat ataupun mudharat kemelaratan kepada rakyat sesebuah negara. Semuanya banyak diwarnai oleh gerak tindak Barat yang bersifat uni-lateral.

Kegagalan beberapa negara membangun di Asia Tenggara dan Selatan Amerika menangani “peraturan permainan” sistem pasaran ekonomi bebas lewat krisis kewangan pada penghujung 1990-an telah banyak mengundang sengsara. Indonesia sebagai contoh, sehingga kini masih mengikat perut melangsaikan hutang menggunung yang entah bila akan selesai. Dalam pada itu, Asia Timur terus bangkit menjadi pusat pembangunan dan paksi ekonomi dunia. Di samping China dan Jepun, India semakin bergerak rancak dan diramalkan dalam tahun 2015, menjadi kuasa ekonomi ketiga dunia selepas China dan Amerika Syarikat. The Far Eastern Economic  Review keluaran November 2005 melaporkan betapa ekonomi Amerika Syarikat banyak bergantung kepada pasaran di Asia Timur dengan lebih seperempat hasil eksportnya ditumpukan ke sini.

“Padang permainan” dunia begitu terbuka lagi terdedah sehingga berpengaruh besar dalam mencorakkan budaya sosial, ekonomi dan politik warga dunia. Persaingan terbuka hanya memberi kelebihan kepada golongan yang memang sudah pun memiliki modal, kuasa dan akses kepada maklumat dan infrastruktur. Natijahnya, yang kaya bertambah kaya, yang berkuasa bertambah berkuasa dan yang miskin papa kedana! Faham Liberal yang berpolitikkan demokrasi juga telah dijaja dan dipaksakan oleh Barat ke atas beberapa negara di Timur Tengah, Afrika, Amerika Selatan dan Asia Tenggara untuk memastikan kepentingannya terjaga. Hegemoni Barat datang dalam satu pakej termasuk budaya hedonisme yang semakin merencatkan generasi muda dan merosakkan tamadun kemanusiaan.

Umat juga akhirnya yang tersepit dan terhimpit! Siri pencerobohan, pemusnahan, pembunuhan dan penindasan ke atas Palestin, Afghanistan, Kosovo, Iraq dan lain-lain tanahair umat telah dihalalkan secara terang-terangan oleh badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi tunggangan Barat dengan kuasa veto yang dimiliki. Kekayaan bumi dilapah sesuka hati dengan pelbagai bentuk tipu daya. Semakin lama umat makin ditekan, celaru dan hilang arah hingga ada yang tertipu dan terus menganut faham Liberal yang disogokkan untuk berdiri mengejar kemajuan dan pembangunan dalam tamadun ciptaan Barat. Identiti Islam sebagai sebuah sistem syumul yang menjaga kesejahteraan manusia terus di”bakul sampah”kan kerana tidak yakin agenda umat untuk bernaung di bawah lindungan syariat mampu dilaksana. Hasilnya kezaliman bukan sahaja dilakukan oleh puak kuffar, malah turut didalangi pemimpin negara Islam yang mengkhianati sesama sendiri. Rasa izzah terhadap Islam mula luntur dan kian terhapus bila norma, tafsiran dan perspektif Barat ditelan bulat-bulat. Pengertian jihad dilunakkan mengikut kehendak mereka yang berkuasa, negara umat dikatakan sarang pengganas. Badan yang mewakili kepentingan umat pula tumpul taringnya. Umat akhirnya kekal dalam dilema dan krisis yang tidak berkesudahan.

Dalam kelekaan dunia hanyut dalam arus materialisme serta ketegangan dan perbalahan antara puak bertelagah yang masih belum selesai, kita disentak dengan kehadiran tetamu bernama “tsunami”. Bencana tsunami yang melanda Lautan Hindi pada 26 Disember 2004 lalu telah mengorbankan lebih dua ratus ribu nyawa. Lebih dua juta warga Asia menjadi miskin, hilang harta dan hilang sumber pencarian. Tidak cukup dengan itu, muncul beberapa petanda lain sebagai lambang peringatan kepada bangsa manusia akan kebesaran kuasa Allah s.w.t. supaya manusia menginsafi tanggungjawab dan hakikat kejadiannya. Tentera Allah datang dalam bentuk berbagai. Kebanyakan negara Asia dan Turki sedang dilanda virus selsema burung (H5N1). Kematian akibat virus HIV di kalangan kanak-kanak bawah 15 tahun sahaja sudah mencecah 510,000 dan lebih 640,000 mula dijangkiti di seluruh dunia. Taufan Katrina yang mengganas di New Orleans mengakibatkan kerosakan lebih 80% dan membunuh ratusan jiwa dan disusuli pula dengan taufan Wilma di pantai Carribean Mexico. Siri gempa bumi di kepulauan Indonesia, Iran, Jepun, Selatan Asia mencatat kematian puluhan ribu. Begitu juga dengan beberapa gunung berapi aktif di Asia yang hanya menunggu izin Allah untuk memuntahkan isi perutnya.

Negara kita juga tidak terkecuali di mana banjir di utara tanahair dilaporkan paling teruk sejak 30 tahun dan jerebu yang hampir mencecah tahap darurat. Kebergantungan dan keimanan manusia terhadap keesaan Allah mula teruji. Masing-masing memberi reaksi dan pandangan yang berbeza. Mereka yang beriman menerima ketentuan ini sebagai ujian yang punya hikmahnya. Tidak kurang pula yang celupar menyalahkan Allah di atas angkara yang menimpa dan semakin jauh tersasar dari kebenaran.

MATLAMAT HIDUP

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah,

Senario parah yang melanda umat semestinya menuntut kita untuk mencari punca permasalahan yang menyebabkan krisis dan kekalutan ini berlaku. Penyelesaian yang relevan seharusnya bersumberkan kandungan Al-Quran dan As-Sunnah supaya penerapan Islam dari sudut objektif, kepercayaan, nilai dan idea berupaya dilaksanakan. Matlamat dan hakikat kehidupan manusia perlu diinsafi dan telah pun diterangkan secara jelas di dalam Al-Quran. Namun, bisikan halus Iblis dan dorongan syahwat telah menodai fitrah suci manusia sehinggakan terbentuk berbagai bentuk penyimpangan matlamat hidup kepada beberapa kelompok seperti berikut:

1.         Hidup untuk makan dan berseronok

“Dan orang kafir itu bersenang-senang di dunia dan mereka makan seperti makannya binatang- binatang dan neraka adalah tempat tinggal mereka”

(Surah Muhammad: 12)

2.         Hidup untuk perhiasan dan kesenangan hidup

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu; perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak bertimbun dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, binatang-binatang ternak serta kebun- kebun tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia dan pada sisi Allah tempat kembali yang sebaik-baiknya”

(Ali Imran: 14)

3.         Hidup untuk mewujudkan huru-hara dan kerosakan

“Dan di antara manusia ada tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia menyebabkan engkau tertarik hati dan dia bersumpah dengan mengatakan bahawa Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi untuk melakukan bencana padanya dan membinasakan tanam-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia), sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.”

(Al-Baqarah: 204-205)

4.         Hidup untuk menjalankan tanggungjawab memimpin manusia ke jalan yang benar dan mentadbir dunia menurut ketentuan Tuhan

“Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah dan sujudlah (mengerjakan solat) dan beribadahlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya) serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya di (dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama; agama bapa kamu, Ibrahim. Dia menamakan kamu “muslimin” sejak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu dirikanlah solat dan berilah zakat serta berpegang teguhlah kemu kepada Allah. Dia lah pelindung kamu. Maka Dia lah sahaja sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.”

(Al-Hajj: 77-78)

Kita seharusnya bersyukur kerana dipilih Allah untuk menerima penghormatan agung berupa amanah mulia menyebar risalah warisan anbiya’. Sama-sama kita doakan agar selamanya kita terus thabat di atas jalan dakwah dan islah ini.

PALESTIN SIMBOL PERJUANGAN UMAT

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah,

Palestin adalah mutiara umat yang amat bernilai dan penuh keberkatan. Ia bukanlah milik Palestin atau bangsa Arab sahaja, tetapi tanah wakaf milik seluruh generasi Muslimin dari dulu sehingga ke Hari Kiamat dan salah satu daerah dari tanahair umat yang harus dijaga dari sebarang bentuk pencerobohan. Perlu diperingat bahawa isu ini bukanlah isu pertembungan sempadan yang boleh diselesaikan dengan mudah seperti idea “Two States Solution” seperti yang pernah diusulkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Jika idea ini digunapakai, dikhuatiri selepas sempadan dipersetujui, rakyat Palestin tidak lagi mempunyai hak ke atas bumi asal yang dicerobohi dan diduduki Israel. Hak mereka untuk kembali ke tanah air asal juga akan dinafikan kerana hanya tertakluk dalam lingkungan persempadanan baru. Resolusi PBB ke atas Israel yang tidak dipatuhi selama ini pula akan dimansuhkan begitu sahaja. Apakah isunya? Isu sebenar di sini adalah isu aqidah; menangkis pencerobohan ke atas jiwa, kehormatan, harta, tanahair dan agama yang hanya mampu diselesaikan melalui kesatuan umat dan jihad.

Lipatan sejarah silam dan moden menunjukkan bagaimana himpunan dan kerahan kekuatan kuffar dari Timur dan Barat telah dilakukan untuk merampas mutiara berharga ini dari umat. Peristiwa Holocaust 60 tahun lalu telah diexploitasi sehabisnya untuk mendirikan Erezt Yizrael (bumi Israel) di tengah-tengah dunia Islam bagi memisahkan kesatuan umat di Timur dan Barat. Pengaruh Zionisme begitu kukuh hinggakan masyarakat Barat berasa sangat bersalah dan memikul dosa yang terlalu besar berikutan peristiwa tersebut yang mengorbankan lebih enam juta orang Yahudi. Projek Zionisme yang dirancang pada seabad sebelumnya tampak semakin berjaya dan mula menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

Keruntuhan sistem Khilafah yang memayungi umat pada 1924 telah membuka peluang yang lebih luas kepada golongan kuffar untuk mencabul kehormatan bumi Palestin, lagi dan lagi. Pengisytiharan penubuhan negara “Israel” pada 1948 telah memburukkan lagi keadaan dimana Palestin bertukar “tuan” kepada penceroboh Zionis. Rakyat Palestin diperlakukan dengan semakin kejam tanpa belas kasihan dengan restu kuasa besar dunia dan segala kekuatan yang mereka miliki.

Rakyat Palestin dan segelintir umat tidak berdiam diri, membatu dan membisu seribu bahasa. Sejak 1925 sehingga kini, bumi suci ini menjadi saksi betapa sengitnya peperangan demi peperangan dan penentangan berlaku antara mujahidin dan bala tentera kuffar – antaranya “Revolusi 1936” yang diakhiri dengan pembunuhan pemimpinnya, Asy-syahid Izzuddin Al-Qassam dan perang Arab-Israel pada 1948 yang memberi sinar harapan dengan penguasaan semula lebih 80% kawasan yang dijajah. Malangnya kejayaan ini direncatkan dengan persetujuan gencatan senjata hasil tekanan Barat kepada pimpinan bacul negara-negara Arab ketika itu.

Namun, kezaliman, penganiayaan dan penindasan berpuluh-puluh tahun gagal mematahkan semangat juang rakyat Palestin. Malahan semangat mereka bertambah kental sehingga mendatangkan pula ketakukan dan kerisauan berpanjangan kepada penceroboh Zionis. Pengunduran Israel daripada Tebing Barat, hasil tekanan umat yang berada di medan dan dari kejauhan, telah mendatangkan sinar baru. Keterlibatan HAMAS yang ditubuhkan pada 1987 dalam Pilihanraya Palestin baru-baru ini juga bakal mengubah lanskap sosio-politik dan ekonomi di Palestin.

Sesungguhnya, di kala sebahagian besar umat khususnya Palestin dinafikan hak-hak mereka, urusan diatur oleh penceroboh Zionis dan banyak syiar Islam didak dapat dilaksanakan. Apatah lagi hendak menyebarkan Islam dalam suasana sebegitu. Maka tuntutan ke atas kita bukan lagi fardhu kifayah, malah telah menjadi fardhu ‘ain untuk membebaskan Palestin melalui penyebaran maklumat dan kesedaran kepada umat Islam serta mempersiapkan diri dengan kekuatan yang ada untuk berjihad sehingga tiba masanya dengan pertolongan dari Allah swt.

KARISMA akan terus memperjuangkan isu Palestin dan berusaha meningkatkan sokongan dan bantuan rakyat Malaysia terutamanya kalangan belia di Institusi Pengajian Tinggi negara. Peringatan tanggal 21 Ogos sebagai Hari Quds Sedunia akan terus diadakan KARISMA International (k-intl) seiring dengan kempen-kempen kesedaran yang lain. Jatuh bangun bala tentera mujahidin di zaman silam membuka kota-kota besar harus dijadikan ibrah berharga buat kita. Segalanya tidak mustahil dengan persediaan rapi dan bantuan Allah.

MALAYSIA DI PENTAS DUNIA

Saudara dan saudari yang dimuliakan,

Buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia secara serentak dipertanggungjawabkan menjadi Pengerusi kepada tiga badan antarabangsa; iaitu Organization of Islamic Conference (OIC), Non-Alliance Movement (NAM) dan Association of South East Asian Nations (ASEAN). Malaysia juga telah diberi kepercayaan sebagai tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Asia Timur pertama yang berlangsung pada November lalu. Kehadiran para pimpinan dari negara “ASEAN 10+3+1+2” (10 negara ASEAN tambah Jepun, China dan Korea Selatan tambah India tambah New Zealand dan Australia) telah menempah sejarah menggaris halatuju dan membina Asia baru. Fenomena “Asian Renaissance” ini tampaknya semakin menggugat dan mencabar dominasi ekonomi dunia oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Di pentas dunia, Malaysia dilihat berupaya menyuarakan kepentingan kumpulan-kumpulan yang diwakili dengan berani hingga membolehkan ia berperanan di forum-forum antarabangsa. Malaysia dihormati kerana kebijaksanaannya berdiplomasi terutamanya dalam usaha merintis perdamaian serta membantu menyelesaikan krisis dan konflik di kalangan negara yang membangun.

Dari sudut daya saing di arena global, Malaysia terkebelakang 2 anak tangga dari tahun 2004 dan diletakkan di tangga ke-31. Penilaian antara lain merujuk kepada indeks kemajuan teknologi maklumat, kestabilan ekonomi, ketelusan institusi awam dan corak kepimpinan politik. Negara juga diletakkan dalam kategori “pembangunan insan sederhana” di tangga ke-61 dari rumusan Laporan Pembangunan Insan 2005 oleh United Nations Development Program (UNDP). Pada masa yang sama, Malaysia masih merupakan salah satu negara perdagangan utama dunia dengan perangkaan tahun 2004 meletakkan negara di tangga ke-18 terbesar di dunia dari segi eksport dan berada di tangga ke-20 dari segi import. Jumlah dagangan import dan eksport negara pada tahun 2004 pula mencatat angka 882 bilion ringgit. Inilah serba sedikit ringkasan ukuran peningkatan dan penurunan prestasi negara dari beberapa penilaian mengikut acuan Barat. Kecenderungan materialistik tamadun Barat telah mengesani banyak negara-negara di dunia, termasuk negara umat Islam yang sedang membangun. Umat masih diliputi kemelut permasalahan dalaman dan luaran yang berangkaian. Keupayaan menzahirkan Islam sebagai sistem kehidupan melalui representasi jatidiri, khilafah dan persaudaraan masih jauh dari jangkauan pelaksanaan.

Kini, dalam usia 48 tahun pasca-merdeka, Wawasan 2020 kekal menjadi tumpuan utama Malaysia untuk bergelar sebuah negara maju dengan “acuan sendiri” yang dasarnya jelas berunsur materialis. Namun begitu, dengan penuh sedar akan amanah yang dipikul, wajar kita usahakan agar acuan ini sentiasa berada dalam lingkungan batasan syara’ bagi memperoleh redha-Nya dan mampu bersama memangkin kesatuan umat yang dicita-citakan.

Partisipasi Golongan Muda dan Peranan Membangunkan Negara

Rancangan Malaysia Kesembilan dirangka ketika Wawasan 2020 berada di fasa kedua. Komponen perkakasan dalam bentuk fizikal dan prasarana telah dibangunkan dengan hebat dalam masa 15 tahun pertama selepas Wawasan 2020 diperkenalkan. Tumpuan di fasa kedua bermula 2006 akan ditalakan kepada komponen perisian; menyentuh pembangunan modal insan untuk mengoptimumkan penggunaan prasarana yang telah dibangunkan di fasa pertama. Peranan penting golongan belia dalam proses pembangunan negara tidak dapat dinafikan. Dasar Belia Negara mendefinasikan belia sebagai mereka yang berada di dalam lingkungan umur 18 ke 40 tahun. Profil kependudukan semasa menunjukkan belia sebagai golongan paling dominan di Malaysia dengan peratusan 41.5% daripada 26 juta penduduk. Secara amnya, mereka amat berpengaruh dan berperanan langsung mencorak lanskap ekonomi, politik dan sosio-budaya negara. Mereka turut berperanan untuk memahami senario persekitaran semasa, menilai aktiviti atau gerak kerja yang bersesuaian dengan kemampuan dan mencadangkan idea yang praktikal. Bagi memastikan ini mampu dilakukan, penekanan utama kerajaan dalam PMK-9 ini dijangka menumpukan aspek berikut:

  1. i. Mewujudkan golongan belia yang berkualiti
  2. ii. Menggiatkan pembangunan sumber manusia
  3. iii. Memantapkan pertubuhan belia

Modal insan (human capital) yang berkemahiran dan berkepimpinan tinggi adalah aset pelaburan terpenting negara untuk bersaing dengan lebih kompetitif. Menyedari hal itu, bidang pendidikan telah diberikan tumpuan utama dengan meningkatkan kualiti dan kuantiti kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi dari semasa ke semasa. Program-program penyelidikan dan pembangunan, penguasaan sains dan teknologi serta kadar kemahiran turut ditingkatkan bagi membolehkan berlakunya proses penambah nilai binaupaya di kalangan rakyat Malaysia. Ini selari dengan era ekonomi semasa yang berpaksikan pengetahuan dan memberi nilai tinggi kepada ilmu dan harta intelek. Dalam pada itu, peratusan belia yang bekerja di sektor profesional dan teknikal sahaja telah meningkat daripada 7.9% pada 2000 kepada 9% pada 2005. Pada 2010 negara dijangka memerlukan 35% daripada 12.9 juta pekerja yang berpendidikan tinggi bagi mengisi pasaran kerja.

Sesungguhnya tempoh 14 tahun akan datang merupakan tempoh yang sangat mencabar bagi membina dan menyantuni generasi muda terutamanya mereka yang sekarang berusia seawal 9 tahun di sekolah rendah sehingga 26 tahun. Golongan ini akan berumur sekitar 23 ke 40 tahun dan mereka pada ketika itu telah terlibat dalam proses pemilihan kepimpinan negara dan terlibat langsung mewarnai halatuju “negara maju” ini. Nilai budaya yang mencerminkan nilai-nilai keIslaman perlu diterapkan agar masyarakat Malaysia di waktu itu hidup di bawah lembayung rahmat dan hidayah Allah s.w.t. Inilah cabaran besar buat generasi kita.

CITRA POLITIK GENERASI MUDA

Saudara dan saudari, sidang dewan sekalian,

Keterlibatan mahasiswa dalam gerakan-gerakan yang dianggap anti-pemerintah dan isu mahasiswa aktif berpolitik adalah antara perkara yang sentiasa hangat diperkatakan. Politik yang dimaksudkan di sini merujuk kepada keterlibatan mahasiswa menyatakan pandangan terhadap perjalanan urus tadbir kerajaan. Banyak pandangan pro dan kontra yang dikemukakan. Ada yang berpandangan penglibatan mahasiswa berpolitik adalah satu petanda positif ke arah menghasilkan barisan pelajar yang kritis dan prihatin. Namun, ada juga yang mengatakan tumpuan utama sepatutnya diberikan terhadap pelajaran, bukan aktiviti berpolitik. Seringkali juga isu berkaitan politik dianggap sebagai “taboo” oleh kebanyakan besar mahasiswa di menara gading. Tidak kurang juga yang bersikap apati; tidak menaruh minat dan tidak endah dengan perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Penglibatan berpolitik dianggap sebagai kerja-kerja nakal segelintir pihak yang “tiada kerja dan sengaja mencari kerja”. Pandangan sebegini ada asasnya – mengapa? Ini kerana gerakan mahasiswa dan keterlibatan berpolitik sering dibayangi dengan sentimen “anti-establishment” yang dirasakan kurang berhikmah, kurang berkesan dalam menjana perubahan dan berisiko tinggi untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Jika diteliti sejarah negara, perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan kalangan mahasiswa tempatan pada awal 70-an lebih vokal dan bersifat “anti-establishment”. Antara isu yang didebatkan adalah soal kepincangan dasar-dasar kerajaan yang jelas menzalimi dan menindas rakyat. Orientasi perjuangan ketika itu lebih bersifat fizikal yang memerlukan usaha gigih berkempen dan berdemonstrasi. Aktiviti seperti siri forum diskusi dan tunjuk perasaan umum, diadakan secara meluas dan disertai oleh ribuan pelajar IPT tempatan. Tahun akhir kepada zaman kemuncak gerakan mahasiswa dikatakan berlaku pada 1974 di mana berlaku demonstrasi besar-besaran di Baling melibatkan mahasiswa di UM, UKM dan ITM. Beberapa pimpinan mahasiswa dan pensyarah kemudiannya ditangkap dan disumbatkan ke kem tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Susulan itu, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 telah dipinda pada awal 1975 bagi membolehkan pergerakan dan aktiviti mahasiswa dipantau melalui campurtangan pihak Hal Ehwal Pentadbiran (HEP) Universiti. Tiada lagi demonstrasi mega, kerancakan sudut-sudut pidato dan sebagainya. Gerakan mahasiswa mula dikatakan layu kerana tidak sevokal dan seagresif dulu.

Pindaan yang dibuat telah menafikan banyak hak kebebasan mahasiswa. Jika sebelumnya (1971) mahasiswa hanya dilarang memegang jawatan dalam parti politik dan kesatuan sekerja, pindaan 1975 telah melarang keras sebarang bentuk penglibatan dengan sebarang pertubuhan di luar kampus; dari sudut menyatakan sokongan, bergabung ataupun menganggotai mana-mana pertubuhan. Perubahan drastik mula berlaku daripada pendekatan radikal kepada sederhana dan tidak lagi bebas berpolitik seperti dahulu. Mahasiswa kini diapit dua budaya; ketakutan (culture of fear) dan keselesaan (culture of complacent). Budaya ini amat berbahaya dalam pembangunan jatidiri dan nilai keintelektualan mahasiswa yang seharusnya kritis dan objektif. Dari premis inilah, terbit keperluan untuk mahasiswa memugar kembali aspirasi perjuangan mendokong prinsip kebenaran dan keadilan serta membina keberdayaan gerakan. Idealisme dan keupayaan kalangan pelapis muda kepimpinan negara ini sebagai “anasir at-taghyir” (unsur perubah) perlu dioptima dan dihalakan ke arah pembangunan Malaysia dan umat keseluruhannya. Untuk itu, jaringan gerakan mahasiswa Islam perlu dibentuk dan diperteguhkan bagi menjana wawasan penegakan syariat di Malaysia.

Gerakan mahasiswa yang ada pada hari ini perlu bersikap objektif dan bertindak mengikut waqi’ (persekitarn) semasa dan bukan “main redah” mengikut sentimen sahaja. Idealisme dan keupayaan yang dimiliki perlu diterjemah melalui pendekatan yang bersifat operasional dan praktikal diperingkat masyarakat dan bukan setakat berlegar di sekitar perimeter kampus. Lanskap gerakan mahasiswa telah berubah seiring dengan 48 tahun usia kemerdekaan negara. Keperluan, cabaran dan masalah masyarakat telah berubah seiring dengan perjalanan zaman. Apa yang pasti, prinsip kebenaran dan keadilan perlu terus disuburkan seiring dengan nilai iman dan kemanusiaan sejagat yang kita dukungi. Suasana yang ada kini menuntut kita bersikap lebih matang dan terhadapan dengan ruang dan batasan yang ada. Perubahan politik konfrantasi kepada politik dialog untuk menyampaikan pandangan pelajar kepada pihak pemerintah perlu diraikan. Namun jika masih tidak berhasil, pendekatan yang  lebih tegas wajar diambil tanpa mengenepikan nilai keilmuan dan akhlak yang dituntut Islam.

Pembabitan KARISMA dengan badan gabungan seperti Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dilakukan bagi menjayakan strategi pengukuhan jaringan dan kerjasama dengan organisasi pelajar yang dominan dan berpotensi di peringkat kebangsaan. Perbezaan aliran pemikiran disebabkan anutan aqidah yang pelbagai tidak menghalang pembentukan ruang kerjasama selagi mana prinsip dan batasan yang digariskan syariat tidak diabaikan. Kebebasan menganut fahaman kiri ataupun kanan dan tidak seharus dijadikan sebab menjarakkan diri dengan mereka. Sebaliknya ruang dan peluang yang ada dimanfaatkan untuk mencari kesepakatan dan menunjukkan kecantikan Islam sebagai nidzamul hayaah (sistem kehidupan) agar mereka tidak menentang agenda syariat yang hendak dibawa.

Pada masa yang sama, siri lawatan dan pertemuan mahabbah dengan organisasi mahasiswa Islam di peringkat kebangsaan akan terus digiatkan bagi mencari common denominator (garisbawah yang sama) bagi menjayakan perkongsian tanggungjawab dakwah ini. Siri dialog dan diskusi pimpinan akan terus diperbanyakkan dan mencari ruang kerjasama yang lebih uth pada masa hadapan. Begitu juga dengan dengan badan belia Islam dan organisasi dakwah di luar negara mula digiatkan. Perkongsian teknologi dakwah dan kepakaran masing-masing yang cukup unik merupakan pengalaman dan pembelajaran yang sangat berharga dan sebahagiannya dirasakan penting untuk digunapakai dalam konteks dakwah di Malaysia. Singapura, Indonesia dan Lubnan adalah antara negara yang telah menerima kunjungan kita dan insya-Allah akan digiatkan lagi selepas ini. Semangat ukhuwwah merentasi sempadan ini mampu dijadikan sumber motivasi untuk mengangkat kembali martabat umat di tempat yang sewajarnya.

Politik kampus

Pilihanraya kampus (PRK) adalah satu amalan tahunan di Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT) negara yang seringkali mengundang perhatian dan reaksi yang bercampur baur baik di kalangan mahasiswa sendiri sehinggalah kepada wakil rakyat di Parlimen. Apa yang pasti, tujuan utamanya adalah untuk melatih generasi muda melalui proses untuk dipilih serta memilih. Ia adalah sebahagian daripada proses pendidikan di mana mahasiswa diberi ruang pengalaman samada untuk; bertanding memperjuangkan aspirasi mahasiswa atau menyatakan sokongan kepada mana-mana individu yang diyakini, dipercayai dan dirasakan mampu mewakili mereka di dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Fungsi utama MPP sebagai sebuah badan mahasiswa tertinggi pula adalah untuk menguruskan hal ehwal masyarakat kampus serta mengenengahkan pendirian terhadap sebarang isu yang melibatkan kepentingan golongan mahasiswa dan mengambil tindakan berpatutan.

Malangnya, PRK seringkali menjadi medan perebutan kuasa kelompok berkepentingan yang ingin memegang tampuk kuasa sebagai simbol dominasi politik. MPP dijadikan perkakas untuk menaikkan individu atau kelompok tertentu dalam program-program utama kampus seperti program kemasukan pelajar baru, konvokesyen dan sebagainya bagi menjalankan agenda masing-masing. Natijahnya, ia selalu diakhiri dengan sentimen benci membenci, tuduh menuduh dan penuh dengan manipulasi politik. Isu “pelabelan” mahasiswa kepada kumpulan-kumpulan tertentu sering mengelirukan dan membuatkan mahasiswa terperangkap dalam kerangka pemikiran partisan dengan sandaran tertentu di luar kampus. Apa yang pasti kesannya tidak membawa kepada kebaikan, malah sentimen politik luaran inilah yang membawa 1001 mudharat; menghilangkan rasional akal, merenggangkan hubungan sesama sendiri dan mencetus perbalahan yang tidak perlu. Sewajarnya, budaya politik diperingkat kampus dimurnikan atas panduan nilai agama yang dicernakan dalam bentuk hikmah dan adab. Sengketa yang wujud mampu diselesaikan dengan cara yang baik. Namun, ianya terlalu ideal untuk dilaksanakan.

Senario semasa memperlihatkan bahawa pemilihan wakil mahasiswa bukan lagi dilandaskan atas faktor quwwah (kemampuan dan kredibiliti individu) mahupun amanah (rasa pertanggungjawaban kepada Allah s.w.t.), tetapi seringkali diwarnai sentimen kepuakan yang menebal. Keadaan semakin parah dengan campurtangan pihak luar dan tidak telusnya perjalanan dan pelaksanaan PRK oleh pihak pentadbiran universiti sendiri. Dikhuatiri MPP tidak lagi menjadi sebuah badan yang diyakini dan mewakili suara mahasiswa, tetapi menjadi barah yang merencatkan perkembangan idealisme dan pembentukan jatidiri mahasiswa.

Bagi kita, penglibatan dalam mana-mana badan kepimpinan utama di IPT seperti MPP merupakan medan latihan yang paling baik untuk mahasiswa melatih diri menapis dan menilai sebarang kesan baik-buruk sesuatu tindakan sebelum sampai ke peringkat menjadi pemimpin sesebuah institusi malah sebuah negara yang sudah pasti akan berhadapan dengan pelbagai rencam politik serantau dan antarabangsa yang serba kompleks dan mencabar. MPP memungkinkan berlakunya gerak kerja dakwah dalam skala yang lebih besar, namun kadar keberkesannya relatif kepada pembawaan pihak pentadbiran sesebuah IPT. Ada segelintir IPT yang anggota MPPnya tidak mempunyai kuasa besar menentukan halatuju sendiri, sebaliknya segala bentuk aktiviti telah pun disusun pihak pentadbiran daripada awal. Namun, ada juga pihak pentadbiran yang masih memberikan ruang empowerment (pemerkasaan) kepada MPP untuk menentukan halatuju mereka.

KARISMA tidak pernah menghalang mana-mana ahlinya untuk terlibat langung menjadi calon dalam PRK, malah menggalakkannya selagi mana disyurakan dengan baik dan mengambilkira kadar kemampuan semasa di sesebuah lokaliti tersebut. Pimpinan perlu bijak memastikan keterlibatan dalam PRK tidak mendatangkan set back (rencatan) kepada perjalanan kerja dakwah dan tarbiyyah yang asasi. Pada prinsipnya, keterlibatan samada secara  langsung ataupun tidak dlm PRK adalah atas asas amar ma’ruf nahi munkar selain memenangkan mereka yang membawa idealisme Islam sebagai asas fikrah Islamiyyah dominan di kampus. Ruang keterlibatan boleh berlaku secara langsung dalam bentuk:

  1. 1. calon PRK dalam pakatan kerjasama dengan mereka yang turut membawa idealisme Islam
  2. 2. jentera kempen PRK
  3. 3. kedua-duanya sekali

Manakala secara tidak langsung, penglibatan boleh wujud dalam bentuk mengundi calon secara sedar dan terancang yang membawa anasir soleh dan diyakini boleh membawa kesejahteraan kepada masyarakat kampus dalam batasan syariat Islam. Penglibatan KARISMA samada secara langsung atau tidak di peringkat IPT haruslah diperhalusi dan disyurakan sebaiknya di kalangan penggerak dan murabbi (pendidik) sebelum sesuatu ketetapan dibuat. Sebarang perkiraan harus mengambilkira aspek kelangsungan dakwah dan tarbiyyah di IPT.

FIKRAH ISLAMIYYAH DOMINAN DI KAMPUS

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah,

Dari tahun ke tahun, budaya dan pembawakan sosial kalangan mahasiswa semakin terbuka, seiring dengan pembawakan budaya hedonisme yang makin menular dan telah melalui beberapa siri “evolusi” yang menjadikan permasalahan sosio-budaya IPT bertambah kompleks. Beberapa terbitan permasalahan lain yang wujud semestinya menuntut golongan mahasiswa yang membawa idealisme Islam menilai permasalahan ini secara bersama, menyeluruh dan mengenalpasti bentuk komitmen yang perlu bagi memperbaikinya. Tugas amar makruf nahi munkar ini adalah tugas kolektif yang wajar dikongsi setiap muslim yang sedar akan tanggungjawabnya. Oleh itu, pembawaan fikrah islamiyyah dominan di kampus bukanlah sesuatu yang bersifat satu-hala sahaja oleh segolongan tertentu yang dirasakan lebih betul uslubnya (pendekatan) dari yang lain. Ini perlu jelas.

Pembawaan fikrah islamiyyah di kampus ini bertujuan untuk memastikan Islam menjadi teras kehidupan di kampus sehingga mahasiswa meletakkan ubudiyyah mutlaknya hanya kepada Allah s.w.t. dan menginsafi peranan sebagai ‘abd dan khalifah di muka bumi. Untuk itu, sebarang usaha dan pendekatan yang dilakukan harus berlaku di dalam framework (kerangka kerja) syara’ bagi mengundang keberkatan dari Allah s.w.t. Beberapa pemalar dan pembolehubah berikut harus diperhatikan dalam konteks sebuah institusi pengajian;

  1. Maqasid Syariah (objektif-objektif syariah)

Objektif syariah bertujuan menjaga dan mengembangkan perkara yang baik manakala yang menghala kepada keburukan dijauh dan dihapuskan. Lima elemen berikut adalah turutan keutamaan dalam Islam:

  1. 1. din (agama)
  2. 2. nyawa
  3. 3. keturunan
  4. 4. akal
  5. 5. harta
  1. Maslahah

Dalam situasi elemen kebaikan dan keburukan nampak berimbangan, maslahah umum (public interest) yg lebih besar perlu diutamakan. Perkiraan yang dibuat perlu dirujuk kembali kepada maqasid syariah.

  1. Uruf (budaya)

Budaya yang telah diterimapakai masyarakat kampus wajar dikekalkan selagi mana ia tidak bersalahan dengan tuntutan syara’. Budaya yang bersalahan dan fasad (rosak) pula perlu diperbaiki seperti budaya berhibur yang melampau.

  1. Istihsan

Memilih sesuatu yang dirasakan mampu memenuhi keperluan masyarakat dalam memberikan kebaikan .

  1. Sad al-zara’i

Menutup jalan-jalan yang membawa kepada kerosakan. Dalam konteks IPT, budaya percampuran antara lelaki dan perempuan yang tiada ikatan sah harus ditutup kerana ia membawa kepada zina (kerosakan).

KE MANA KARISMA?

Para perwakilan dan pemerhati sekalian,

Sebagai sebuah gerakan mahasiswa berorientasikan dakwah dan islah, KARISMA akan terus kekal berusaha menjana dan menjayakan agenda penegakan syariat di Malaysia. Ia dilaksanakan untuk menyempunakan amanah daripada Allah s.w.t. sebagai seorang ‘abd dan khalifah bagi mendapatkan redha-Nya, supaya Islam menjadi amalan hidup dalam diri, masyarakat dan negara. KARISMA juga akan sentiasa bertindak secara objektif mengikut konteks keadaan semasa, sepertimana termaktub di dalam penyataan visi:

Menjadi sebuah gerakan mahasiswa kontemporari

yang menjana perubahan

ke arah tertegaknya syariat Islam di Malaysia

Perubahan yang dikehendaki mampu dijayakan jika rakyat secara sedar dan waras memilih untuk bernaung di bawah syariat; paling tidak pun sekadar menyokong dalam keadaan rela atau terpaksa. Kementerian Sumber Manusia pada 2003 menyatakan bahawa 14% daripada 9 juta pekerja di negara ini mempunyai pendidikan tertiari dan mengunjurkan peningkatan kepada 35% daripada 12.9 juta pekerja menjelang tahun 2010. Kalangan kumpulan inilah yang pada ketika itu akan berkhidmat di sektor awam, di badan-badan berkanun kerajaan, di dalam Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan di sektor swasta. Kalangan penggubal polisi dan dasar kerajaan, pegawai kanan, pengurus, para profesional, ahli akademik dan sebagainya inilah yang bakal mencorakkan susuk bentuk perjalanan dan pentadbiran negara.

Statistik pada tahun 2005 memberi unjuran jumlah golongan belia seramai 10.81 juta orang; iaitu 41.5% daripada hampir 26 juta penduduk Malaysia. Peratusan mereka yang berumur 20 tahun dan lebih yang mempunyai pendidikan tinggi (iaitu lepasan menengah, maktab, kolej atau universiti) adalah seramai 16.0% pada tahun 2000. Pada setiap tahun, lebih 200,000 orang graduan dihasilkan daripada Institusi Pengajian Tinggi (awam dan swasta) dan mula memasuki pasaran kerja, mengambil tempat di sektor-sektor penting negara.

Jelas di sini bahawa arus perubahan membawa masyarakat Malaysia untuk menghayati Islam sebagai sistem kehidupan harus bermula dari “rebungnya”. Usaha dakwah dan tarbiyyah harus disemarakkan di menara gading. Pembinaan individu pemikir, pendokong dan pekerja di kalangan mahasiswa adalah satu tanggungjawab bersama yang cukup kritikal bagi memastikan kelangsungan usaha dakwah dan islah di kalangan generasi muda. Ini dinyatakan secara jelas di dalam penyataan misi KARISMA:

“Beriltizam untuk melahirkan mahasiswa du’at soleh wa musleh

yang cemerlang dari aspek sakhsiah, kepimpinan dan akademik

melalui program pembangunan insan yang komprehensif”

KARISMA ditubuhkan atas kesedaran bahawa melalui sistem tarbawi (pendidikan) dan pembangunan sumber manusia yang bersifat semasa, seimbang, menyeluruh serta berterusan, segala potensi yang dimiliki mahasiswa mampu digilap dan diperkebangkan sekaligus mampu membentuk kendiri yang soleh, musleh, cemerlang pencapaian akademiknya, berkeyakinan, berkepemimpinan dan mampu merubah masyarakat, negara dan umat keseluruhannya ke arah yang lebih baik.

Pimpinan dan ahli KARISMA perlu jelas akan risalah dakwah ini dan ke mana halatujunya. Hal ini penting supaya ia berupaya “dimasyarakatkan”. Dalam erti kata lain, perkongsian perlu meluas agar mesej mudah difahami, disebar dan diusahakan sendiri oleh masyarakat. Hanyasanya dengan kesedaran, kefahaman dan kemahuan masyarakat untuk bernaung di bawah nizam (sistem) yang syumul (lengkap) ini, maka fikrah Islamiyyah mampu kekal mendominasi kampus dan wawasan penegakan syariat mampu dilaksana dalam tempoh yang disasarkan.

Kini hanya tinggal 14 tahun lagi ke 2020. Menginsafi hakikat ini, tiada cara yang lebih berkesan melainkan risalah ini dikomunikasikan melalui amal (kerja). Kerja-kerja produktif perlu diperhebat, saff gerakan mahasiswa Islam perlu dipererat dan kreadibiliti gerakan “orang muda” umumnya perlu dipertingkat. Segalanya bermula dari keikhlasan niat dan kejelasan matlamat. Penekanan terhadap sebarang bentuk persamaan serta perkongsian aspirasi dengan lain-lain organisasi mahasiswa adalah satu keperluan, baik organisasi Islam atau bukan Islam. Penonjolan imej (Islam) yang positif dan fahaman yang sebenar terhadap Islam perlu dipastikan. Jurang perbezaan yang wujud mampu dirapatkan jika dasarnya iman dan persaudaraan sejagat. Selagi mana kita berkerja dalam batasan syara’ dan mengambilkira maslahah semasa, apa yang diimpi mampu direalisasi.

Semua yang saya nyatakan tadi telah pun diterangkan dalam objektif penubuhan KARISMA yang diringkaskan seperti berikut.

  1. 1. Melahirkan dan membimbing generasi pemimpin di kalangan mahasiswa
  2. 2. Menggerakkan penglibatan mahasiswa dalam proses pengislahan masyarakat
  3. 3. Mewujudkan ruang permuafakatan dan kerjasama yang seluas-luasnya dengan semua pihak

MEMUGAR ASPIRASI PERJUANGAN, MEMBINA KEBERDAYAAN GERAKAN

Saudara dan saudari yang dikasihi,

Inilah aspirasi kita, memurnikan tanggapan masyarakat terhadap Islam sehingga mereka mahu berada di dalam nidzamul hayaah (sistem kehidupan) ini. Tumpuan utama kita sekarang adalah kepada generasi muda di IPT tanpa menafikan mereka yang berada dalam fasa awal transisi pra-universiti dan fasa awal transisi pasca-graduasi. Usaha memasyarakatkan risalah dakwah mampu dilaksanakan jika perkongsian “roh” visi dan misi ini berupaya dikongsikan dengan baik kepada golongan sasaran. Dalam lingkungan sesebuah institusi pendidikan, kayu ukur keberkesanan usaha ini dapat dilihat dengan wujudnya agenda-agenda yang mengandungi elemen ma’ruf (kebaikan) da mencegah munkar (keburukan) oleh mana-mana individu, institusi, mahupun sistem yang wujud. Atas premis itu, maka jaringan hubungan dengan mereka yang berpengaruh dan penempatan strategik di persatuan atau institusi dalaman universiti perlu dipastikan sebagai asas fikrah islamiyyah terus subur dan dominan.

Perlu diingat bahawa KARISMA hanyalah wadah dan wasilah dakwah kita dengan mereka di luar sana, bukannya matlamat akhir. Apa yang penting, kita bergerak dengan ikhlas dan ihsan, berpandukan risalah yang jelas dan risalah itu yang menjadi tumpuan utama. Maka tidak sewajarnya timbul sentimen “ke-jamaah-an” yang terlampau menebal sehingga mewujudkan polariti negatif kepada sebuah keluarga gerakan Islam yang besar ini. Perkiraannya bukan terletak pada individu atau organisasi. Tugas menggalas amanah dakwah ini harus dijana atas asas perkongsian dan permuafakatan. Firman Allah:

”Sesungguhnya umat ini adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahkah aku”

(Surah Al-Anbiya’: 92)

Enam tahun penubuhan KARISMA seharusnya lebih mematangkan pimpinan dan ahlinya dari sudut urustadbir organisasi dan aktivismenya. Terdapat dua komponen keupayaan utama dalam gerakerja KARISMA yang perlu diberi tumpuan, iaitu:

  1. i. Keupayaan dalaman

Pembinaan keupayaan dalaman adalah antara elemen terpenting dalam membentuk daya-tahan organisasi dan nilai-tambah kepada ahlinya. Keupayaan dalaman KARISMA banyak bergantung kepada pertama; aspek pemantapan tarbiyyah dan pembangunan sumber manusia dan kedua; pemantapan sistem dalaman organisasi.

  1. ii. Keupayaan luaran

Keupayaan pimpinan dan ahli KARISMA untuk mengoperasikan gerak kerja dakwah dalam persekitaran perubahan sosio-budaya yang melibatkan dinamisme dan bentuk engagement KARISMA di pentas masyarakat.

Bidang keupayaan dalaman dan luaran ini harus dioperasikan sebaiknya secara seimbang dan lancar. Penglibatan dan penggembelingan tenaga yang menyeluruh daripada setiap peringkat kepimpinan diperlukan bagi menjayakan agenda yang telah digariskan.

Perkasakan “DOA”

Mantan Presiden, saudara Aidiahmad Dewa pernah menggariskan sebelas cabaran utama yang perlu dihadapi oleh seluruh jentera KARISMA di setiap peringkat. Cabaran ini kemudiannya telah disusun semula dan dirangkum dalam bentuk pelan tindakan dengan jangkamasa pelaksanaan sehingga 7 Julai 2007 yang dinamakan Agenda 07. Dalam unjuran gerak kerja jangka pertengahan ini, mantan Pemangku Presiden, saudara Wan Muhammad Wan Ibrahim telah menyentuh beberapa aspek kritikal seperti berikut untuk pelaksanaan di setiap peringkat kepimpinan:

  1. 1000 ahli
  2. 500 RM
  3. 100 kepimpinan
  4. 50 IPT
  5. 10 negeri
  6. 5 K.I.G.
  7. 1 pejabat

Bermula penggal kepimpinan baru di peringkat nasional, tumpuan kita adalah kepada pembentukan prasarana dan infrastruktur asas bagi memastikan wujudnya tapak yang kukuh untuk pelonjakan aktivisme KARISMA di masa mendatang. Secara stategiknya, bidang tumpuan utama 2005-2007 KARISMA adalah kepada tiga aspek berikut:

  1. 1. Pembangunan AHLI – Tarbiyyah dan pembangunan sumber manusia (TPSM)
    1. Pembangunan akademik
    2. Pembinaan pelapis dan kepimpinan
    3. Pembudayaan sahsiah Islamiyyah yang mulia
  1. Urustadbir ORGANISASI – Penekanan pada aspek pemantapan sistem
    1. Pentadbiran dan pengurusan yang mantap
    2. Penjanaan dana yang sistematik dan berkesan
    3. Pemantapan jaringan komunikasi ahli
    4. Pengenalpastian bakal graduan KARISMA untuk tindakan susulan
  1. Aktivisme DAKWAH – Penyusunan dakwah KARISMA
    1. Pengenalpastian relung dakwah mengikut kesesuaian dan kapasiti lokaliti
    2. Penglibatan KARISMA di sektor strategik dan dioperasikan sebaiknya

Ketiga bidang tumpuan ini adalah elemen asas perancangan organisasi. Bidang-bidang tumpuan ini telah dijelaskan dalam siri roadshow dan ziarah pimpinan KARISMA Nasional ke lokaliti dengan “Perkasakan D-O-A” (Dakwah-Organisasi-Ahli) digunakan sebagai rallying call. Secara operasional, pengkhususan tugasan di peringkat KARISMA Nasional telah difungsikan seperti berikut:

  1. Aspek pembangunan ahli diberi penumpuan yang secukupnya dan terus diperkukuh melalui siri latihan dan pemantauan berterusan dalam aspek pembinaan pelapis, kepimpinan, sahsiah dan akademik.
  1. Sistem komunikasi ahli diperhebat bagi memastikan berlakunya penghayatan dan perkongsian visi, misi, serta aspirasi perjuangan KARISMA.
  1. Pembangunan organisasi yang tersusun dan kemas di peringkat IPT dan Negeri/Zon dipastikan bagi melancarkan sistem pengurusan dan pentadbiran KARISMA.
  1. Aktivisme pelajar siswi perlu diperkasa melalui Unit Siswi (SISMA) dan dalam masa yang sama mengenalpasti serta melaksanakan pendekatan sesuai bagi meningkatkan penglibatan pelajar siswa.
  1. Public relation (PR) dengan organisasi-organisasi pelajar di dalam dan luar negara, terutamanya yang berorientasikan dakwah terus dikekal dan diperhebat bagi membuka segala bentuk ruang kerjasama dan perkongsian teknologi dakwah di samping penonjolan imej KARISMA sebagai suatu badan dakwah pelajar yang yang terbuka, progresif dan fleksibel sifatnya.
  1. Persediaan awal pengambilan tempat di dalam masyarakat dilakukan dengan cara penonjolan identiti KARISMA yang berwibawa, keterlibatan dalam program kemasyarakatan, keterlibatan dalam isu relevan dan menjalinkan kerjasama erat dengan institusi, NGO dan tokoh yang strategik.

Tempoh setahun yang dilalui dirasakan sangat singkat dan masih banyak perkara yang dirancang belum berupaya dioperasikan sebaik mungkin. Penggembelingan gunasumber tenaga di setiap peringkat kepimpinan wajar dioptimakan bagi menjayakan wawasan yang digaris.

PEMBANGUNAN AHLI

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah,

Agenda spesifik dari Agenda 07 yang ingin dicapai adalah 1000 ahli dan 100 kepimpinan.

Alhamdulillah, buat julung kalinya dalam sejarah KARISMA, kedua kelompok K-100 (kepimpinan 100) dan P-200 (pelapis 200) berjaya dihimpunkan secara serentak pada penghujung tahun lalu. Konvensyen Tarbiyyah KARISMA Nasional (KTKN) 2005 yang menghimpunkan para nuqaba’, naqibat, pimpinan dan aktivis KARISMA dari segenap pelusuk telah memutuskan beberapa resolusi penting iaitu:

  1. Memastikan perlaksanaan tarbiyyah bersepadu dengan penglibatan Team-I bagi meningkatkan izzah Islamiyyah
  2. Menjana tindakan yang kritikal dan kreatif dalam membangunkan himmah Islamiyyah bagi menyelesaikan krisis ummah
  3. Melibatkan ahli dalam relung dakwah yang dipilih bagi menjayakan fikrah Islamiyyah dominan di kampus menjelang tahun 2015

Tarbiyyah dalam KARISMA dinilai sebagai sesuatu yang cukup dinamik dan integral (mencakupi semua juzu’) sifatnya. Oleh kerana itu, penekanan utama akan sentiasa diberi bagi memastikan kelancaran sistem ini bagi melahirkan barisan du’at yang tinggi nilai daya-tahannya. Pengoperasian Team-I yang akan bermula tahun ini merupakan satu pendekatan melonjakkan lagi aktivisme dakwah dan tarbiyyah KARISMA dalam bentuk latihan yang pelbagai dan menyeluruh. Pelaksanaan model tarbiyyah yang dinamakan “SPESIS dan “BIG PICTURE TARBIYYAH KARISMA “ sebagai susulan kepada KTKN 2004 akan turut dipastikan bagi memudahcara pengurusan tarbiyyah di lokaliti.

Penumpuan kepada pembangunan pelapis dari golongan pelajar menengah atas sehingga ke tahun pertama di IPT harus dipastikan. Usahasama dengan institusi terbabit seperti Kelab Remaja JIM, Belia Pra-Universiti JIM dan rangkaian sekolah yang berpotensi wajar dilakukan dan tidak seharusnya dilihat sebagai duplikasi kerja. Sesungguhnya usaha yang kita lakukan sangat menuntut kepada peningkatan kualiti dan kuantiti tenaga pemikir dan pekerja bagi menyantuni lautan mad’u di luar sana. Usaha tajmi’ dan aktiviti-aktiviti tarbawi perlu digiatkan selari dengan hasrat mencapai bilangan 20,000 mahasiswa menjelang 2009. Perkara ini tidak akan menjadi suatu angan-angan jika adanya keyakinan, keikhlasan beramal dan keinginan yang tinggi untuk melaksanakannya. Alhamdulillah, kejayaan program Induksi Pelapis KARISMA 2005 (untuk kelompok P-200) diharapkan mampu meniup semangat baru kepada kita.

Kumpulan-kumpulan usrah sebagai wasilah penting dalam pentarbiyyahan perlu diperbanyakkan dan ditingkatkan keberkesanannya dengan koordinasi berterusan di pihak JK TPSM KARISMA Nasional dan Team-I. Pimpinan terutamanya perlu bersedia dan mempersiapkan diri untuk membawa usrah serta membudayakan sikap pro-aktif agar anak usrah berupaya mendekati dan membawa rakan-rakan mereka pula. Pada masa yang sama, sokongan latihan daripada JIM Daerah perlu dipastikan bagi mengelakkan senario yang dinyatakan Presiden JIM “tarbiyyah dibelai kurang, dakwah tidak menuai” menjadi barah dalam organisasi ini.

Pada masa yang sama, kualiti ukhuwwah perlu diperbaiki dari semasa ke semasa dengan memperkukuhkan teras taaruf, taawun dan tafahum. Ini mampu dilakukan melalui penjagaan amalan fardhi dan jamaie, kebajikan anggota usrah, pemantauan prestasi akademik, perancangan kerjaya dan sebagainya selain mempelbagaikan aktiviti usrah dalam bentuk projek-projek khas bagi membudaya dan “memasyarakatkan” dakwah. Tarbiyyah yang diterima seharusnya meningkatkan rasa izzah terhadap Islam dan selari dengan itu meningkatkan pula himmah Islamiyyah .

PEMANTAPAN ORGANISASI

Saudara dan saudari yang dikasihi,

Agenda spesifik dari Agenda 07 yang ingin dicapai adalah 500 RM, 50 IPT, 10 Negeri dan 1 Pejabat

Sebagai menyahut cabaran kemandirian kewangan, Muzakarah Ekonomi KARISMA (MUZEK) yang pertama berjaya dilaksanakan dengan kehadiran ahli-ahli jawatankuasa biro dana dan bendahari daripada beberapa lokaliti dan wakil KARISMA Interest Groups (K.I.G.). Muzakarah tersebut antara lain menegaskan keperluan usaha penjanaan dana yang tersusun dan terancang di setiap peringkat kepimpinan dan mengurangkan kebergantungan tinggi daripada sumber kewangan yang berbentuk penajaan. Resolusi muzakarah dua hari tersebut telah menyimpulkan struktur pengurusan dana di peringkat nasional dan lokaliti serta plan tindakan penjanaan dana.

Dari sudut urustadbir organisasi, perlembagaan KARISMA telah dikemaskini sebagai panduan kasar pentadbiran. Pimpinan dan ahli KARISMA perlu bersedia memperlihatkan keupayaan menguruskan organisasi secara teratur lagi berdisiplin, berlandaskan perlembagaan jika kita serius dalam urusan pendaftaran KARISMA secara sah di bawah Registrar of Societies (R.O.S.). Buat permulaan, manual urus-tadbir KARISMA telah dihasilkan yang bertujuan memantapkan sistem urustadbir organisasi dan akan diperbaiki dari semasa ke semasa. Sistem pengurusan dalaman KARISMA perlu bersifat autonomic agar segala fungsí kerja di peringkat nasioanl dapat dioperasikan di lokaliti, sekaligus mengurangkan pergantungan dan seliaan daripada peringkat nasional. Ini merupakan antara asas penting untuk membolehkan empowerment (pemerkasaan) berlaku supaya pimpinan dan ahli jelas akan peranan mereka dan mampu memainkan tugasan dengan lebih berkesan dan bertindak secara kolektif.

Sistem komunikasi dalaman yang lancar dan kemas di setiap peringkat kepimpinan harus dipastikan. Saluran pertanggungjawaban dan struktur organisasi juga perlu jelas, ringkas dan berfungsi. Keupayaan IPT perlu dipertingkat dengan memastikan kriteria matang sesebuah IPT terus kekal manakala tahap negeri/zon berdasarkan pencapaian semasa pula perlu membentuk suasana persaingan sihat untuk terus meningkatkan produktiviti kerja. Sebarang gerak-tindak yang dilakukan harus sentiasa mengikut strategi dan perencanaan semasa. Penyelarasan yang cantik hanya akan berlaku dengan wujudnya komunikasi berkesan di dan berterusan di setiap peringkat. Untuk itu, Majlis Perhubungan Nasional (MPN) yang mempertemukan pimpinan nasional dan negeri/zon, Sistem Negeri Angkat, siri ziarah dan roadshow berkala perlu ditingkatkan lagi keberkesanannya. Pokoknya, mekanisme pemantauan dan penilaian gerak kerja perlu efisyen, sistematik,  praktikal dan mendapat kerjasama semua pihak yang terbabit.

Kewujudan platform berdaftar di IPT perlu diusahakan sebagai interface dengan masyarakat kampus. Medan, ruang dan peluang dakwah sedia ada perlu diluaskan dan dilebarkan. Pimpinan dan ahli KARISMA perlu mampu dan dilihat mampu mengolah aktiviti yang dapat menarik penyertaan serta penglibatan golongan sasaran atas platform dan “jenama” yang bersesuaian dengan keadaan setempat. Pimpinan perlu bijak membahagikan bebanan tugas kepada ahli yang ada agar tiada yang merasa dizalimi dan diabaikan kebajikannya. Ada ketikanya sesetengah aktiviti yang tidak bersifat dalaman boleh dianjurkan secara bersama dengan individu atau kelompok lain yang berpotensi menggerakkan aktiviti dan sekaligus. Dalam situasi tertentu, usaha synergy dengan badan lain perlu diusahakan Mereka yang dilihat berpengaruh perlulah didampingi, dijalinkan hubungan dan berusaha sedaya upaya agar akhirnya mereka boleh membantu menjayakan misi yang diharapkan. Aktiviti yang dilakukan juga tidak seharusnya bersifat “touch and go” sahaja kerana ianya merupakan satu pembaziran terhadap masa dan sumber tenaga organisasi. Perkara yang paling penting adalah mempunyai perancangan yang jelas daripada awal lagi mengenai mekanisme gerak kerja susulan kepada individu atau kelompok yang berpotensi untuk didekati tadi.

AKTIVISME DAKWAH

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah,

Agenda spesifik dari Agenda 07 yang ingin dicapai adalah 5 K.I.G.

Umumnya, gerak kerja pengoperasian KARISMA pasca penubuhan 2 Mei 1999 boleh dibahagikan kepada beberapa fasa utama:

1999 – 2004: Persediaan dan pengukuhan dalaman organisasi

2004 – 2006: Mengenalpasti dan mengambil tempat di sektor strategik

2006 – 2010: Mengukuh kedudukan dan mempererat kerjasama

Dalam fasa kedua (2004-2006), KARISMA sudah seharusnya berjaya mengenalpasti medan penglibatannya dan mula melakukan penempatan organisasi secara strategik di peringkat nasional dan lokaliti. Berdasarkan Agenda 07, beberapa relung penglibatan KARISMA telah disusun semula pada penggal 2005-2006 iaitu:

  1. Penyusunan penglibatan mahasiswi
  2. Perhubungan di peringkat kebangsaan, antarabangsa dan lokaliti
  3. Penglibatan dalam isu kebangsaan, antarabangsa dan kampus
  4. Pembangunan pelapis – remaja
  5. Media dan teknologi maklumat
  6. Dakwah dan kebajikan masyarakat

Penyusunan penglibatan mahasiswi

Penyusunan penglibatan siswi KARISMA (SISMA) dalam relung dakwah yang bersesuaian dan keterlibatan dalam isu kewanitaan secara am dan mahasiswi khususnya adalah satu perkara yang wajar dilakukan. Ratio semasa pelajar lelaki kepada perempuan di IPT seramai 40:60 menandakan bahawa penekanan khusus menyantuni kelompok mahasiswi perlu dikenalpasti, terutamanya oleh organisasi mahasiswa Islam. Di Malaysia, 49.1% daripada 26 juta penduduk adalah wanita dengan separuh daripadanya berada dalam lingkungan usia 24 tahun ke bawah. Penyertaan wanita berusia antara 19 hingga 55 tahun dalam bidang pekerjaan di negara ini pula adalah seramai 47% dan dijangka meningkat pada masa mendatang. Peranan mereka bertambah penting bila mula mendirikan rumahtangga dan bertanggungjawab memastikan institusi kekeluargaan didirikan atas dasar iman dan taqwa, sekaligus memberi sumbangan konstruktif kepada pembangunan umat. Pemerkasaan siswi KARISMA (SISMA) dalam ertikata mengenalpasti dan menggilap potensi penglibatan mereka secara optima perlu diberi perhatian.

Relung-relung penglibatan KARISMA di atas (kecuali SISMA) akan dioperasikan seperti berikut:

  1. Penginstitusian kerja dari sudut operasional melalui;
    1. Koordinasi K.I.G. di peringkat nasional-negeri/zon-IPT
    2. Penyelarasan medan penglibatan di setiap negeri
  2. Pengukuhan prasarana organisasi
  3. Budaya kerja perkongsian sumber dengan organisasi lain dan integrasi program

Penginstitusian kerja dari sudut operasional

  1. Koordinasi K.I.G. di peringkat nasional-negeri/zon-IPT

K.I.G merupakan satu langkah strategik bagi membentuk model-model operasional dakwah KARISMA dan diinstitusikan. Penginstitusian kerja adalah penting atas beberapa faktor berikut :

  1. Membolehkan KARISMA dilihat serius dalam menangani permasalahan penting dalam setiap sektor yang difokuskan
  2. Menyusun penglibatan ahli dan pimpinan KARISMA secara tersusun dan terancang dan berkesan di medan strategik ini.
  3. Menghasilkan kesan dan keberkesanan kerja yang tinggi melalui gerak kerja yang terfokus dan boleh ditambah-baik dari semasa ke semasa
  4. Membolehkan kalangan pimpinan dan ahli untuk mempunyai bidang pengkhususan dan tahap kemahiran tertentu sebagai medan latihan dan pendedahan awal
  5. 5. Membentuk pendekatan yang lebih “mesra masyarakat” dan mengikis eksklusiviti organisasi
  6. 6. Membuka ruang perkongsian visi bagi menjana sokongan dan memandu pandangan umum dalam setiap sektor yang difokuskan
  7. 7. Meningkatkan sense of belonging (rasa kebersamaan) dan rasa pertanggungjawaban dalam berkongsi dan menggalas amanah dakwah
  1. Penyelarasan medan penglibatan di negeri-zon-ipt

Pengoperasian di lokaliti perlu disusun dan dijalankan mengikut tahap kemampuan IPT (potensi atau matang) dan tahap kemampuan negeri (tahap 5A menjadi penunjuk aras). Setakat ini, K.I.G berikut telah berjaya ditubuh dan dioperasikan beserta bidang pengkhususannya:

  1. KARISMA International (k-intl)
    1. Penglibatan dalam isu-isu antarabangsa
    2. Penglibatan dengan pertubuhan pelajar dan belia di peringkat antarabangsa
  1. KARISMA Media (k-media)
    1. Pengukuhan jaringan komunikasi dan maklumat dalaman dan luaran KARISMA
    2. Medan penggembelingan potensi ahli KARISMA dalam bidang teknologi maklumat dan sebaran am
  1. KARISMA Facilitator (k-faci)
    1. Pembinaan pelapis muda pra-universiti (selepas ini akan terlibat mengkoordinasi pelapis lepasan sekolah sehingga pelajar tahun pertama IPT)
    2. Memberi ruang latihan dan pendedahan berkaitan aktiviti kefasilitatoran dan penganjuran program
  1. KARISMA Care (k-care)
    1. Dakwah kepada bukan Islam yang dikhususkan kepada pelajar IPT tempatan
    2. Terlibat langsung dalam perkara yang melibatkan kebajikan masyarakat umum

Pengukuhan prasarana organisasi

Aspek pentadbiran, pengurusan dan quality control (pengawalan kualiti) secara berkala mampu meningkatkan keberkesanan gerak kerja di setiap peringkat kepimpinan. Pemilihan dan penetapan medan harus dilakukan mengikut mengikut kemampuan dan peluang di lokaliti tanpa mengesampingkan aspek pembangunan ahli (TPSM).

Dari sudut infrastruktur, akan timbul keperluan kelak untuk setiap negeri/zon mahupun IPT mempunyai pusat operasi atau pejabat sendiri. Menyedari takungan dana yang mencukupi akan menjadi satu cabaran, maka program integrasi dakwah-perniagaan mungkin satu jalan penyelesaian dan mampu mencambahkan lagi kreativiti bekerja.  Namun jangan sesekali habuan duitan dijadikan matlamat utama.

Budaya kerja perkongsian sumber dengan organisasi lain dan integrasi program

Ruang kerjasama antara KARISMA dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau organisasi lain yang terpilih dan strategik boleh dimulakan. Penganjuran program secara bersama, bantuan dana, perkongsian kepakaran dan pengalaman mampu membantu KARISMA menjayakan medan fokus dakwahnya.

PENUTUP

Saudara dan saudari yang saya dikasihi,

Kesemua fokus ini adalah langkah awal memposisi dan mempromosikan KARISMA secara strategik agar penyebaran fikrah yg kita dukungi mampu dilaksanakan dalam rangka strategi mengukuhkan pengoperasian KARISMA di fasa kedua. 14 tahun adalah satu jangka waktu yang relatifnya teramat pendek. Selaras dengan itu, usaha gigih perlu ditingkat, sumber yang ada perlu digembeling sebaiknya. Keupayaan dalaman dan luaran KARISMA harus sentiasa dipastikan berada dalam keseimbangan dan gagasan yang dibawa perlu mudah difahami oleh masyarakat. Dengan kesedaran, kefahaman dan kemahuan masyarakat untuk bernaung di bawah nizam yang syumul ini, maka fikrah Islamiyyah mampu kekal mendominasi kampus dan wawasan penegakan syariah mampu dilaksana.

Dalam kesibukan kita bekerja, satu perkara yang tidak harus kita alpa dan leka adalah untuk melayakkan diri kita memperoleh keberkatan hasil usaha dan kerja yang dilakukan. Untuk itu, keikhlasan amalan adalah perlu bagi mendapatkan redha-Nya dan prasangka sesama sendiri perlu dihapuskan. KARISMA perlu berwibawa dan dilihat mampu menjalankan kerja-kerja perubahan ini. Pendekatan kita perlu inklusif, bukan eksklusif. Mengiktiraf bukan meminggirkan. Masa depan umat adalah tanggungjawab bersama semua gerakan Islam yang berpaut pada asas iman, ukhuwwah dan matlamat akhir yang sama.

Ayuh “Bersama Memugar Aspirasi Perjuangan, Membina Keberdayaan Gerakan!”

Sekian, selamat bersidang.

Ahmad Zubair W Ab Rahim

Presiden

Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)

Sesi 2005/2006

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: