Mahasiswa Du’at Memimpin Perubahan Merintis Pembaharuan

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar WaliLlahilhamd,

Ahli-ahli KARISMA yang dirahmati Allah sekelian,

Pertama-tamanya marilah kita bersama-sama mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya sehingga ke saat ini telah mengurniakan nikmat yang begitu banyak kepada kita terutamanya nikmat iman dan Islam yang kita kecapi sekarang. Syukur juga kita panjatkan kerana dengan keizinkanNya dapat kita mengadakan pertemuan dihari yang berbahagia ini, disaat seluruh muslimin dan muslimat diseluruh dunia meraikan syawal sebagai tanda kemenangan melawan hawa nafsu selama sebulan dibulan Ramadhan Al-Mubarak.

Saudara-saudari para peserta dan pemerhati sekelian,

Saya ingin mengambil kesempatan ini, sebagai mewakili barisan pimpinan penaja KARISMA Nasional dan juga seluruh warga kerja Jawatankuasa PKN 2001 untuk mengalu-alukan kehadiran saudara-saudari para peserta dan pemerhati dari seluruh negara ke Perhimpunan KARISMA Nasional yang julung-julung kali diadakan ini. Bertepatan dengan suasana syawal yang sedang kita raikan ini, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Semoga bulan Ramadhan Al-Mubarak yang telah kita lalui dengan penuh kesabaran dan kesungguhan berupaya membentuk dan mendidik kita menjadi insan-insan yang bertakwa disisi Allah SWT. Suka saya nyatakan disini bahawa, adalah menjadi harapan saya dan juga barisan pimpinan sekelian untuk bertemu dan beramah mesra dengan saudara-saudari ahli-ahli KARISMA sekelian. Saya percaya para peserta dan pemerhati pun merasakan yang sedemikian juga. Alhamdulillah berkat usaha, kesungguhan dan komitmen semua ahli KARISMA dan jawatankuasa PKN 2001 khususnya, perhimpunan yang telah dirancangkan sekian lama ini dapat dilaksanakan juga pada hari ini.

Ahli-ahli KARISMA yang dihormati sekelian,

Dua tahun yang terbelakang ini, sejak pelancarannya di Kompleks Al-Amin di Sungai Pusu, tanggal 2 Mei 1999 sehingga kehari ini, KARISMA telah banyak menukilkan peristiwa-perisiwa yang penting didalam lipatan sejarah penubuhannya. Pada hari ini, alhamdulillah, dengan berlansungnya Perhimpunan KARISMA Nasional yang julung-julung kali diadakan, kita sebenarnya telah memulakan agenda tahun 2001 ini dengan baik sekali.

Marilah kita bersama-sama memohon kehadrat Allah SWT agar permulaan yang baik ini diberkati dan keberkatan yang melimpah ruah ini akan terus memacu aktivisme KARISMA dengan lebih hebat dan bertenaga dihari-hari yang mendatang. Ingin saya tekankan disini bahawa, hari ini merupakan hari yang cukup bersejarah untuk KARISMA kerana hari ini merupakan hari dimana KARISMA dengan rasminya melepasi era penajaan selama lebih kurang dua tahun. Bersesuaian juga dengan suasana syawal yang sedang kita raikan ini, saya ingin menyeru semua hadirin dan hadirat sekelian untuk memanfaatkan pertemuan singkat kita ini untuk menjalin persahabatan baru dikalangan kita disamping mengukuhkan ikatan silaturahim yang sedia ada. Marilah kita bersama-sama memulakan tahun baru dialaf baru ini dengan suasana penuh muhibbah didalam program tahunan kita yang pertama ini.

Saudara-saudari ahli KARISMA yang dikasihi sekelian,

Didalam menyiap dan menyampaikan ucapan dasar ini, saya didorong oleh beberapa perkara yang saya kira sebagai menunjangi intipati kepada perjuangan KARISMA dalam merealisasikan visinya membentuk mahasiswa du’at yang menjadi teras kepada kepimpinan pelajar samada diperingkat kepimpinan pelajar dikampus mahupun kepimpinan diperingkat nasional. Untuk itu, saya kira adalah menjadi suatu kemestian bagi pimpinan KARISMA untuk mendefinasikan perjuangan KARISMA sejelas-jelasnya disamping meletakkan asas-asas kukuh untuk pembangunan KARISMA dalam langkah awalnya menyusuri perjuangan. Berikut merupakan antara intipati penting bagi ucapan dasar ini:

1] KARISMA harus memupuk asas yang benar dan jelas dikalangan ahlinya tentang tuntutan dakwah itu sendiri disamping memastikan mereka benar-benar memahami serta menghayati misi pengislahan yang ingin dibawa, kaedah perjuangan, tradisi dan sejarah pembentukan organisasi KARISMA.

2] KARISMA harus diletakkan sebagai suatu organisasi yang bersifat ‘complementary’ kepada gerakan dakwah pelajar sedia ada. Didalam aspek ini KARISMA harus memperhebatkan PR nya dengan organisasi-organisasi pelajar yang lain terutamanya yang bersifat gerakan dakwah. Ini selain bagi memasyurkan KARISMA, tugas PR juga harus disasarkan kearah membuka segala bentuk ruang kerjasama yang ada dengan organisasi-organisasi pelajar yang lain.

3] KARISMA harus mengenalpasti dan mengukuhkan semua sumber-sumber kekuatan yang sedia ada dikalangan ahli dan organisasi sebelum penubuhannya untuk diserapkan sebagai teras-teras kekuatannya. Segala kekuatan yang telah dikenalpasti ini harus diiktiraf dan diterapkan terus menjadi amalan serta tradisi gerakkerja KARISMA. Disamping itu KARISMA juga harus berani didalam melakukan percubaan memperkenalkan metodologi dan cara pengurusan organisasi yang baru yang diyakini akan berupaya membentuk KARISMA sebagai wadah alternatif yang relevan, lebih baik, efisien dan berkesan berbanding organisasi-organisasi lain yang digantinya. Ini selaras dengan keinginan KARISMA untuk menjadi suatu badan dakwah pelajar yang mempunyai imej yang terbuka serta progresif dan fleksibel sifatnya.

4] KARISMA harus mengukuhkan ukhuwwah sesama ahli bagi memudahkannya mengembleng seluruh tenaga yang ada bagi memastikan kejayaan dan keberkesanan organisasi serta misi KARISMA itu sendiri. KARISMA harus membina imej sebagai wadah yang ingin melakukan usaha-usaha penyatuan dan kerjasama dikalangan para pendakwah yang bergerak di serata kampus seluruh tanahair didalam satu gerakan dakwah yang bersifat nasional. KARISMA berhasrat untuk menjayakan misi ini dengan mengambil pendekatan musyawarah, perkongsian dan non-confrontational.

Saudara saudari yang dihormati,

Bermula daripada detik ini, KARISMA akan melalui beberapa peringkat pembangunan strategi dan operasinya, dan ianya sekarang berada dalam peringkat pembinaan misi dan visi setelah dilahirkan melalui Perhimpunan KARISMA yang pertama ini. Didalam peringkat penajaannya, ia telah melalui proses gestasi yang agak lama iaitu hampir menjangkau dua tahun. Maka adalah diharapkan, pengalaman dan pengajaran yang ditempuhi selama didalam proses penajaan akan dapat dimanfaatkan dan seterusnya mematangkan lagi ahli-ahli KARISMA tentang selok belok berorganisasi.

Saudara saudari yang budiman,

Kini kita telah pun memasuki alaf baru yang menjanjikan suatu zaman yang serba kompetitif. Jika dilihat dari konteks realiti persaingan dikalangan mahasiswa di IPT, persaingan bukan sahaja berlaku didalam mencapai kecemerlangan akademik semata tetapi juga merangkumi bidang-bidang lain terutamanya yang berkaitan kemahiran teknologi baru. Oleh yang demikian, ahli-ahli KARISMA harus berusaha sedaya-upaya untuk mempamerkan kecemerlangan diri yang merangkumi segala aspek, termasuk keperibadian, sahsiah, penguasaan bahasa, kepimpinan dan ketrampilan. Bersesuaian dengan motto PKN pada tahun ini, “Mahasiswa Du’at Memimpin Perubahan Merintis Pembaharuan”, KARISMA harus membulatkan tekad dan mengatur misi pengislahannya dengan langkah yang lebih baik dan tersusun supaya agenda perubahan dan pembaharuan yang ingin dibawa akan mudah dilaksanakan. Konsep islah sebagai misi perubahan telah dinyatakan dengan jelas didalam firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiayai diri sendiri (kepada mereka) malaikat bertanya: ‘Dalam keadaan bagaimana kamu ini?’ Mereka menjawab: ‘Adalah kami orang-orang yang tertindas dinegeri (Makkah)’. Para malaikat berkata: ‘Bukankah bumi Allah itu luas sehingga kamu dapat berhijrah dibumi itu?’ Orang-orang itu tempatnya neraka jahanam, dan jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali.”

[An-Nisa’:97]

Ingin saya tegaskan disini bahawa misi perubahan yang ingin kita bawakan adalah bertepatan dengan tuntutan hijrah yang dinyatakan didalam Al-Quran. Kita mesti memindahkan diri dan masyarakat kita daripada persekitaran maddiyah kepada persekitaran rabbaniyah.

KARISMA membawa misi pengislahan

Para peserta dan pemerhati yang dihormati sekelian,

Didalam ucapan dasar ini, sebagai ucapan dasar yang pertama oleh Presiden KARISMA yang pertama, saya kira adalah amat penting untuk saya menggariskan kenapa KARISMA itu penting dan relevan dipersada dakwah pelajar tanahair. Saya merasakan adalah penting untuk para ahli sekelian berusaha untuk memahami sedalam-dalamnya tujuan penubuhan KARISMA dan juga wawasan para pemimipinnya supaya mereka tidak berlengah-lengah lagi menempatkan diri didalam gerakerja KARISMA serta berkongsi misi dan visi yang telah ditetapkan oleh pimpinan organisasi. Saya berpandangan selagi kita melengah-lengahkan diri kita untuk mengambil tempat dalam era pengislahan arus perdana negara, maka kita akan sentiasa ketinggalan dibelakang, sedangkan pada waktu yang sama kita mengakui bahawa diri kita ini merupakan sebahagian dari gerombolan manusia yang memikul tugas dakwah dimuka bumi Allah ini. Saya percaya bahawa para ahli sekelian, sebagai orang yang sudah terlibat langsung didalam kegiatan dakwah dikampus sudah cukup memahami akan tuntutan dakwah keatas diri masing-masing. Walaubagaimanapun, saya kira adalah amat penting bagi saya untuk ucapan dasar yang pertama ini, menjelaskan dengan secukupnya pengertian ‘islah’ sebagaimana yang tertera didalam nama organisasi kita. Saya merasakan bahawa antara faktor kritikal yang akan menetapkan samada kita berjaya atau tidak sebagai satu organisasi ‘pengislahan’ adalah tahap kefahaman dan penghayatan kita terhadap tugas pengislahan setiap individu dalam organisasi KARISMA yang disertai. Ingin saya tegaskan disini bahawa didalam KARISMA, tugas pengislahan merupakan raison-detre penubuhan KARISMA itu sendiri. Untuk itu, setiap ahli harus mempunyai keyakinan yang padu dan jelas tentang misi pengislahan yang ingin kita bawa kerana ianya menuntut komitmen, kesanggupan dan kesungguhan yang tinggi. Didalam hal ini saya suka mengambil firman Allah SWT sebagai panduan kepada kita:

“Aku tidak bermaksud kecuali untuk melaksanakan pengislahan dengan segala kesungguhanku. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya aku kembali”
(Hud:88)

Saudara-saudari yang dihormati,

Pengertian al-islah membawa maksud yang besar sekali terutamanya kepada diri kita yang menggelarkan diri sebagai sekumpulan du’at yang ingin membawa masyarakat kearah kebaikan. Al-islah itu membawa maksud pembaikan, pembaharuan dan perdamaian. Misi kita untuk merealisasikan ‘Mahasiswa Du’at Teras Kepimpinan’ dengan jelas menunjukkan teras usaha dan perjuangan kita adalah untuk memupuk dan melahirkan pemimpin-pemimpin dikalangan pelajar yang bersifat du’at, yang berupaya untuk memandu masyarakat sekelilingnya keluar dari budaya jahiliyyah, menyuruh yang maaruf dan mencegah yang mungkar. Ini bersesuaian dengan konsep Islah sebagai misi pembaikan dan pencegahan.

Firman Allah SWT:

“Hai Nabi, Kami mengutuskan engkau sebagai saksi, dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan, dan untuk menjadi penyeru (da’i) kepada (deen) Allah dengan seizin-Nya dan untuk menjadi cahaya yang menerangi.”
(Al-Ahzab: 45-46)

Firman Allah SWT:

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk didalam orang-orang yang menyerah diri (muslimin).”
(Fussilat:33)

Firman Allah SWT:

“Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Dawud dan Isa ibn Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat.”
(Al-Mai’dah: 78)

Firman Allah SWT:

“Dan Peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja diantara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaannya”
(Al-Anfal:25)

Firman Allah SWT:

“Janganlah kamu membuat bencana dimuka bumi ini, sesudah diadakan perbaikan dan bermohonlah kepada Tuhanmu dengan perasaan takut dan penuh harapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang berbuat kebaikan.”
(Al-A’raf: 56)

Saudara saudari yang dirahmati Allah sekelian,

Diawal penubuhannya lagi, kita sudah menetapkan bahawa, gerakan pelajar yang ingin kita perjuangkan adalah yang bersikap terbuka, mengambil pendekatan perkongsian dan berimej positif. Kita merasakan bahawa melalui pendekatan yang sedemikian, segala usaha pengislahan yang mahu dilakukan akan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, terutamanya jika mendapat sokongan dari masyarakat pelajar yang bersifat majmuk. Kita merasakan bahawa perjuangan kita tidak harus dihadkan sekadar didalam ruang lingkup gerakan dakwah dikalangan pelajar muslim semata-mata. Sebaliknya, kita merasakan bahawa keadilan dan keindahan Islam itu harus kita sebarkan kepada seluruh umat manusia didalam konteks membawa mereka keluar dari lembah kejahilan menuju lapangan kebenaran yang hakiki.

Saudara saudari yang dirahmati Allah SWT,

Untuk mencapai hasrat itu, kita telah menetapkan bahawa keahlian KARISMA hendaklah dibuka kepada warga IPT non-muslim untuk membolehkan mereka bersama-sama merasai ‘first-hand experience’ berada dibawah kepimpinan yang mendukungi aspirasi Islam yang unggul. Kita percaya bahawa, melalui pendekatan sebegini, masyarakat pelajar non-muslim akan lebih memahami pendekatan Islam yang adil dan bersifat universal. Kita mengunjurkan bahawa, jikalau tidakpun mereka menerima Islam sebagai cara hidup, sekurang-kurangnya mereka menyokong dan meyakini kepimpinan dan dasar-dasar Islam sebagai yang terbaik. Dengan pendedahan sedemikian rupa, kita amat yakin bahawa ruang pengislahan masyarakat pelajar akan lebih terbuka luas kerana kita bukan sahaja mendapat sokongan dan dukungan dari para pelajar muslim tetapi juga golongan non-muslim yang merupakan sebahagian dari lapisan masyarakat pelajar yang berada di IPTA dan IPTS seluruh negara. Dengan dukungan ini, KARISMA berhasrat untuk mewujudkan model-model kepimpinan Islam yang membolehkan kaum non-muslim merasakan bahawa mereka bernaung dibawah satu kepimpinan yang adil dan saksama. InsyaAllah, kita yakin melalui penerimaan model kepimpinan Islam di IPT (micro-environment) yang cuba kita jayakan ini akan memudahkan lagi kepimpinan Islam mengorak langkah untuk diterima sepenuhnya didalam konteks sosio-politik masyarakat Malaysia yang majmuk (macro-environment).

Saudara saudari yang dikasihi,

Didalam konteks perjuangan kita, semua ahli perlu sedar bahawa pendekatan terbuka dan perkongsian ini adalah merupakan teras pendekatan kita. Kita merasakan bahawa, demi menjamin kesegaran dan kesuburan usaha-usaha pengislahan, KARISMA harus mengenalpasti dan mengiktiraf segala anasir yang akan membantu dan memudahkan usaha pengislahan itu sendiri. Diatas pendekatan ini, KARISMA harus memperluas, memperkembang dan meneruskan konsep kerjasama yang sudah dipelopori sejak awal penubuhannya dengan pertubuhan-pertubuhan pelajar lain, terutamanya yang bersifat gerakan dakwah. Ini bagi memastikan interaksi yang diwujudkan akan menyuburkan lagi perkongsian idea dan pandangan, seterusnya melonjakkan misi pengislahan yang mahu kita terapkan didalam masyarakat pelajar. Diwaktu yang sama, kita juga harus menjalankan PR yang berterusan dengan pertubuhan-pertubuhan pelajar yang dianggotai oleh para pelajar non-muslim supaya dengan adanya interaksi yang berterusan ini akan memberikan kita gambaran yang lebih sempurna, jelas dan tepat tentang keadaan semasa masyarakat yang terdiri dari berbagai lapisan budaya dan latarbelakang.  Dengan interaksi dan persefahaman yang dibina ini juga, kita mengharapkan mereka akan dengan lebih mudah memahami dan menerima model kepimpinan Islam yang kita perjuangkan.

Pembudayaan IT didalam KARISMA

Saudara saudari yang dihormati,

Dalam mendepani era globalisasi ini, KARISMA sebagai badan dakwah mahasiswa yang dinamik dan terbuka, berhasrat untuk menjadi qudwah yang unggul dalam mempelopori arena dakwah mahasiswa tanahair yang berteraskan budaya IT.

Didalam merealisasikan agenda ini, ahli-ahli KARISMA harus mampu menterjemahkan misi dakwah dalam bentuk yang menarik dan relevan dengan keperluan masyarakat pelajar masakini. Dakwah KARISMA harus bersifat inovatif dengan menggunakan teknologi terkini sesuai dengan keperluan dan kecanggihan tatacara kehidupan masakini. Gesaan kepada para pendakwah untuk lebih berinovatif didalam menjalankan kerja dakwah mereka telah juga ditekankan oleh Presiden JIM dalam ucapan dasarnya pada PPN JIM 2000. Dalam merealisasikan misi ‘Bersama Islam Membina Masyarakat’, ahli-ahli JIM digesa supaya lebih kreatif dan inovatif dalam menjalankan tugas dakwah mereka, tidak kira ruang lingkup institusi dakwah mana yang mereka ceburi. KARISMA sebagai salah satu institusi dibawah kelolaan JIM harus menyambut hasrat murni ini dan berusaha bersungguh-sungguh didalam memastikan bahawa dakwah pelajar yang digagaskan oleh KARISMA dilonjakkan aktivismenya melalui keupayaan IT yang canggih dan terkini.

Dengan munculnya teknologi internet yang mula menguasai corak manusia berkomunikasi pada pertengahan dekad sembilan puluhan, komunikasi antara individu diperingkat global semakin berkembang dan meluas. Sesungguhnya teknologi internet telah merevolusikan cara manusia berkomunikasi dan menyampaikan maklumat melalui capaian dan skopnya yang bukan sahaja cepat tetapi juga meluas. Kesan dari ciptaan terbaru ini hampir menyamai kuasa berkomunikasi yang diberikan kepada manusia apabila telefon dicipta lebih seratus tahun lalu. Sesuai dengan penerapan dan pertumbuhan budaya ilmu, golongan pelajar merupakan golongan yang paling terkesan dan tertarik dengan penemuan baru dan terkini. Oleh itu, adalah bertepatan jika KARISMA sebagai suatu organisasi dakwah yang digerakkan oleh mahasiswa untuk mahasiswa mengeksploitasi kuasa baru ini didalam tugasan dakwahnya. Ahli-ahli KARISMA harus menyedari tentang kemunculan kuasa baru ini dan kesannya, seterusnya memanfaatkan kuasa ini didalam merealisasikan misi dan visi dakwah KARISMA. Ahli-ahli KARISMA harus segera mengambil kesempatan yang terbuka luas ini dengan lebih serius dan bersungguh-sungguh untuk mendekati golongan mahasiswa bukan sahaja di serata kampus seluruh tanahair, malah juga seluruh dunia.

Oleh itu saya menyarankan agar setiap ahli KARISMA berusaha sedaya upaya untuk menguasai teknologi IT yang terkini kerana hanya melalui penguasaan yang menyeluruh sahajalah kita mampu untuk bersaing dan menjadi suatu organisasi dakwah yang relevan didalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini. Di universiti-universiti terkenal di benua Eropah dan Amerika Syarikat, kajian sedang giat dijalankan berkenaan kaitan kuasa pengetahuan dengan kuasa ekonomi sesuatu negara. Adalah dijangkakan abad ke 21 ini akan menyaksikan penguasaan pengetahuan terkini sebagai syarat utama keatas pengukuhan kuasa ekonomi sesuatu negara. Maka dengan inilah timbul istilah baru seperti ‘K-Ekonomi’ yang secara jelas menggambarkan betapa kuasa ekonomi sekarang bergerak daripada orang yang mempunyai modal atau kapitalis kepada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan. Kita mesti sedar dan segera bangkit dalam menangani perubahan ini dan kita mesti pro-aktif dan responsif kepada perubahan ini didalam menentukan misi dan gerakerja kita dimasa yang mendatang. Kita mesti menyedari bahawa dimasa depan, jatuh bangunnya sesuatu kuasa ekonomi terpulang kepada betapa prihatinnya rakyat didalam sesuatu negara untuk meningkatkan keupayaan teknologi, mengembangkan ilmu dan memperbaharui kemahiran masing-masing.

Saudara saudari peserta dan pemerhati sekelian,

Didalam konteks dakwah KARISMA, saya merasa amat yakin bahawa melalui penguasaan pengetahuan yang menyeluruh dan terkini berkenaan dengan kepenggunaan teknologi IT, kita akan berupaya untuk menjadikan KARISMA yang kita cintai ini lebih efisien dari segi organisasinya dan lebih efektif dari segi dakwahnya, insyaAllah. Secara dasarnya apa yang ingin ditekankan disini ialah ahli-ahli KARISMA harus menjadikan keupayaan teknologi IT yang dikuasai sebagai salah satu ‘tool’ yang utama didalam kerangka kerja dakwah mereka. Melalui penguasaan yang mendalam berkenaan teknologi IT yang terkini oleh setiap ahli, sudah tentulah ia akan membantu kita secara kolektifnya sebagai satu organisasi didalam merealisasikan misi dakwah, samada di peringkat lokaliti ataupun nasional.

Pembudayaan dakwah dalam masyarakat pelajar

Saudara saudari rakan seperjuangan,

KARISMA berhasrat untuk mengumpul dan mengerahkan seluruh tenaga dan kemampuan yang ada untuk membudayakan dakwah didalam masyarakat mahasiswa yang merangkumi berbagai latar belakang, yang terdiri daripada berbilang bangsa, kebudayaan dan bahasa sesuai dengan tuntutan agama Islam yang menyeru kepada semua manusia bukan sahaja tertumpu kepada sesuatu bangsa sahaja.

Untuk medan fokus ini, KARISMA hanya akan mencapai objektifnya jika ia mengambil dua arena yang akan saya sebutkan ini sebagai tumpuan utama dalam gerakerjanya iaitu dakwah kepada non-muslim dan peluasan kerjasama dengan pertubuhan pelajar lain terutamanya yang bersifat gerakan dakwah. Pembudayaan dakwah dalam kehidupan masyarakat pelajar, dengan harapan pelajar sebagai pewaris kepimpinan masyarakat masa depan akan berupaya memandu masyarakat kearah kebenaran yang hakiki. Untuk itu, bagi memastikan kedua-dua arena ini mencapai sasarannya, KARISMA harus berusaha mengukuhkan hubungan sedia ada dengan pertubuhan-pertubuhan pelajar yang bergandingan bersama-sama dengannya didalam Majlis Pelajar Malaysia (MPM) disamping melakukan usaha yang berterusan untuk mencipta bibit-bibit hubungan baru dengan pertubuhan-pertubuhan pelajar yang lain.

Satu perkara yang harus dipelajari dan diamati sepanjang penglibatan kita didalam MPM ialah tentang kesediaan kita sebagai satu organisasi untuk memberikan komitmen yang padu didalam menyumbang tenaga kepimpinan dan idea kearah pemantapan perjuangan pelajar diperingkat gabungan pertubuhan-pertubuhan pelajar nasional. Didalam usianya yang sebegitu muda, KARISMA harus berusaha untuk mempertingkatkan penglibatannya didalam siri meja rundingan dengan pertubuhan-pertubuhan pelajar lain dalam menerajui isu-isu semasa samada yang berkaitan langsung dengan aspirasi para pelajar atau sebaliknya. Suka saya nyatakan disini bahawa, pengalaman yang telah kita kecapi didalam MPM telah sedikit sebanyak mematangkan kita didalam cara kita berorganisasi. Ia juga membuatkan kita sedar betapa perlunya kita lebih peka kepada suasana dan keadaan diluar kepompong organisasi kita sendiri. Sebagai orang yang terlibat lansung mewakili KARISMA di meja rundingan MPM, saya merasakan bahawa KARISMA telah diiktiraf kewujudan dan peranannya oleh pertubuhan-pertubuhan pelajar lain yang menganggotai MPM seperti GAMIS, PKPIM, BBMN, Gerakan Mahasiswa Lantang, DEMA dan Jawatankuasa Pelajar PUM. Saya juga merasakan bahawa, penglibatan ini telah banyak memberikan keyakinan kepada kita sebagai satu organisasi untuk mengambil tempat didalam senario sebenar perjuangan pelajar arus perdana.

Saudara saudari yang dihormati,

Penglibatan langsung kita didalam MPM telah membuka ruang perjuangan baru seluas-luasnya untuk ahli-ahli yang mungkin selama ini hanya didedahkan dengan senario dakwah dikampus semata-mata. Tentu sekali pengalaman kita ini merupakan suatu pengalaman yang cukup berharga dan memberikan paradigma yang baru yang akan memberi kesan yang langsung kepada cara kita berfikir dan mengatur startegi dakwah dalam menghadapi mehnah, kemelut serta cabaran perjuangan yang berbagai. InsyaAllah, melalui pengalaman yang bukan sedikit didalam MPM, saya amat yakin KARISMA akan berupaya untuk menyusun pendekatan dan gerakkerjanya dengan lebih baik bagi memastikan ianya tetap relevan kepada perjuangan memenuhi imej pelajar itu sendiri sebagai jurubicara masyarakat. Kita telah membuktikan bahawa, kita telah sebenarnya mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pertubuhan pelajar lain yang sudah lama wujud dinegara kita didalam mengeluarkan pendapat dan pandangan mahasiswa tanahair berkenaan apa sahaja isu, samada yang melibatkan mahasiswa secara langsung mahupun negara secara amnya.

Saudara saudari yang dirahmati Allah SWT,

Berkenaan dengan arena yang kedua pula, saya merasakan bahawa, dakwah kepada non-muslim adalah merupakan bidang yang mempunyai potensi besar untuk digerakkan oleh KARISMA. Jikalau kita melihat kepada senario perjuangan dan fokus gerakkerja gerakan dakwah pelajar tanahair, medan ini belum lagi diterokai secara serius oleh sebahagian besar daripada mereka. Jikalau ada pun, usaha mereka nampak terpancar-pancar dan tidak menjadi agenda utama yang dilakukan secara berterusan. Saya percaya, sebagai satu gerakan pelajar yang digerakkan oleh mereka yang berjiwa dai’, medan ini harus kita terokai secara serius didalam komitmen untuk mencapai misi pengislahan kita. Alhamdulillah, pada September yang lepas KARISMA telah menghantar 40 orang ahlinya untuk dilatih oleh seorang yang pakar didalam bidang ini iaitu Sdr. Abdul Rahman Lim didalam program yang diatur khas dan dijalankan di Hotel Seri Malaysia, Port Dickson, Negeri Sembilan. Kita sungguh bertuah kerana JIM Melaka dan JIM Negeri Sembilan telah menunjukkan kesungguhan dan komitmen yang tinggi dalam menghulurkan bantuan dengan menaja keseluruhan  pembiayaan program tersebut. Program tersebut telah memberi peluang kepada ahli-ahli KARISMA untuk menimba ilmu dan mengasah kemahiran didalam usaha untuk membuka ruang menjadikan ‘Dakwah kepada non-muslim’ sebagai salah satu agenda dakwah mereka.

Saudara saudari yang budiman,

Bagi memastikan kejayaan kedua-dua arena yang ingin kita ceburi ini, ahli-ahli KARISMA perlulah mempunyai kemahiran interpersonal (keupayaan berkomunikasi dengan orang lain) dan intrapersonal (komunikasi dalaman diri) yang tinggi. Kita mesti membentuk budaya berfikir yang inovatif, strategik dan lebih peka kepada perubahan sekitaran dan keperluan masyarakat semasa. Ahli-ahli KARISMA tidak seharusnya menghadkan penglibatan mereka didalam kegiatan-kegiatan dikampus sahaja sebaliknya mereka perlu terjun terus ditengah-tengah masyarakat dan berusaha untuk memahami serta menghayati setiap permasalahan yang mereka hadapi.

Saudara-saudari yang dikasihi sekelian,

KARISMA harus menyahut cabaran yang telah dilaungkan oleh mantan Presiden JIM, Abu Urwah untuk melakukan usaha-usaha pengukuhan keyakinan dan pemantapan dikalangan ahli-ahlinya. Untuk menjadi satu gerakan dakwah pelajar yang kekal relevan dan semakin dikenali, KARISMA harus meningkatkan penyertaannya dan diwaktu yang sama mempelbagaikan aktiviti dakwah yang bersifat ‘inter-organisational’ dan nasional. Didalam misinya untuk sentiasa berjalan seiring dengan agenda ummah, ahli-ahli KARISMA mesti membebaskan diri mereka dari kepompong dunia kampus dan tidak mewujudkan ciri ekslusif dalam dinamisme dan aktivisme pelajar yang hanya berada dalam sempadan kampus dan lingkungan semata-mata .

Kepimpinan yang terarah

Saudara saudari yang dikasihi,

KARISMA juga berhasrat untuk melahirkan mahasiswa du’at yang mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi, berwawasan dan berdayamaju, yang mampu untuk memimpin organisasi dan juga masyarakat disekelilingnya kearah kebaikan dan kesejahteraan.

Ingin saya nyatakan disini bahawa, KARISMA diinstitusikan oleh JIM sebagai satu platform nasional bagi para mahasiswa yang telah sekian lama mengikuti sistem tarbiyyah yang dioperasikan oleh ahli dan rakan JIM. KARISMA telah ditubuhkan sebagai satu manifestasi keprihatinan JIM untuk mewujudkan platform rasmi dikalangan pelajar yang mantap dan berpengaruh. Kesedaran tentang peri pentingnya kepimpinan yang terarah dikalangan kepimpinan para pelajar telah mula bangkit sejak akhir-akhir ini apabila anak-anak ahli JIM mula meningkat dewasa dan memasuki menara gading bagi melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat diploma dan ijazah. Sebagai orang-orang yang sentiasa mempunyai iltizam untuk menggerakkan dakwah didalam masyarakat, ahli-ahli JIM menginginkan perjuangan mereka dikongsi bersama oleh anak-anak mereka. Ahli-ahli KARISMA diharapkan akan menjadi tenaga sokongan, pewaris dan pelapis kepada ayah, ibu, abang dan kakak mereka didalam JIM seperti yang telah digariskan oleh Presiden JIM yang pertama, Abu Urwah dalam ucapannya yang bertajuk ‘Penyusunan dan Pengurusan Jawatankuasa Pusat: Pengoperasian Kerja Untuk Menempatkan JIM Sebagai NGO Terulung’ . Didalam ucapannya, Presiden JIM ketika itu telah menggariskan empat fokus utama dalam kerangka kerja JIM-IPT iaitu:

1.    Menginstitusikan Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA).

2.    Melancarkan dan mengendalikan perjalanan baik Buku Panduan Tarbiyyah IPT.

3.    Menjalankan beberapa program bersama-sama PKPIM, ABIM dan GAMIS.

4.    Menjalankan latihan dan pembangunan Kepimpinan bagi pelajar-pelajar IPT.

Saudara saudari yang dihormati,

KARISMA harus memastikan bahawa kepimpinan masyarakat diisi dengan kepimpinan yang berteraskan kefahaman dan kemantapan fikrah Islam yang sebenar. Untuk itu strategi dan perancangan harus dimulakan dari sekarang supaya generasi pemimpin akan datang bakal dibarisi oleh mereka yang mempunyai kefahaman yang jitu terhadap tuntutan agama Islam yang suci. JIM sebagai badan induk KARISMA telah menempatkan KARISMA sebagai ‘priority’ dalam pengoperasian kerjanya untuk jangkamasa yang terdekat ini supaya takungan golongan soleh wa musleh yang bakal mengambil pundak kepimpinan negara tidak akan ketandusan dimasa akan datang. Dengan adanya KARISMA sebagai salah satu sayap kepada JIM, tenaga sokongan dikalangan pelajar dapat digembleng untuk bersama-sama berkongsi misi ‘Bersama Islam Membina Masyarakat’ yang menjadi teras kepada perjuangan pengislahan JIM. Melalui beberapa episod gagasan rakyat yang mula menyuarakan pendapat dan menuntut keadilan, maka disitu timbul satu keperluan yang begitu mendesak. Keperluan ini adalah untuk mengambil tugas memimpin masyarakat agar gagasan yang lahir dari kesedaran yang membuak-buak ini digerak dan didasarkan kepada prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan yang menjadi tunggak kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Dewasa ini, gerakan-gerakan Islam dinegara kita telah mula menyedari betapa perlunya mereka tampil mengambil amanah untuk menerajui pundak kepimpinan ini supaya segala usaha pengislahan yang mahu dilakukan keatas ummah dan negara adalah berpaksikan kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. KARISMA sebagai salah satu gerakan dakwah dikalangan pelajar yang merupakan pewaris kepada kepimpinan negara harus merasa terpanggil untuk mengisi amanah dan harapan ini.

Saudara saudari yang dihormati,

Bagi mengisi amanah dan harapan ini, KARISMA harus berupaya melahirkan bakal-bakal pemimpin yang berwawasan, berkarisma, berilmu dan beramal dengan ajaran Islam yang sebenar. Setiap dari ahli KARISMA harus berupaya untuk menjadi pemimpin yang memimpin perubahan. KARISMA tidak berhasrat untuk melahirkan ahli-ahli yang menjadi ‘passenger’ kepada arus perubahan. Mereka harus mampu mencorakkan keadaan sekitar mereka dengan perkara-perkara kebaikan dan menjadi anasir penggalak yang mempengaruhi rakan-rakan disekeliling dalam usaha untuk menegakkan perkara yang maa’ruf dan mencegah yang mungkar. Sebagai pemimpin kepada perubahan, setiap ahli KARISMA menghadapi satu tugas yang berat, namun kita percaya dengan ciri yang kita miliki ini, insyaAllah kita mampu mengangkat misi kita untuk menunjangi idealisme perjuangan para pelajar tanahair.

Saudara saudari rakan seperjuangan,

Mulai hari ini, setiap dari kita mesti mengambil tugas ketua didalam masyarakat masing-masing. Seorang ketua yang sedar mampu mengurus sumbernya dengan baik dan saksama. Ingin saya ingatkan rakan-rakan sekelian bahawa, untuk menjadi seorang ketua dan dai’ yang efektif, kita haruslah mengetahui kekuatan serta kelemahan kita seterusnya mencuba untuk memperbaiki kelemahan disamping memperkukuhkan kekuatan yang dimiliki.

Setiap dari kita adalah ketua dan kepada barisan pimpinan yang merupakan ketua kepada angkatan segala ketua, anda bukan sahaja mengetuai tetapi juga memimpin mereka dibawah yang meletakkan harapan yang tinggi untuk mengemudi KARISMA ke mercu kejayaan. Seperti yang dikatakan oleh Stephen Covey; “Keuntungan bukan matlamat, sebaliknya adalah hasil atau tuaian”. Kita jangan sekali-kali berpuas hati dengan satu kejayaan, sebaliknya kita hendaklah sentiasa berusaha untuk memperbaharui tekad dan azam supaya kejayaan akan sentiasa kita tuai dari masa ke semasa, berkat dari usaha, perancangan dan pergantungan kita kepada Allah SWT.

Saudara Saudari yang dirahmati Allah sekelian,

Ingin saya tekankan disini bahawa, kesediaan dan komitmen ahli KARISMA untuk bekerja dalam satu pasukan adalah penting dalam memastikan kejayaan KARISMA sebagai sebuah organisasi yang berdaya maju. Dalam memastikan komitmen yang unggul daripada ahli, para pimpinan KARISMA sekelian haruslah mempunyai rasa empati terhadap para ahli. Pimpinan sekelian harus sentiasa ‘turun padang’ dan melihat keperluan organisasi dari sudut pandangan ahli itu sendiri. Pimpinan harus menghargai untuk dihargai, disamping sentiasa memfokuskan kelebihan ahli serta apa yang mereka boleh sumbangkan melaluinya dan bukan memperbesarkan kelemahan yang sedang dalam proses pembaikan.

Andrew Carnegie ada menyatakan bahawa “Bekerja dengan manusia umpama melombong emas”. Dari kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa jika kita ingin mendapatkan emas, kita perlu membersihkan segala kekotoran yang ada dalam selonggok emas sebelum kita berjaya mendapatkan setahil emas. Dalam proses pembersihan ini jangan sekali-kali kita tersilap langkah. Seringkali kita tersilap perkiraan dalam proses ini dengan menumpukan kepada kekotoran dan debu yang ada, bukan emas itu sendiri. Pemfokusan haruslah kepada emas yang kita inginkan itu. Dengan cara inilah kita akan mendapat hasil yang maksimum bila kita berorganisasi. Manusia biasa tidak akan bebas dari kelemahan dan kekurangan, apa yang para pimpinan harus lakukan ialah melakukan usaha yang berterusan dalam mengasah bakat dan kekuatan yang ada pada diri ahli-ahli supaya ianya bersinar dan bercahaya. Sudah tentunya pengumpulan kekuatan yang ada ini akan kemudiannya menyumbang kearah kekuatan dan keberkesanan KARISMA itu sendiri sebagai organisasi yang berkesan, efektif dan berdaya maju. Ini merupakan satu prasyarat kearah hubungan yang responsif dan interaktif antara pemimpin dan ahli serta merupakan perkara yang kita harus pupukkan didalam organisasi kita.

Tarbiyyah yang mantap dan tersusun

Saudara saudari yang dikasihi sekelian,

Dalam mendepani era transformasi dakwah arus perdana, KARISMA ingin memperbaharui dan memantapkan azam serta komitmennya dalam memastikan bahawa agenda dakwahnya yang selama ini berteraskan susunan tarbiyyah yang mantap, menyeluruh dan bersinergi bukan sahaja dipertahankan malah diperkukuhkan lagi.

Oleh kerana gerakkerja KARISMA agak berlainan dengan apa yang sebahagian dari kita sudah biasa sebelum ini, timbul kerungsingan berkenaan samada KARISMA akan melestarikan kesinambungan kemantapan tarbiyyah yang sudah dipupuk selama ini. Saya sebagai mewakili barisan pimpinan ingin menegaskan disini bahawa KARISMA akan memastikan bahawa segala ciri dan corak tarbiyyah yang telah diatur sekian lama akan diteruskan perlaksanaannya, malah akan terus dikekal dan diperkukuhkan lagi pendekatan dan modus operandinya selama mana ia dirasakan sesuai mengikut keperluan sesuatu tempat dan masa. Kita merasakan bahawa seiring dengan agenda pengukuhan sukatan tarbiyyah yang sedia ada, dakwah itu  sendiri harus bersifat dinamik dan pendekatannya harus fleksibel, reponsif dan progresif dengan mengambil kira segala keperluan dan perubahan yang sentiasa berlaku didalam masyarakat. Kita tidak seharusnya tertipu dengan diri kita sendiri dengan mengambil keselesaan kita bergerak berdasarkan tradisi dan kebiasaan sebagai asas kepada gerakan dakwah kita tanpa mengambil kira situasi dan keperluan sebenar masyarakat semasa.

Untuk itu siri Latihan dan Kepimpinan Pelajar Pusat (LKPP) akan sentiasa diadakan bagi dijadikan medan untuk para nuqaba’ membincangkan sukatan tarbiyyah yang bersesuaian dengan senario semasa. Konvensyen Tarbiyyah Nasional pula dilangsungkan untuk memberi ruang kepada para ahli teras dan nuqaba’ menyelaraskan model operasional tarbiyyah yang digerakkan ditempat masing-masing. Seminar Mahasiswa Du’at pula diadakan bagi mengumpulkan semua ahli dan bukan ahli diseluruh negara yang telah berada didalam sistem tarbiyyah KARISMA untuk diberi latihan tarbiyyah disamping mengukuhkan silaturrahim antara satu sama lain. KARISMA berharap melalui tindakan dan strategi yang dijalankan ini ia akan berupaya untuk melahirkan mahasiswa du’at yang mantap fikrah dan kukuh kefahaman mereka tentang ad-deenul Islam, yang bukan sahaja mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi malah mampu menguasai berbagai cabang ilmu dunia dan akhirat. Melalui siri latihan yang disediakan juga, KARISMA mengharapkan para du’at mempunyai kompetensi atau berkebolehan dalam menganalisis waqi’ sekitaran mereka secara objektif dan kritis disamping berupaya untuk membuat bukan sahaja tindakan yang pantas tetapi juga tepat bacaannya. Kemahiran ini penting supaya sinergi perjuangan dakwah KARISMA akan berpanjangan dengan adanya ahli-ahli yang berkemampuan dan berstamina tinggi dalam dakwah.

Dalam mengepalai tugas-tugas membawa masyarakat kearah kebaikan, ahli-ahli KARISMA juga mesti memahami tuntutan Islam di atas tugas-tugas perubahan serta berusaha sedaya upaya untuk ikut serta dalam melaksanakan perubahan dan pengislahan dengan segala kesanggupan. Ini bermakna ahli KARISMA mesti merasakan bahawa setiap dari mereka perlu terjun melibatkan diri secara aktif dan langsung dalam tugas-tugas memimpin masyarakat kearah perubahan, bukan setakat menjadi penonton yang pasif diluar aliran arus perdana. Ini kerana, sikap berselindung dibalik tabir atau ‘dibawah tanah’ tidak akan memungkinkan kita untuk mengepalai dan memimpin masyarakat kearah usaha ‘tajdid’ yang menyeluruh. Jika kita serius dalam misi ini, kita harus membenarkan diri kita untuk dikenali dan diiktiraf peranannya. Sekiranya tindakan kita tidak mirip kearah itu, maka selama-lamanyalah kita tidak akan berperanan dalam usaha pengislahan masyarakat kerana kita tidak dikenali dan tidak mengenalkan diri kita sebagai orang yang berminat dan boleh dipercayai untuk memimpin masyarakat.

Seperti yang kita telah maklum, dakwah dan tarbiyyah merupakan intipati perjuangan kita. Ianya merupakan pundak dan punca kenapa KARISMA diwujudkan. Oleh itu tidak dapat tidak kita harus sentiasa menjuruskan segala usaha dan tenaga kita untuk memperbaiki dan memperelok tugas dakwah dan tarbiyyah kita. Sistem dakwah dan tarbiyyah kita harus berupaya untuk menyediakan golongan muda dengan kelengkapan rohani dan jasmani seperti yang diutarakan untuk menghadapi cabaran-cabaran era teknologi siber yang maha hebat dialaf baru ini. Serasi dengan kecanggihan teknologi terkini, golongan muda hari ini terdedah luas dengan ancaman gejala sosial yang bermacam-macam wajahnya. Walaubagaimanapun, kecanggihan era siber yang ditonjolkan melalui pencapaian teknologi internet dan digital bukan semuanya menjerumus kearah kehancuran, kemudahan capaian internet telah banyak membuka ruang dalam peluasan teknik dan amalan pendidikan dewasa ini. Kecanggihan teknologi yang ada memungkinkan para pelajar untuk mendapatkan bahan rujukan untuk pelajaran mereka dengan lebih mudah. Maklumat kini hanya dihujung jari. Mereka hanya perlu menekan papan kekunci komputer dan dengan sekelip mata, dunia terbentang dihadapan mereka.

Kesan daripada pengunaan kemudahan internet ini menjadikan para pelajar secara amnya lebih terbuka minda mereka dan lebih matang dalam menimbang sesuatu isu. Mereka bukan sahaja tahu berkenaan pelajaran mereka tetapi juga mampu membicarakan isu-isu semasa yang bersifat sejagat. Oleh itu sistem tarbiyyah KARISMA harus responsif kepada perubahan-perubahan ini. Bila kita bercakap tentang KARISMA sebagai pemimpin perubahan, kita sudah tentunya mesti arif dan kenal tentang anasir-anasir yang merubah masyarakat. Kita harus berupaya untuk menarik minat para pelajar sekarang yang lebih luas pembacaan dan tinggi penilaiannya keatas isu-isu semasa. Dalam menghadapi kemelut gejala sosial pula, kita harus menapak selangkah kehadapan dari masalah-masalah yang menguasai jiwa remaja masakini. Kita mesti mengambil pendekatan ‘preventive’ dalam menangani anasir-anasir tidak sihat yang menguasai budaya para remaja yang sebahagiannya adalah para pelajar diinstitusi-institusi pengajian tinggi. Dalam konteks ini, sistem tarbiyyah KARISMA harus menyediakan ahli-ahlinya dengan keupayaan untuk membuat bacaan tepat tentang waqi’ masing-masing dan berupaya untuk mengambil tindakan yang cepat dalam usaha mencegah kemungkaran yang berlaku.

Pencapaian akademik yang cemerlang

Saudara saudari yang dirahmati Allah SWT,

KARISMA ingin menjadi suatu badan dakwah mahasiswa yang dihormati dan disegani dengan rekodnya yang terbukti dalam melahirkan kader-kader dakwah yang bukan sahaja cemerlang dalam lapangan kegiatan dakwah tetapi juga cemerlang dalam pencapaian akademik dan menjadi qudwah yang unggul dikalangan rakan-rakan sekuliah.

Saudara saudari, rakan-rakan yang dikasihi sekelian,

Sesungguhnya aspirasi ini akan meletakkan KARISMA pada kedudukan yang amat istimewa. Kita mesti berusaha bersungguh-sungguh menjadikan imej ini diiktiraf dan dikenali sebagai ‘brand proposition’ kita. Imej yang cuba kita bentuk ini akan menunjukkan bahawa KARISMA mementingkan kecemerlangan bukan sahaja didalam bidang dakwah tetapi juga bidang akademik. Kita merasakan bahawa melalui pencapaian akademik yang cemerlang sahajalah setiap dai’ akan menjadi individu yang dihormati dan lebih berguna kepada masyakatnya, seterusnya dapat menyumbang secara lebih berkesan didalam masyarakat baik dari segi idea, ilmu dan juga material. Untuk mencapai hasrat ini, KARISMA akan melengkapkan lagi prasarana dan mengukuhkan lagi gerakkerja dalam mencari formula menuju kearah itu. Salah satu usaha yang boleh digerakkan oleh KARISMA dalam mencapai aspirasi ini ialah melalui perkongsian bahan yang meliputi bidang motivasi, kaunseling, kemahiran berkomunikasi, pengurusan diri dan ‘smart learning’. Kita juga harus melahirkan para du’at yang bijak dan berdisiplin dalam mengatur dan mengurus masa. Mereka haruslah tahu mengimbangi berbagai tugas yang dipertanggungjawabkan dan mereka juga harus pandai membahagi masa antara tugas seorang pelajar dan tugas seorang pendakwah.

KARISMA sebagai wadah usaha penyatuan

Saudara saudari ahli-ahli KARISMA sekelian,

KARISMA adalah organisasi dari pelajar untuk pelajar yang ingin menjadi satu badan dakwah mahasiswa nasional yang menyatukan para penggerak dakwah yang berada diserata kampus seluruh negara. KARISMA mempunyai  harapan yang tinggi didalam memimpin usaha penyatuan ini. Kita mengharapkan dengan kesatuan yang kita bina ini, dakwah dan sistem tarbiyyah kita akan menjadi lebih mantap, organisasi kita akan lebih tersusun serta ukhuwwah diantara kita akan lebih padu dan kukuh.

KARISMA juga berharap dengan tertubuhnya badan dakwah yang bersifat nasional seumpamanya, peluang akan terbuka lebih luas untuk ahli-ahlinya menggarap bakat kepimpinan dan potensi yang ada didalam diri mereka didalam aktivisme dakwah pelajar arus perdana. KARISMA ingin meluaskan dan memperkayakan lagi ilmu dan pengalaman ahli-ahlinya dengan penglibatannya secara langsung didalam dakwah mahasiswa arus perdana yang bersifat nasional, bukan lagi yang ‘campus-centric’. Disamping itu, kita juga melihat kelebihan keterlibatan diperingkat nasional ini dari segi pengukuhan hubungan yang sedia ada dengan ahli dan pemimpin pertubuhan-pertubuhan pelajar yang lain bagi memastikan suara mahasiswa tanahair dapat disatu dan digemakan. Kita juga mengharapkan melalui penglibatan didalam arena yang lebih terbuka dengan pertubuhan pelajar yang lain, kerja dakwah kita akan diperkasakan dengan penyertaan yang lebih tinggi dari para pelajar yang mempunyai latarbelakang yang berbeza-beza.

Saudara saudari yang dirahmati Allah,

Saya amat mengharapkan ahli-ahli KARISMA sekelian memanfaatkan perhimpunan ini untuk mengikat perkenalan baru dan mengukuhkan ukhuwwah dikalangan kita kerana melalui ikatan ukhuwwah yang kukuh sahajalah, kesatuan diantara kita akan dapat dibina dan diperhebatkan. InsyaAllah, saya amat yakin jika kita mengambil usaha penyatuan yang diikhlaskan semata-mata kerana Allah SWT, kita akan diberikan kekuatan dan dihindarkan dari perpecahan didalam saff sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

“Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatan dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

(Al-Anfal: 46)

Saudara saudari yang dikasihi,

Sejak dari detik pelancarannya, KARISMA telah mengorak langkah menghadapi berbagai cabaran didalam usaha untuk memasyhur dan memastikan ianya digerakkan diperingkat IPT dan negeri diseluruh tanahair. Secara jujur, saya ingin menyatakan bahawa disepanjang usaha penajaannya, pimpinan diperingkat nasional mendapati bahawa penerimaan terhadap KARISMA secara keseluruhannya agak lembap dan lesu dari apa yang kita jangkakan pada mulanya. Kita mendapati bahawa penyelaras IPT diperingkat negeri-negeri tidak dapat melakukan usaha-usaha pemasyhuran dan penubuhan KARISMA dengan pantas dan berkesan. Kita mendapati bahawa, masalah ini merupakan antara halangan besar keatas kelancaran aktivisme dan penerimaan KARISMA sebagai wadah nasional yang diterima dan diiktiraf peranannya. Saya ingin menyeru saudara saudari sekelian sebagai ahli dan penggerak KARISMA ditempat masing-masing untuk segera menerima KARISMA sebagai wadah dakwah anda dengan perasaan ikhlas dan penuh tanggungjawab. Melalui pengamatan yang teliti, kami di peringkat pimpinan mendapati bahawa faktor-faktor kritikal yang menjamin samada berjaya atau tidaknya KARISMA disesuatu tempat adalah:

1.    Penerimaan, tahap komitmen dan kesungguhan JIM negeri dan daerah untuk menjadi pemudahcara dan broker kepada usaha-usaha pewujudan KARISMA dan kelancaran gerakannya.

2.    Penerimaan, tahap komitmen dan kesungguhan para penggerak dakwah dikalangan pelajar di IPT sendiri untuk menggerakkan KARISMA sebagai satu wadah.

3.    Penerimaan, tahap komitmen dan kesungguhan para nuqaba’ yang menjalankan usaha tarbiyyah dan dakwah di IPT-IPT untuk mengambil KARISMA sebagai wadah dakwah dan tarbiyyah dikalangan pelajar yang ‘feasible’ ditempat masing-masing.

Saudara saudari yang dirahmati Allah sekelian,

Janganlah sekali-kali kita menganggap bahawa KARISMA ditubuhkan sebagai wadah sampingan untuk kita gerakkan bila ada masa yang terluang. Sebaliknya, jadikanlah KARISMA sebagai wadah fokus yang menunjangi kegiatan dakwah dikampus pada setiap masa dan ketika. KARISMA ditubuhkan untuk membawa obor perjuangan pelajar yang diteraskan dengan pendekatan perkongsian dan kesatuan. Oleh yang demikian, adalah menjadi satu kemestian kepada kita sebagai para penggerak dakwah yang mementingkan kecemerlangan usaha dakwah yang menyeluruh, untuk menerima KARISMA dengan tangan yang terbuka.

Saudara saudari rakan seperjuangan,

Dalam memastikan kejayaan aspirasi kita untuk melakukan usaha penyatuan yang menyeluruh diperingkat nasional, kita mesti berani melakukan perubahan dan pengorbanan. Jangan sekali-kali kita terperangkap dengan godaan syaitan yang sememangnya sentiasa menanam bibit perpecahan dikalangan ummah. Janganlah pula kita jadikan alasan sudah cukup selesa dengan pendekatan sediakala sebagai penghalang untuk kita bergerak lebih maju dalam usaha dakwah kita. Saya pasti, ahli-ahli sekelian dapat melihat betapa besarnya peranan dan potensi KARISMA dengan agenda penyatuan yang ingin dibawanya. Dalam mendiagnosis kelemahan dan kelesuan kita menggerakkan KARISMA setakat ini, janganlah pula kita sekali-kali menuding jari dan mempersalahkan orang lain. Sebaliknya, marilah sama-sama kita memperbaiki diri kita, mengikhlaskan diri kerana Allah SWT dan mengambil tugas melonjakkan aktivisme KARISMA dengan penuh tanggungjawab dan kesungguhan.

Saudara saudari yang budiman,

KARISMA hanya akan berjaya digerakkan jika ahlinya mempunyai iltizam dan keinginan yang tinggi untuk menggerakkannya. Jika ini tidak berlaku, KARISMA akan hanya menjadi organisasi yang sarat dengan idea dan wawasan pemimpinnya tetapi wawasan dan idea tersebut tidak berupaya untuk dilaksanakan dan diterjemahkan dalam bentuk gerakerja yang berdaya maju. Ini berlaku kerana idea dan wawasan tadi tidak disambut dan digerakkan dengan bersungguh-sungguh oleh para ahlinya. Setiap dari kita harus merasakan pertanggungjawaban adalah berada dipundak bahu kita untuk menggerakkan KARISMA diperingkat lokaliti masing-masing. Setiap dari kita hendaklah segera menganjakkan paradigma dan mengurangkan pergantungan kepada penyelaras IPT dan para nuqaba’ yang bukan terdiri dari para pelajar untuk menggerakkan organisasi KARISMA. KARISMA adalah wadah yang digerakkan oleh mahasiswa untuk mahasiswa, jadi adalah wajar untuk para mahasiswa sendiri yang berinisiatif dan bersungguh untuk menggerakkannya.

Saudara saudari yang dimuliakan,

Mulai hari ini, marilah kita sama-sama memperbaharui iltizam dan mengukuhkan ukhuwwah diantara kita. Marilah kita bersama-sama mengatur strategi dengan menyambut misi dan visi KARISMA dengan menggangap ianya adalah misi dakwah kita yang dekat dengan hati nurani kita. Semua ahli perlu ada rasa ‘ownership’ kepada KARISMA sebagai badan induk dimana tenaga, idea dan masa kita untuk dakwah dicurahkan. Marilah kita mengorak langkah dengan lebih yakin sebagai satu pasukan yang saffnya kukuh untuk menghadapi musuh dan cabaran yang mendatang seperti yang dinyatakan oleh firman Allah SWT.

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh), maka tetaplah kamu menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).”
(Al-Anfal:45)

Saudara saudari yang dirahmati Allah sekelian,

Sebagai mengakhiri ucapan dasar ini, saya ingin gemakan kembali seruan saudara mantan presiden JIM, Abu Urwah apabila beliau mengakhiri salah satu ucapan dasar presiden beliau dalam perhimpunan perwakilan tahunan JIM. Saya ingin mengakhiri ucapan ini dengan nada sepertimana beliau mengakhiri ucapannya dengan seruan marilah kita bersama-sama memperbaharui azam dan tekad kita untuk menjayakan KARISMA sebagai satu wadah dakwah yang kita yakin akan berupaya untuk menyumbang kepada peningkatan kesedaran dan penghayatan Islam dikalangan masyarakat pelajar muslim khususnya. Saya yakin sebagai orang-orang yang cintakan dakwah dan sentiasa menyahut seruan Allah dan rasulNya, saudara saudari sekelian tidak akan berlengah-lengah lagi untuk membina teras-teras kekuatan didalam saff pasukan organisasi KARISMA yang kita sama-sama gerakkan ini didalam konteks mahasiswa sebagai pemimpin perubahan dan perintis pembaharuan seperti yang kita cuba cernakan dalam intipati ucapan dasar ini. Marilah kita mengikhlaskan diri dan bekerja keras untuk menegakkan agama Allah dimuka bumi ini dengan harapan amal dan perbuatan kita ini akan menjadi sebahagian dari amal yang akan membantu kita diakhirat kelak. Kita menyakini bahawa ketaatan kita terhadap seruan Allah dan rasulNya adalah merupakan kekuatan kita. Yakinilah bahawa apabila kita mentaati perinah Allah, maka kita akan dikurniakan Allah darjat keistimewaan yang tinggi:

“Tidaklah sama antara mukmin yang duduk yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu darjat.”
(An-Nisa’: 95)

Ahmad Fauwaz Muhamad
PRESIDEN
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)
1999-2001

Advertisements
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: