Generasi Muda Pemangkin Penegakan Syariah

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar WaliLlahilhamd,

Ahli-ahli KARISMA yang dirahmati Allah sekalian,

Pertama-tamanya marilah kita bersama-sama mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya kita memperoleh nikmat yang begitu banyak terutamanya nikmat iman dan Islam yang kita kecapi sekarang. Syukur juga kita panjatkan kerana dengan keizinkanNya dapat juga kita mengadakan pertemuan dihari yang berbahagia ini, dibulan Zulhijjah dimana seluruh muslimin dan muslimat diseluruh dunia meraikan Eidul Adha sebagai mengingati pengorbanan Nabi Ibrahim(as) dan Nabi Ismail(as) agar kita mengambil ibrah daripada pejuangan para anbiya dalam mentaati perintah Allah s.w.t. Semoga tahun baru hijrah  (1428H) yang bakal menjelang, dapat kita muhasabah diri kita samada berubah kepada yang lebih baik atau sebaliknya.

Saudara-saudari para perwakilan dan pemerhati sekalian,

Saya ingin mengambil kesempatan ini, sebagai mewakili barisan pimpinan KARISMA Nasional dan juga seluruh warga kerja Jawatankuasa PKN 2007 untuk mengalu-alukan kehadiran saudara-saudari para perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara ke Perhimpunan KARISMA Nasional yang julung-julung kali diadakan ini. Suka saya nyatakan disini bahawa, adalah menjadi harapan saya dan juga barisan pimpinan sekelian untuk bertemu dan beramah mesra dengan seluruh ahli-ahli KARISMA sekalian selain memperbaharui tekad kita untuk terus menjalankan berjuang dalam arena masing-masing. Saya percaya para perwakilan dan pemerhati yang hadir turut berkongsi pendapat yang sama juga. Alhamdulillah berkat usaha, kesungguhan dan komitmen semua ahli KARISMA dan jawatankuasa PKN 2007 khususnya, perhimpunan yang telah dirancang dapat dilaksanakan juga pada hari ini tanpa sebarang halangan yang mendatang.

Ahli-ahli KARISMA yang dihormati sekalian,

Pendahuluan

Ummah kini kelihatan yang terkebelakang dalam pentas peradaban dunia, kita adalah pengguna bukan pengeluar, meniru bukan mencipta dan menyerahkan urusan kita kepada orang lain, bahtera kita dikemudi oleh orang lain, menuju kearah matlamat yang mereka inginkan. Sedangkan kita dinukilkan dalam al-quran sebagai ummah yang terbaik. Mengapa kita masih berkiblatkan barat? Adakah kita benar-benar melaksanakan amar maaruf nahi mungkar dan beriman pada Allah? Atau adakah dalam diri kita dan ummah ini masih lagi tertanam nilai-nilai jahiliyyah dalam diri kita. Ini perlu dibersihkan dengan ilmu dan kefahaman kita, barulah ummah ini dapat diislahkan.

”Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk dalam orang-orang yang menyerah diri.”

(Fussilat : 33)

Nasib Umat Islam

Nasib umat Islam seluruh dunia masih lagi berada dalam keadan getir. Dimana-mana jua kita lihat penindasan demi penindasan. Yang paling besar dewasa ini adalah di Iraq yang angka korbannya mencecah ratusan ribu. Satu angka kematian yang lebih besar daripada 24 tahun pemerintahan Saddam Hussein walaupun Amerika baru menjajah Iraq selama 4 tahun sahaja. Nampaknya teori ’arm to disarm’ adalah satu kesilapan di Iraq. Kematian Saddam Hussein adalah satu kemenangan bagi pihak penjajah. Namun, adakah ianya mampu menyelesaikan kemelut di Iraq?Mungkinkah ianya merupakan permulaan kepada perpecahan Iraq yang mempunyai 2 kelompok besar, syiah dan sunnah.  Bukanlah menjadi tugas kita untuk memberikan penghakiman kepada yang sudah tiada kerana itu adalah antara dia dengan Allah. Persoalannya, adakah Bush juga perlu dijatuhkan hukuman yang serupa atas tindakannya menceroboh dan membunuh rakyat Iraq?Mungkin tidak, kerana undang-undang hanya dijalankan kepada orang yang sudah tiada kekuasaan.

Di Palestin juga begitu, kemenangan HAMAS juga tidak diiktiraf walaupun mereka telah dipilih melalui proses demokrasi yang menjadi laungan perjuangan mereka, membuktikan demokrasi hanyalah alat yang digunakan bagi memastikan boneka yang memerintah.

Malaysia

Malaysia sebuah negara yang majoriti beragama Islam dan dipimpin oleh orang Islam tetapi melaksanakan sistem barat yang beraqidahkan Materialisme, ideologinya Liberalisma, politiknya Demokrasi dan ekonominya Kapitalis. Adakah kerajaan dilihat bersungguh-sungguh mengamalkan Islam apabila mahkamah syariah dicabar, tiada usaha yang konkrit bagi memperkasa mahkamah syariah. Kita yakin undang-undang syariah mampu memberikan penyelesaian yang terbaik kepada semua kerana Islam merupakan rahmat kepada seluruh alam. Bukan hanya untuk manusia semata-mata, tetapi sekalian makhluk. Sekiranya ini menjadi landasan negara kita sekarang, kesedaran dan kesungguhan kita yang akan memastikan sistem ini diubah dengan kita mendakwahkan masyarakat kampus dan luar kampus sehingga mereka berkehendakkan syariah.

IPT

Masyarakat kampus dewasa ini semakin hari semakin hanyut dengan perkara yang menjauhkan diri dari matlamat mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi khalifah di muka bumi ini. Menjadi tugas kita untuk mengembalikan mereka kepada memahami amanah ini untuk kembali kepada Quran dan Sunnah. Pengukuran kejayaan bukan hanya dengan kemenangan dalam pilihanraya kampus semata-mata, kerana pembudayaan dan penghayatan Islam sebagai satu manhaj kehidupan lebih utama dari itu. Satu bi’ah yang soleh dan musleh akan lahir daripada itu yang menjadikan elemen ilmu,iman dan akhlaq sebagai landasan.

Saudara-saudari para perwakilan dan pemerhati sekalian,

Perubahan dalam masyarakat berkait langsung dengan perubahan dalam kampus. Sejarah sudah membuktikan.Golongan pelajar adalah unsur pilihan dan terpenting yang paling banyak peranannya dalam masyarakat. Kelebihan mahasiswa yang hidup dalam budaya ilmu dan pergerakan yang dinamik mampu mempengaruhi masyarakat massa untuk bangkit bersama, begitu juga untuk berdiam diri sekiranya mahasiswa melalaikan diri dari melaksanakan kewajipan dan peranan mereka sebagai agen perubah. Masyarakat telah banyak menyumbang kepada pemerkasaan mahasiswa, maka wajar kita memberikan kembali sumbangan bermakna kepada masyarakat dari sudut pemikiran, tenaga dan amal daripada yang telah kita raih dan miliki.

Individu

Kita dipayungi dengan halatuju yang sama dalam mencari redha Allah dengan:

  1. Mengamalkan Islam dalam kehidupan kita seharian
  2. Berusaha agar islam menjadi amalan hidup masyarakat dan negara.

Inilah warisan yang kita peroleh daripada perjuangan para anbiya, ar-Rasul (saw) dan generasi terdahulu yang menjadi landasan kepada amal kita. Semoga amalan ini akan menjadi pemberat kita di akhirat kelak. Selain tidak melupakan tanggungjawab kita sebagai seorang pelajar yang diamanahkan untuk belajar dan berjaya dalam akademik kerana ianya merupakan peranan asasi kita.

FIDAK 2015

Sebagai sebuah gerakan mahasiswa yang meletakkan perlaksanaan syariah merupakan matlamat penubuhannya dalam kenyataan visi:

“Menjadi sebuah gerakan mahasiswa kontemporari yang menjana perubahan ke arah tertegaknya syariat Islam di Malaysia”

Adalah menjadi satu keperluan untuk ahli di segenap lapisan memahami tujuan kita bersama dalam saff ini. Tahun ini juga kita memperkukuhkan lagi misi kita dengan elemen berbentuk perjuangan yang disusun dalam pernyataan:

Beriltizam untuk melahirkan mahasiswa du’at soleh wa musleh yang cemerlang dari aspek sakhsiah, kepimpinan dan akademik melalui program pembangunan insan yang komprehensif,

Menggembleng tenaga mahasiswa ke arah merealisasikan Fikrah Islam Dominan Alam Kampus (FIDAK) menjelang 2015 ”

Satu  misi yang bukan hanya menitik beratkan pembangunan individu tetapi juga menyusun sumber ke arah mencapai satu wawasan yang akan menjadi pemangkin kepada perlaksanaan syariah menjelang 2020. Komitmen ini bermakna, setiap ahli perlulah bersama-sama berusaha memastikan islam dominan di kampus walaupun setelah bergraduan dan terlibat dalam relung dakwah lain. Menjadikan usaha perkembangan dakwah kampus menjadi agenda utama kerana kita memahami mahasiswa sebagai agen perubah yang terbaik sekiranya ditarbiah. Akhirnya, gerakan islam memperoleh manfaat dengan adanya Karisma sebagai gerakan mahasiswa islam yan kuat.

Saudara-saudari para perwakilan dan pemerhati sekalian,

Bagi mencapai matlamat, KARISMA perlulah mewujudkan kerjasama dengan semua pihak yang mempunyai titik persamaan dalam agenda perjuangan tanpa mengira apa jua latar belakang. Kepimpinan diperingkat nasional mengadakan hubungan dengan badan bertaraf nasional, begitu juga kepimpinan diperingkat negeri dan IPT bagi mengoptimumkan sumber yang ada dan mewujudkan sinergi yang saling memperkuatkan.

Peta strategi dilakar bagi merealisasikan FIDAK 2015 yang berteraskan kepada 6 teras kekuatan:

  1. TPSM
  2. Dana
  3. Perhubungan Raya
  4. ’Targeted’ Tajnid
  5. Public Opinion Leadership
  6. Pilihanraya Kampus

Kekuatan KARISMA terletak kepada sistem pentarbiahan yang tersusun dan organisasi yang mantap. Ini membentuk satu budaya mahasiswa memimpin mahasiswa, bukan mahasitua memimpin mahasiswa, kerana dinamisme orang muda amat kaya dengan keberanian yang tiada tandingan, idealisma yang tinggi serta semangat juang yang kuat. KARISMA yang disusun sebagai sayap mahasiswa JIM perlulah berperanan dalam menyediakan takungan kepimpinan masa hadapan.

Memperkukuh struktur yang ada dan meluaskan penglibatan dakwah perlulah menjadi agenda bagi lokaliti yang sudah matang. Namun, untuk lokaliti yang baru bermula penekanan aspek tarbiah dan kepimpinan wajar dititikberatkan. Usaha ini perlulah berterusan supaya tiada yang keciciran sepanjang perlayaran kita.

Budaya kerja yang menitik beratkan syura dalam setiap keputusan yang dibuat perlulah disemarakkan bermula daripada peringkat kepimpinan pusat sehinggalah kepada sel yang terkecil, iaitu usrah itu sendiri. Syura antara naqib dan anak usrah adalah sangat perlu bagi memastikan aktivisma dakwah dapat dioptimumkan dan tidak menzalimi individu kerana ia adalah salah satu panduan bekerja dalam satu organisasi risalah yang meletakkan agenda ummah lebih utama daripada agenda peribadi. Lebih utama, ia adalah tuntutan daripada Allah.

TPSM

Tarbiah yang tiada peningkatan ilmu,iman dan amal adalah suatu yang tidak membawa kepada kemajuan ummah. Nuqaba perlu memastikan anak usrahnya meningkat. Penghasilan daripada tarbiah seharusnya membawa kepada kefahaman,tanggungjawab dan komitmen dalam menggerakkan amal. Begitu juga tarbiah yang tidak melahirkan pelapis dan pewaris juga membawa kepada suatu yang statik yang boleh membawa kemunduran kepada gerakan. Kempen JK  TPSM, satu penggerak satu mad’u wajar disambut dengan sebaiknya.

Saudara-saudari para perwakilan dan pemerhati sekalian,

Ahli KARISMA yang baru menjinakkan diri dalam organisasi ini perlulah berinisiatif untuk meningkatkan diri dan berusaha untuk mempersiapkan diri menjadi naqib supaya boleh membawa rakan-rakan bersama-sama atau sekurang-kurangnya rakan-rakan yang lebih muda. Dengan itu anasir soleh lebih mudah untuk berkembang.

Sistem kita dalam pentarbiahan adalah dengan merujuk kepada daerah masing-masing. Sebagai contoh, IPT seperti UIA Kuantan bersama dengan penyusunan tarbiah daerah Kuantan. Kewujudan Majlis Nuqaba KARISMA Daerah(MNKD) yang menghimpunkan Nuqaba JIM IPT dan Nuqaba KARISMA dalam satu mesyuarat yang membincangkan isu pentarbiahan perlulah dipastikan kewujudannya bagi setiap daerah yang mempunyai capaian tarbiah KARISMA.

Dana

Dana merupakan satu asas penting dalam memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik. Perjuangan yang bernafas panjang perlulah menitik-beratkan tentang penjanaan dana. Untuk itu, dua strategi asas bagi memastikan penjanaan dana bagi membiayai gerakan adalah dengan mewujudkan institusi yang akan melahirkan usahawan pada masa hadapan yang akan menyumbang sepertimana Saidina Abdul Rahman bin Auf(r.a) dan Saidina Uthman bin Affan(r.a) selain memastikan projek dana yang berterusan seperti pengalaman di USM Pulau Pinang yang mempunyai gerai sendiri dan juga projek Qurban diperingkat Nasional.

Agenda 07: Perluasan dan Pengukuhan

Agenda 07 dilakar bagi meletakkan tunjang kekuatan KARISMA sebagai sebuah organisasi. Hasil daripada analisa yang telah dibuat, keperluan untuk memperluas dan mengukuhkan adalah amat perlu.

  1. Pengkaderan ahli
  2. Penubuhan wadah berdaftar di IPT
  3. KARISMA Negeri yang berperanan
  4. Relung dakwah
    1. Setiap lokaliti mempunyai program sambutan pelajar baru yang kreatif dan menarik.
    2. Penyusunan segera ke dalam sistem pentarbiahan bagi mengelakkan keciciran.
    1. Menumpukan pelebaran dakwah di IPT untuk menyampaikan mesej Islam.
    2. Wadah pengumpulan mad’u melalui dakwah yang terbuka di dalam masyarakat kampus
    1. mengoperasikan wawasan, agenda dan perancangan yang diputuskan di peringkat nasional
    2. memastikan kelancaran komunikasi dan interaksi antara KARISMA Nasional dengan KARISMA IPT
    3. menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah yang dapat memasyhurkan KARISMA ke dalam masyarakat
    4. memantau perjalanan dan perkembangan setiap KARISMA IPT sehingga boleh dipertingkatkan kepada matang atau sekurang-kurangya berpotensi.
    1. Melalui KIG yang telah di pelopori di peringkat pusat bagi laksanakan usaha dakwah dan pengumpulan mad’u.

Saudara-saudari para perwakilan dan pemerhati sekalian,

KONSIS

Kebelakangan ini sudah tiga tahun berturut-turut penganjuran Konvensyen Mahasiswa Nasional (KONSIS) yang dilihat memberi satu impak yang cukup besar kepada semua pelajar yang mendapat sentuhan tarbiah dari sumber yang sama. Ianya merupakan satu program usahasama antara KARISMA dan badan pelajar yang lain seluruh Malaysia, ia bukanlah satu program yang didominasi oleh mana-mana pihak. Ramai ahli yang sentiasa bertanya tentang KONSIS tahun mendatang, menggambarkan program ini memberikan satu lonjakan yang besar terhadap ahli. Adalah diharapkan komitmen lokaliti untuk hadir dan terlibat dalam KONSIS pada tahun-tahun mendatang. Konvensyen ini pada hemat saya, merupakan titik permulaan bagi kita untuk bekerjasama dengan lebih erat bersama rakan-rakan daripada wadah yang berlainan pada masa hadapan sekiranya kita istiqamah di jalan ini.

Halatuju Kita

Sebagai generasi baru dalam arena dakwah di Malaysia, kita perlulah menggembleng seluruh sumber untuk mencipta satu arus baru dalam menangani permasalahan generasi kita. Setiap generasi mempunyai cara dan budaya yang tersendiri.Keperluan untuk memperbanyakkan lagi ruang penglibatan bagi mengisi ruang kosong yang vakum dalam usaha kita memastikan Islam kembali gemilang adalah sangat-sangat kritikal.

Keterlibatan kita dalam wadah boleh didefinisikan dalam 3 cara:

  1. Wadah yang dimiliki
  2. Wadah yang dikuasai
  3. Wadah yang dikongsi

Setiap satu keterlibatan, mempunyai disiplin yang berlainan dalam bergerak yang seharusnya kita fahami.

JIM merupakan sebuah organisasi yang diasaskan oleh generasi sebelum kita, mempunyai perjuangan yang panjang lagi kehadapan. Adalah menjadi tanggungjawab kita mewarisi dan menyambung obor perjuangan. Namun, ia tidaklah sampai menyekat kita untuk melebarkan lagi ruang penglibatan dalam menyantuni generasi muda dalam pada masa yang sama kita tidak lupa daripada mana asal–usul kita. Diantara ruang yang telah dikenalpasti adalah:

  1. Gerakan Pemuda
  2. Media dan Penulisan
  3. Kebajikan Masyarakat
  4. Syarikat Konsortium
  5. Organisasi Profesional
  6. Sukan
  7. Politik

Ruang-ruang tersebut boleh diisi dengan penubuhan syarikat,parti,kelab dan NGO yang bersesuaian dengan bentuk gerakan. Diantara itu, penubuhan sebuah gerakan pemuda adalah amat perlu bagi mengisi ruang dakwah yang ada supaya sumber pemuda dapat dikumpulkan dan digembleng selaras dengan keperluan masakini. Takungan ini perlu dibuat bagi mengumpulkan semua graduan yang telah ditarbiah samada di Malaysia atau luar negara untuk terlibat. Hakikatnya, ramai graduan tercicir kerana ruang untuk pemuda tidak dibuka bagi kita mencurah sepenuh potensi yang ada. Kini, bahasa orang muda juga berlainan daripada generasi sebelumnya.

Selain daripada itu, media dan penulisan berperanan sebagai saluran fikrah, kebajikan masyarakat memberikan sumbangan tenaga dan kepedulian kepada masyarakat, syarikat konsortium bagi menyediakan ruang pekerjaan bagi aktivis disamping membekalkan dana bagi perjuangan, organisasi profesional menjadi tempat graduan menyumbang dalam hal-hal profesionalisma,ketrampilan dan kemahiran dalam masyarakat,kelab kesukanan yang berupaya menarik minat akar-umbi selain wadah paling selamat ketika zaman tekanan, dan gerakan politik yang boleh diterjemahkan dalam bentuk parti atau gerakan yang memperjuangkan nasib masyarakat.

Generasi Muda Pemangkin Penegakan Syariah

Golongan muda yang mempunyai tekad, keberanian, kesabaran, produktif, keyakinan pada prinsip perlulah merealisasikan segala idealisma untuk berubah dan merubah. Perubahan tersebut dapat dilaksanakan dengan:

  1. Melahir dan membimbing generasi pemimpin dikalangan pemuda
  2. Menggarap aspirasi perjuangan generasi baru
  3. Memelihara semangat ummah dan membela hak-haknya
  4. Mewujudkan ruang permuafakatan yang seluas-luasnya dengan semua pihak
  5. Memberi kefahaman kepada ummah untuk kembali kepada sistem Islam
  6. Bersedia menggantikan kepimpinan negara
  7. Melahirkan generasi yang mampu membina generasi pewaris

Penutup

Memahami kewajipan kita melakukan dakwah dan islah dengan segala sumber dan kekuatan yang ada, marilah sama-sama kita berganding bahu merealisasikan impian kita dengan pengorbanan yang besar. Islam tidak rugi sekiranya kita tidak menyumbang, kerana agama Allah ini tetap akan mencapai kemenangan. Sebaliknya kita sendiri akan rugi kerana tidak menjalankan tangungjawab kita sebagai seorang insan. Segala mehnah yang dihadapi perlulah dilihat sebagai satu asam garam dalam perjuangan dan janganlah kita dilemahkan. Janganlah takut dengan cabaran dan tekanan yang mendatang kerana kita hanya perlu takut kepada Allah Azzwajalla. Tuhan sekalian alam. Yakinlah dengan pertolongan Allah kerana rahmat Allah akan diberikan kepada sesiapa yang memperjuangkan agama-Nya. Hidup ini hanya bernilai di sisi Allah swt sekiranya ia diisi dengan perjuangan. Janji Allah swt di akhirat jauh lebih besar daripada sedikit kepayahan yang kita tanggung di dunia yang sementara ini. Firman Allah:

”Tidaklah sama antara mu’min yang duduk (yang tidak ikut berjihad) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu darjat”

(An-Nisa’:95)

Teruskan perjuangan!

Sekian, selamat bersidang.

Naim Jusri

Presiden

Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)

Sesi 2006/2007

Advertisements
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: