MEMBINA KEKUATAN MENDEPANI TRIBULASI DAKWAH MASA KINI

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas Muhammad Rasulullah, Nabi Junjungan. Assalamulaikum warahmatullah.

 

MUKADIMAH

 

Para perwakilan dan pemerhati PKN 2004 yang budiman,

 

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah swt, dalam suasana kemanisan iman dan kehangatan ukhuwwah, sekali lagi dipertemukan setiap dari kita dari dekat dan jauh di dalam Perhimpunan KARISMA Nasional yang ke empat. Marilah bersama-sama kita mendoakan agar kita akan terus cekal beriltizam di dalam perjuangan, bersikap proaktif dalam meningkatkan profesionalisme budaya kerja berorganisasi, dan istiqamah dalam menegakkan usaha amar ma’aruf nahi mungkar.

Ucapan Dasar

Ucapan Dasar sulung saya sewaktu PKN ke-2 pada tahun 2002 telah menyentuh tentang kesan “Peristiwa September 11th”, peranan masa dan pengalaman berperanan menyuntik semangat idealisme perjuangan sejak dari awal pelancaran KARISMA pada 2 Mei 1999. Saya juga turut menyentuh akan pentingnya organisasi berwawasan dan mantap dalam mendokongi gerakerja yang telah dirancang. Dalam usaha menempatkan KARISMA di dalam masyarakat kampus, pendekatan mesra dakwah telah dikenalpasti sebagai pendekatan yang patut digunapakai. Juga, menyedari akan kepentingan peranan mahasiswi dalam usaha pengislahan, terutamanya dengan bilangan pelajar wanita yang melebihi pelajar lelaki, usaha-usaha ke arah mengoptimumkan sumbangan mahasiswi turut diberikan perhatian. Saya juga menyentuh akan pentingnya pencapaian baik dalam akademik sebagai antara asas kekuatan dakwah. Ucapan saya itu juga turut memuatkan akan fokus ahlime KARISMA bagi tempoh 2001-2006.

 

Pada tahun 2003, dalam Ucapan Dasar PKN ke 3, saya telah menyentuh akan Amerika Syarikat dan sekutunya menggunakan peristiwa pengeboman di Bali sebagai lesen yang lebih besar dalam menangani keganasan sejagat. Pada ketika itu, Iraq hanya diintai-intai akan kononnya wujud senjata nuklear atau peralatan yang dilarang sejak Perang Iraq-Kuwait pada tahun 1991. Saya turut juga membawa perhatian kita kepada nasib dan ketabahan perjuangan saudara seaqidah kita di bumi Palestin dengan umat Islam dunia sekadar menjadi penonton. Ditekankan juga agar para ahli KARISMA menjadi pemangkin ke arah memberi kesedaran kepada masyarakat akan isu-isu ummah sebegini. Kempen “Buy American Last” merupakan antara usaha sokongan yang dilancarkan, namun sikap rakyat Malaysia masih menyedihkan. Restoran-restoran Kentucky Fried Chicken, Pizza Hut dan McDonald; minuman Coca Cola, Pepsi, F&N, 100 Plus, Mirinda, Milo dan Nescafe! masih rakus dihurungi. Isu Malaysia adalah sebuah negara Islam dan penggunaan bahasa Inggeris di dalam pengajaran Sains dan Matematik dan usaha memerangi jenayah rogol turut sama disentuh. Saya turut berkongsi pengalaman setahun dalam usaha mengukuhkan idealisme perjuangan, sebelas cabaran dalam konteks pengislahan di IPT dan juga langkah-langkah di peringkat peribadi ahli dan organisasi KARISMA ke arah perlonjakan ahlime pengislahan, iaitu:

·         Mengadakan program bersama masyarakat umum

·         Berusaha mewujudkan platform berdaftar di IPT

·         Mengoptimumkan sumbangan ahli JIM, khususnya di dalam aspek pentarbiahan ahli, dalam melonjakkan ahlime

·         Menggerakkan usaha ke arah penubuhan struktur KARISMA Negeri.

·         Berusaha ke arah penubuhan Unit Mahasiswi

·         Berusaha mendaftarkan KARISMA sebagai satu entiti pelajar peringkat kebangsaan.

 

Dan kini dengan rasa syukur saya kongsikan bersama para ahli KARISMA akan Ucapan Dasar saya yang ketiga bagi PKN 2004 ini.

Saya akan menyentuh perkara-perkara di bawah dalam penyampaian ini:

1. Setahun Yang Mencabar

2. Lima Tahun Penubuhan KARISMA – Sekilas Pandang

3. Membina Kekuatan Mendepani Tribulasi Dakwah Masa

4. Menggerakkan Misi Pengislahan

5. Penutup

 

Para perwakilan dan pemerhati yang dihormati,

 

1. SETAHUN YANG MENCABAR

Tahun 2003 mengandungi beberapa peristiwa besar yang perlu kita renungi kesan dan pengajarannya.

 

ISLAM dan GLOBAL

 

Jatuhnya kerajaan Presiden Saddam Hussein dan Palestin berterusan terseksa.

Kejatuhan kerajaan pimpinan Presiden Saddam Hussein di Iraq menunjukkan sikap sebenar musuh-musuh Islam yang dibayangi kaum Yahudi laknatullah selepas jatuhnya kerajaan Taliban di Afganistan pada tahun 2002. Walaupun masyarakat antarabangsa menentang usaha pencerobohan Iraq oleh pengganas Amerika dan sekutunya, mereka tetap angkuh melaksanakannya. Dasar menentang keganasan sejagat masih lagi dijadikan alasan sedangkan kezaliman dan keganasan Yahudi laknatullah di bumi Palestin masih dilihat dengan mata yang tertutup. Sejak kejatuhan kerajaan Soviet Union pada akhir 80-an, kuasa dunia yang sebelum ini bersikap dwi-polar dengan Soviet Union dan Amerika Syarikat saling bertindak sebagai pengimbang antara satu sama lain, menyaksikan corak kuasa unipolar mula mengambil tempat. Amerika Syarikat dengan kekuatan tentera dan teknologi canggihnya dengan angkuh bertindak sebagai Polis Dunia tanpa menghormati kedaulatan manusia sejagat. Pandangan dan gesaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) yang ditubuhkan sebagai satu platform perbincangan akan isu-isu manusia sejagat tidak dihiraukan. Pencerobohan ke atas Iraq ini memberi kesan yang besar ke atas umat Islam sejagat. Negara yang  suatu ketika dahulu menyaksikan ketinggian tamadun Islam, dengan Baghdad sebagai pusat ilmu antarabangsa, dicerobohi dengan biadapnya. Yang membangkitkan rasa marah dan sedih di dalam hati ini ialah bila melihat banyak peninggalan penting khazanah tamadun Islam yang dijaga dengan rapi sebagai warisan ummah hilang, dicuri atau dimusnahkan. Mungkinkah ini antara agenda Yahudi laknatullah di sebalik slogan menentang keganasan yang digunakan? Sampai bila OIC akan terus “Oh! I See!” bilamana umat dan khazanah umat Islam diganyang oleh musuh-musuh Islam.

Persoalannya ialah apa yang perlu kita lakukan selaku pihak yang sedar hasil dari program pentarbiahan yang kita lalui. Adakah kita turut mendiamkan diri? Bagaimana kita memahami konsep yang setiap mukmin itu bersaudara? Bagaimana pula dengan celakalah seorang mukmin itu bilamana dia tidur dengan perut yang kenyang sedangkan jiran semukminnya dalam kelaparan? Kesemua ini menuntut setiap dari kita untuk melakukan sesuatu bergantung kepada kemampuan dan kekuatan yang ada pada kita.

 

“Bandingan orang-orang mukmin dalam bercinta-cinta mereka dan berkasih sayang mereka dan bertolong tolongan mereka seperti bandingan satu badan; apabila sakit satu anggota daripadanya tertariklah sekalian anggota (hingga) tiada dapat tidur dan demam.”                                   (Al-Hadtih)

 

Tidak banyak pihak yang berusaha untuk memastikan penderitaan umat Islam terutamanya di Palestin diketahui ramai. Kemungkinan ini juga disebabkan oleh faktor media masa antarabangsa yang dikuasai oleh kelompok Yahudi laknatullah. Kita hanya menerima berita yang pihak Yahudi mahu kita terima tanpa kesahihan yang pasti. Namun, kemudahan teknologi maklumat pada hari ini membolehkan dunia mengetahui apa yang berlaku di bumi Palestine itu sendiri, sebagai contoh gambar-gambar seorang bayi Palestin dibunuh dengan peluru disasarkan tepat ke bahagian jantung menembusi dan merobek bahagian belakang badan si kecil diedarkan di laman-laman web. Adakah ini satu kemalangan seperti yang biasa dihebohkan di dalam media, atau pun “Shoot to kill (generasi muda Palestin)”? Antara pihak yang menunjukkan komitmen yang tinggi ialah Jamaah Islah Malaysia (JIM). Melalui Unit JIM International, program tersusun dalam menyebarkan realiti kehidupan rakyat Palestin dan Iraq diadakan. Usaha sebegini memerlukan tenaga kerja yang ramai, justeru itu perkaderan tenaga-tenaga baru bertindak sebagai jurucakap bertauliah telah dilaksanakan. Masyarakat kampus yang terdiri dari golongan muda dan berfikir merupakan kelompok yang patut kita sasarkan. Ini dibuktikan di dalam program Training For Trainers kedua yang dianjurkan oleh JIM International dengan kerjasama KARISMA International pada tahun 2003 berjaya menarik minat lebih kurang 40 orang ahli KARISMA yang berjaya ditauliahkan sebagai jurucakap bagi isu Palestin. Oleh itu, saya menyeru kesemua pimpinan KARISMA Negeri, Zon dan IPT agar turut dapat menyusun program-program kesedaran sebegini di dalam perancangan aktiviti masing-masing dalam memastikan masyarakat Islam kampus tidak terleka akan nasib umat Islam hari ini.

 

Dalam kesedihan hati kita ini melihat nasib umat Islam hari ini, betapa terasa besarnya tanggungjawab dakwah yang perlu kita pikul. Sesungguhnya kelompok manusia yang berada di jalan perjuangan menegakkan Ar-Risalah ini merupakan golongan yang terpilih, sepertimana firman Allah swt:

 

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, yang menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, dan beriman kepada Allah”                                             (Al-Imran:110)

 

Kita sedari atau tidak, insya-Allah, kita turut tergolong dalam kelompok ini selagimana syarat-syaratnya kita ikuti. Sesungguhnya sunnah Ar-Rasul yang paling tinggi adalah melaksanakan amar ma’aruf nahi mungkar. Persoalannya samada kita sentiasa berusaha untuk kekal (tsabat) pada jalan ini. Perlu kita ingat, usaha pengislahan ini bukan kita buat untuk orang lain, bahkan untuk diri kita sendiri. Arus pengislahan itu umpama satu deretan keretapi yang bergerak dari satu hentian ke hentian seterusnya. Penumpang di dalamnya boleh memilih untuk turun atau naik atau terus kekal bersama di dalam perjalanan ini. Begitulah kita dengan perjuangan menegakkan Ar-Risalah ini. Arus pengislahan akan terus bergerak dipacu oleh kelompok-kelompok yang Allah swt pilih. Jika kita memilih untuk tidak bersama dengan arus ini, ianya akan meninggalkan kita dalam debu-debu yang berterbangan.

 

Imam As-Syahid Hassan Al-Banna ada mengatakan, “Barangsiapa yang inginkan kebaikan dan pembaikan serta kemuliaan tanpa pengorbanan dan jihad (susah payah), ianya bersia-sia.” Dalam kemelut umat Islam hari ini, kita mungkin terfikir apakah cukup usaha yang kita lakukan ini? Adakah Islam akan bangkit kembali? Persoalan ini bukannya hak kita untuk kita mencari jawapannya. Yang perlu kita buat adalah bekerja bersungguh-sungguh dan berkorban.

 

“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan memasukkan kamu ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga A’dn. Itulah keberuntungan yang besar.”                                      (As-Shaff:10-12)

 

“Sesungguhnya kejayaan bersama-sama dengan kesabaran, kelapangan bersama-sama dengan kesusahan dan sesungguhnya beserta dengan kepayahan ialah kesenangan “.   Imam Tirmizi

Saudara saudari perwakilan dan pemerhati yang dihormati,

Oleh itu, saya menyeru diri saya dan kesemua warga KARISMA untuk mempertingkatkan keazaman masing-masing untuk memperjuangkan kedaulatan ummah sejagat secara berorganisasi. Pertolongan Allah swt bersama dengan orang-orang yang benar. Itulah yang kita yakini. Pihak Yahudi laknatullah akan terus menyusun strategi untuk menghancurkan umat Islam, namun Allah swt juga mempunyai perancangan-Nya.

 

“Mereka ingin hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir membenci”  (As-Shaff:8)

 

Sepertimana megahnya Raja Namrud, akhirnya mati tersiksa cukup dengan hanya seekor nyamuk. Dalam keangkuhan Amerika Syarikat (AS) mendabik dada, banyak kejadian bencana alam yang melanda negara ini. Antaranya kebakaran besar hutan, banjir dan yang terkini ialah penyakit Lembu Gila (Mad Cow’s Disease). Penyakit ini memberi tamparan yang hebat kepada industri daging AS di mana hampir kesemua negara pengimport dagingnya menghentikan pembelian serta merta termasuk pengimport terbesarnya, Jepun. Adakah ini antara perancangan-perancangan Allah swt? Allahua’lam.

 

Gempa bumi dashyat di Bam, Iran

Peristiwa gempa bumi yang mengorbankan lebih kurang 40,000 nyawa di Bam, Iran turut menggemparkan masyarakat dunia. Bam merupakan sebuah kawasan yang subur dengan takungan air bawah tanah yang besar. Ini membolehkan ianya menjadi kawasan pengeluar kurma antara yang terkenal di Iran, bahkan dieksport ke Malaysia. Apa yang menarik ialah kata-kata seorang doktor rakyat Iran yang mengatakan gempa bumi ini merupakan bala dari Allah swt lantaran sikap rakyat kawasan itu yang makin jauh dari ajaran Islam. Inilah yang berlaku kepada umat-umat terdahulu. Peristiwa sebegini membuatkan kita lebih insaf akan tanggungjawab kita sebagai mahasiswa du’at.

 

Pemergian Al-Ustaz  Muhammad Ma’mun Al-Hudhaibi, Mursyid Am Ikhwan Al-Muslimin.

Baru-baru ini juga, dunia Islam kehilangan salah seorang dari tokohnya yang ikhlas di medan dakwah dan di kalangan mereka yang banyak memberikan pemberian dan pengorbanan iaitu Al-Ustaz Muhammad Ma’mun Al-Hudhaibi, Mursyid Am Ikhwan Al-Muslimin, yang telah meninggal dunia pada awal pagi Jumaat 16 Zulkaedah 1424 bersamaan 9 Januari 2004 dalam usia menjangkau 83 tahun. Al-Marhum dilahirkan di wilayah Sohaj, Sa’id, Mesir pada tanggal 28 Mei 1921. Beliau telah dilantik menjadi Mursyid Am Ikhwan Muslimin pada petang hari Rabu 22 Ramadhan 1423 Hijrah bersamaan 27 November 2002 menggantikan Al-Ustaz Mustafa Masyhur Rahima’ullah untuk menjadi Mursyid yang keenam Jamaah Ikhwan Al-Muslimin. Al-Fatihah untuk beliau.

 

MALAYSIA

Perubahan pucuk pimpinan

Dalam konteks tanahair Malaysia, pertukaran pucuk pimpinan tertinggi negara dan parti-parti politik utama mewarnai tahun 2003. Pengambilalihan tanggungjawab menerajui negara oleh Datuk Seri Abdullah Badawi dari Tun Dr Mahathir Mohamad pada petang Jumaat 5 Ramadan 1424 Hijrah bersamaan 31 Oktober 2003 berlaku dengan harmoni. Begitu juga, dengan perubahan pucuk pimpinan tertinggi parti di dalam Malaysian Chinese Association (MCA). Era Datuk Seri Abdullah Badawi bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usia yang hampir tiga bulan menyaksikan beberapa bidang baru diberi keutamaan, antaranya bidang pertanian. Begitu juga dengan penekanan kepada pengajaran mata pelajaran agama di sekolah-sekolah. Biarpun pucuk kepimpinan negara berubah, namun sistem pemerintahan yang sama masih lagi kekal yang mana badan perundangan tertinggi negara masih belum menjadi satu institusi yang bebas dari cengkaman politik. Ini penting dalam memastikan hak setiap rakyat Malaysia dijamin di bawah satu sistem perundangan yang bebas dan berwibawa. KARISMA tidak mahu sistem perundangan disalahgunakan bagi melindungi kepentingan peribadi mahupun mana-mana kelompok. KARISMA akan terus menyokong dasar kerajaan mahupun pihak lain selagimana ianya berada di dalam batas-batas syara’ dan prinsip-prinsip yang digariskan.

 

Dokumen “Negara Islam”

Pelancaran dokumen “Negara Islam” oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) menimbulkan berbagai reaksi dari segenap lapisan. Sebagai kelompok mahasiswa yang berfikiran terbuka, dokumen ini merupakan satu lagi bahan pengkayaan ilmu dalam memahami tanggungjawab pengislahan. Usaha menghasilkan dokumen ini sewajarnya diberikan pujian, dan seterusnya perlu diperhalusi. Rasulullah saw telah berjaya menghasilkan satu masyarakat madani yang keadilan melata dan kecantikan Islam dapat ditonjolkan. Sesuatu yang mendukacita bilamana segelintir kelompok Islam sendiri merendahkan usaha yang cuba dibawa ini. Sikap golongan inilah yang membuatkan beberapa pihak atau individu bukan Islam mula berani bertindak dengan tidak sewajarnya. KARISMA berpendirian bahawa penghasilan dokumen ini merupakan satu usaha yang harus dipuji dan sebarang ketidakfahaman atau salah faham seharusnya dibawa berunding. Ahli-ahli KARISMA diunjurkan untuk membaca dokumen ini. Jika di luar negara, seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, pertukaran pucuk pimpinan negara dari satu parti ke parti yang lain merupakan perkara biasa. Melalui kaedah inilah rakyat boleh menilai akan pencapaian parti yang memerintah. Parti yang memberi kepuasan terbaik pasti akan dikekalkan oleh rakyat. Sayangnya, Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, hanya berpeluang diperintah oleh satu pihak. Rakyat masih belum berpeluang merasai kepimpinan dari pihak yang lain. Inilah persaingan politik sihat yang KARISMA ingin lontarkan untuk sama-sama difikirkan.

 

Program Khidmat Negara

Program Khidmat Negara (PKN) yang julung kali diadakan bermula Mac tahun ini akan menyaksikan lebih kurang 80 ribu remaja dikumpulkan bagi mengikuti beberapa modul latihan selama tiga bulan di serata tempat di Malaysia. KARISMA bersetuju dengan pandangan Jamaah Islah Malaysia (JIM) agar PKN ini ditangguhkan setahun supaya kajian mendalam dapat dijalankan bagi memastikan kesan program ini akan melahirkan generasi muda yang mempunyai ciri-ciri yang diinginkan. KARISMA juga menyokong penuh saranan bekas Presiden JIM kedua, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, akan PKN di dalam Ucapan Dasar Presiden semasa Perhimpunan Perwakilan Nasional 2004 di Kuala Terengganu pada 3-4 Zulkaedah 1424 bersamaan 27-28 Disember 2003. Kenyataan beliau bahawa PKN ini merupakan satu usaha murni jika niatnya adalah untuk melatih para remaja ke arah mencintai agama dan negara. Beliau turut menyenaraikan syarat dan ciri yang ketat yang wajib dipastikan terlaksana bagi mempastikan ianya boleh dijayakan dengan baik, iaitu:

·         Objektif yang jelas;

·         Modul latihan berlandaskan objektif;

·         Pertimbangan kesensitifan agama dan sosio-budaya;

·         Keterlibatan agensi masyarakat sebagai penyumbang dan pemantau;

·         Ketelusan di dalam perancangan dan perlaksanaan;

·         Berjimat di dalam perbelanjaan;

·         Kemahiran jurulatih yang telah diuji;

·         Kekuatan fizikal, kecerdikan mental dan kemurnian spiritual;

·         Keunggulan akhlak insan.

Dan keadaan berikut mestilah dielakkan:

·         Medan berpolitik;

·         Kancah pergaulan bebas remaja lelaki dan wanita.

Ahli KARISMA perlu melihat PKN ini dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Memandangkan ahli-ahli Kelab Remaja JIM (KRJ) akan turut terlibat sebagai peserta PKN, ahli KARISMA perlu mengambil langkah proaktif dalam menganjur atau membantu program persediaan untuk ahli-ahli KRJ, khususnya dan pelajar-pelajar lain amnya. Juga, ahli KARISMA hendaklah berusaha untuk terlibat secara langsung di dalam PKN sebagai fasilitator atau tenaga jurulatih. Pastinya ini akan memberi pendedahan dan pengalaman baru dalam melahirkan warga kampus yang sihat, berwawasan dan berakhlak.

 

Pilihanraya 2004

Bahang pilihanraya nasional yang dijangka akan berlangsung pada tahun 2004 mulai terasa. Hak mengundi merupakan satu perkara yang mesti dititikberatkan oleh setiap ahli KARISMA. Tarikh 31 Disember 2003 yang lalu merupakan tarikh akhir untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi baru, dan ahlli-ahli KARISMA yang memenuhi syarat seharusnya telah mendaftarkan diri. Insya-Allah, dengan kefahaman yang dibentuk berdasarkan prinsip dan bukan keperibadian, yang hak akan memenangi ke atas yang batil.

 

2. LIMA TAHUN PENUBUHAN KARISMA – SEKILAS PANDANG

Tarikh 2 Mei 1999 merupakan satu tarikh yang bermakna bagi KARISMA. Bertempat di Dewan Sekolah Menengah Islah Al-Amin, Gombak, KARISMA dilancarkan secara rasmi oleh mantan Presiden JIM yang pertama, Tuan Haji Saari Sungib. Bermula dengan aspirasi untuk melihat usaha pengislahan di kalangan masyarakat kampus didukungi sendiri oleh golongan mahasiswa, KARISMA melangkah tahun demi tahun. Bermula dengan tumpuan awal ahlime di IPT sekitar Hulu Langat dan Sepang, kini ianya mencakupi IPT-IPT lain di serata negara. Antara cabaran awal ialah untuk menempatkan KARISMA sebagai salah satu badan pelajar bersifat nasional di Malaysia di kalangan badan-badan pelajar lain yang telah matang dan sedia ada. Hari ini kita boleh berbangga melihat KARISMA mulai mempunyai identiti dan pendekatan gerakerja tersendiri. Masih banyak lagi ruang lingkup yang perlu ditingkatkan, namun kejayaan yang dikecapi di pelbagai peringkat KARISMA perlu kita raikan, alhamdulillah. Inilah hasil usaha bersungguh-sungguh ahli KARISMA dari awal hingga kini dan dibantu oleh pihak JIM khususnya di bawah JIM-IPT. Insya-Allah, setiap usaha dan pengorbanan mereka (dan kita) akan menjadi saham yang berterusan untuk dikutip pada kemudian hari.

 

KARISMA adalah satu organisasi yang jelas visi, misi dan objektif penubuhannya. Ini merupakan suatu aspek yang amat penting dalam pengurusan sesuatu organisasi atau gerakan. Keseluruhan hala tuju organisasi dan ahli KARISMA dipandu oleh visi, misi dan objektif ini. Justeru itu, saya menyeru setiap dari kita berusaha untuk memahami dan menghayati visi, misi dan objektif KARISMA dengan sepenuh hati bagi menjayakan agenda yang didukung oleh KARISMA.

Kenyataan VISI KARISMA:

“Menjadi sebuah gerakan mahasiswa kontemporari yang menjana perubahan ke arah tertegaknya syariat Islam sepenuhnya di Malaysia menjelang tahun 2020”

Kenyataan MISI KARISMA:

“Beriltizam untuk melahirkan mahasiswa du’at soleh wa musleh yang cemerlang dari aspek sahsiah, kepemimpinan dan akademik melalui program pembangunan insan yang komprehensif”

Kenyataan OBJEKTIF KARISMA.

1. Melahirkan dan membimbing generasi pemimpin di kalangan mahasiswa.

2. Menggerakkan penglibatan mahasiswa dalam proses pengislahan masyarakat.

3. Mewujudkan ruang permuafakatan dan kerjasama yang seluas-luasnya dengan semua pihak.

 

Sepanjang hampir lima tahun ini, pelbagai perkara yang dipelajari dari awal dan diadaptasikan dengan peredaran masa dan pengalaman. Cabaran yang terbesar pada pandangan saya ialah faktor pembentukan ahli, pimpinan dan pelapis dalam tempoh pengajian di IPT yang pendek. KARISMA bagi saya adalah satu organisasi yang unik di mana ahlinya tidak kekal lama. Ini kerana keahlian KARISMA kekal selagimana tempoh pengajian seseorang ahli itu. Sebaik sahaja menamatkan pengajian di IPT, ahli KARISMA akan disarankan untuk terlibat secara aktif di dalam Jamaah Islah Malaysia (JIM). Insya-Allah, bekas ahli KARISMA akan bergerak lebih jauh ke depan dalam arena dakwah tanahair berdasarkan kefahaman bahawa tugas amar ma’aruf nahi mungkar adalah tugas asasi sepanjang hayat. Lantaran itu, KARISMA di pelbagai peringkat perlu mengambil pendekatan yang unik dalam memastikan ahli KARISMA menerima asas pentarbiahan yang mantap sebagai kayu ukur asas dan asas pembentukan aspek kepemimpinan yang tinggi dalam tempoh yang singkat itu. Pembentukan barisan pelapis dalam kepemimpinan dan ahlime perlu diberi perhatian khusus dan teliti. Ini juga menuntut pengorbanan dan usaha peribadi yang bersungguh-sungguh dari setiap ahli KARISMA. Insya-Allah, dengan dorongan dan bimbingan yang betul, pengalaman keterlibatan dalam KARISMA semasa di IPT akan melahirkan satu kelompok ahli masyarakat yang matang, memartabatkan agama dan negara, berakhlak mulia, berkebolehan memimpin anggota masyarakat ke arah yang lebih baik, berkeyakinan dan proaktif.

3. MEMBINA KEKUATAN MENDEPANI TRIBULASI DAKWAH MASAKINI

Dalam Ucapan Dasar saya tahun lalu, saya telah menggariskan sebelas cabaran dalam konteks pengislahan masyarakat kampus.  Saya ingin mengupas kembali kesemua cabaran ini kerana bagi saya kesemuanya masih begitu relevan dengan KARISMA. Saya yakin kesemua cabaran ini sekiranya diambil secara positif dan tersusun akan menjadi sumber kekuatan yang boleh melonjakkan lagi ahlime pengislahan ahli dan KARISMA secara keseluruhannya.

 

1. Cabaran Pembentukan Organisasi Yang Tersusun Di Semua Peringkat

Aspek pengurusan merupakan antara tonggak ruang yang perlu diberi perhatian. Pengurusan yang cekap berupaya melahirkan satu organisasi yang dinamik dan berdaya maju. Ianya melibatkan proses perbincangan, perlaksanaan dan pemantauan berterusan. Keterlibatan di peringkat kepemimpinan KARISMA merupakan satu latihan peningkatan potensi diri. Justeru itu, program latihan pembangunan kepemimpinan (Pembangunan Sumber Manusia) perlu dirancang dan dilaksanakan di setiap peringkat KARISMA dalam membekalkan kemahiran memimpin yang diperlukan. Mutu pengurusan perjalanan program dan aktivit KARISMA perlu juga diberi perhatian kerana ianya turut memberi kesan ke atas imej organisasi KARISMA.

Setiap peringkat organisasi KARISMA mempunyai peranan penting masing-masing yang perlu dimainkan. KARISMA IPT bertanggungjawab dalam meningkatkan keahlian baru (tajmi’); menyusun, melaksana dan memantau usaha pentarbiahan dan pembentukan kualiti kepemimpinan ahli baru dan sedia ada; dan merancang, melaksana dan memantau usaha memasyarakatkan dakwah di kampus dan masyarakat setempat. KARISMA Negeri pula bertanggungjawab mengukuh dan memantau tahap kefahaman ahli; dan berusaha mewujudkan kesatuan di kalangan ahli-ahli KARISMA pelbagai IPT setempat. KARISMA Nasional pula bertanggungjawab dalam aspek-aspek berkaitan polisi dan hala tuju keseluruhan organisasi; merancang dan melaksanakan program-program nasional bagi mengukuhkan kesatuan ahli-ahli KARISMA dari serata Malaysia. Alhamdulilah, program-program di peringkat negeri/zon dan nasional membantu ahli-ahli KARISMA lebih jelas akan hala tuju KARISMA, secara khususnya, dan perjuangan dakwah itu bersifat global.

Justeru itu, usaha-usaha permulaan ke arah penubuhan KARISMA Negeri perlu digerakkan di kalangan pimpinan setiap IPT. KARISMA Negeri atau Zon yang sedia ada pula perlu meningkatkan dinamisme masing-masing ke tahap yang lebih tinggi.

 

2. Cabaran Penyediaan Tenaga Penggerak Pengislahan

Pembinaan kader pengislahan amat penting dalam mempastikan kesinambungan gerakerja organisasi. Perlaksanaan program yang menarik dan kreatif pastinya mampu mengumpul ramai tenaga baru. Namun, ianya masih tidak mencukupi sekiranya tindakan susulan tidak dibuat atau dilaksanakan dengan baik. Pimpinan KARISMA pelbagai peringkat perlu mengambil pendekatan strategik dalam perancangan setempat. Pastikan program-program yang dilaksanakan dikaji semula kekuatan dan kekurangan dan proses “follow up” dilakukan secara terancang.

 

3. Cabaran Perlaksanaan Kualiti Pentarbiahan Dalam Tempoh Pengajian Yang Terhad

Tempoh pengajian yang terhad memerlukan perlaksanaan tarbiah yang berkesan, bermutu dan terancang dalam mempastikan ahli KARISMA mencapai kefahaman yang dikehendaki. Aspek ini merupakan cabaran terbesar yang dihadapi oleh kebanyakan KARISMA peringkat IPT pada masa ini. Antara faktor yang menyumbang ialah ketiadaan atau kekuranga tenaga pembimbing (murabbi dan nuqaba’), kesibukan ahli KARISMA, pengurusan dan pemantauan sistem tarbiah yang kurang cekap dan sikap ahli KARISMA sendiri yang tidak mengambil berat aspek pentarbiahan diri masing-masing. Justeru itu, di peringkat organisasi, perlu digerakkan usaha-usaha pembinaan tenaga pembimbing secara tersusun (pembangunan nuqaba’) melalui hubungan kerjasama dengan Unit Tarbiah dan Pembangunan Sumber Manusia (TPSM) JIM Daerah. Juga, berusaha untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan pemantauan sistem tarbiah. Ahli-ahli KARISMA juga perlu bersikap proaktif dan bertanggungjawab dalam memastikan proses pembinaan diri sendiri berlaku denga baik.

 

4. Cabaran Perlaksanaan Usaha Dakwah Berkesan

Usaha dakwah yang berkesan, di samping menyampaikan maklumat, turut menyumbang kepada imej organisasi di samping saluran untuk proses perkaderan. Sepertimana yang saya nyatakan dalam ucapan dasar tahun lalu, ahli dan organisasi KARISMA perlu keluar dari keseronokan berada di dalam kepompong sendiri dan terjun ke dalam masyarakat kampus dan setempat. Penganjuran program-program umum hi-impak merupakan saluran yang terbaik. Mengambilkira realiti sedia ada, bahan dan kepakaran dari program Training for Trainers, penganjuran program atau pameran berkaitan isu Palestin adalah antara contoh program hi-impak yang oleh dilaksanakan di IPT atau neger/zon masing-masing.

 

5. Cabaran Penjanaan Dana Terancang Dan Berterusan

Keutuhan dana merupakan antara kekuatan yang perlu ada pada KARISMA. Setiap agenda dakwah yang dirancang memerlukan dana untuk dilaksanakan. Kemampuan menjana dana berterusan harus disasarkan oleh semua peringkat KARISMA.

 

6. Cabaran Penjanaan Generasi Pelapis Yang Tersusun

Pembentukan generasi pelapis yang mampu mendokong aspirasi yang dibawa oleh KARISMA amat penting dengan mengambilkira tempoh masa yang terhad. Insya-Allah, di peringkat KARISMA Nasional telah dibincangkan satu cadangan sistem pembentukan kepemimpinan yang boleh diaplikasikan di pelbagai peringkat KARISMA dalam memastikan pertukaran yang licin berlaku tanpa sebarang gangguan pengoperasian. Sistem 1 + 1 ini berdasarkan kaedah Belajar dan Memimpin. Dalam tahun pertama, barisan pelapis yang dikenalpasti berdasarkan senarai pemilihan akan dilantik ke dlm kepimpinan untuk belajar akan budaya kerja KARIMA. Tahun berikutnya, barisan pelapis ini insya-Allah, telah bersedia untuk memangku amanah memimpin organisasi dengan kualiti kepimpinan mereka sendiri.

 

7. Cabaran Jaringan Informasi Yang Kukuh Antara Semua Peringkat

Perhubungan yang baik antara semua peringkat KARISMA akan menjamin perkongsian visi dan misi serta budaya kerja di dalam KARISMA. Perhimpunan KARISMA Nasional (PKN) dan Muzakarah IPT Nasional (MIN) merupakan dua platform pertemuan untuk kesemua peringkat pimpinan KARISMA bertemu dan berbincang. Namun, saya berpandangan aspek komunikasi antara KARISMA Nasional, Negeri/Zon dan IPT perlu dipertingkatkan lagi dari yang sedia ada. Era teknologi membuka banyak peluang untuk dimanafaatkan.

 

8. Cabaran Perlonjakan Aktivisme Mahasiswi

Menyahut cabaran yang dilontarkan setahun lalu, gerakerja awal ke arah menubuh dan menggerakkan UNIT SISWI KARISMA telah bermula. Melalui unit ini, insya-Allah, usaha pengemblengan tenaga di kalangan ahli siswi KARISMA akan dapat diberi tumpuan khusus dalam menjana barisan pimpinan yang unggul dan mantap di arena pengislahan kampus. Sokongan mantap dari setiap ahli siswi dan siswa KARISMA terutama di peringkat pimpinan KARISMA IPT adalah kritikal dalam menjayakan UNIT SISWI KARISMA.

 

9. Cabaran Pembangunan Potensi Akademik Ahli Yang Baik

Masyarakat selalu berpandangan bahawa mahasiswa yang aktif terlibat di dalam persatuan pelajar mempunyai pencapaian akademik yang sederhana. Ini ada benarnya memandangkan tanggungjawab tambahan yang perlu dipikul. Insya-Allah, dengan bimbingan dan latihan yang tersusun akan aspek pengurusan masa, aspek keutamaan dalam semua perkara, aspek kemahiran belajar berkesan, sokongan dan kerjasama yang kukuh antara ahli KARISMA, potensi akademik setiap dari kita boleh dipertingkatkan. Pentarbiahan yang kita perolehi menuntut kita untuk berusaha mencapai kecemerlangan di dalam kehidupan termasuk aspek akademik kerana Islam adalah satu cara hidup.

Kecemerlangan boleh ditafsirkan dari pelbagai aspek. Bagi ibu bapa, anaknya akan cemerlang sekiranya dapat balik dengan segulung ijazah. Bagi pihak universiti, kecemerlangan diukur dengan pencapaian dalam setiap semester dan juga sepanjang tempoh pengajian melalui sistem-sistem tertentu umpamanya berdasarkan Purata Nilai Gred (PNG) dan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK). Setiap diri kita pastinya mempunyai tafsiran masing-masing akan kecemerlangan yang perlu dicapai.

Garis kecemerlangan di dalam Islam adalah berdasarkan kefahaman akan konsep Ihsan. Apakah itu Ihsan? Bilamana Rasulullah saw ditanya oleh Jibril: “Maka khabarkanlah kepada ku darihal Ihsan.” Rasulullah saw menjawab, “Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatnya, tetapi jika engkau tidak melihatnya maka sesungguhnya ia melihat engkau”.                                                                                    (sebahagian dari al-Hadith riwayat Muslim)

 

Bagaimanakah sikap dan kesungguhan kita dalam melakukan sesuatu pekerjaan jika ibu ayah ataupun pensyarah berada di hadapan memerhati gerak geri kita? Pastinya kita berusaha melakukan sebaik mungkin, inikan pula bilamana Allah swt sendiri menyaksikan setiap tingkah laku dan keazaman kita. Justeru itu, ahli KARISMA yang faham akan kecemerlangan berdasarkan konsep ihsan ini akan sentiasa melakukan yang terbaik bukan sahaja di dalam bidang akademik, malah bidang-bidang yang lain. Yang pastinya kita akan dipertanggungjawabkan kelak.

 

10. Cabaran Pengukuhan KARISMA Dalam Agenda Pengislahan Kampus

Kepimpinan KARISMA terutamanya di peringkat IPT perlu menyusun strategi dalam menempatkan usaha amar ma’aruf nahi mungkar di kalangan masyarakat kampus. Ini boleh dilakukan melalui program-program anjuran KARISMA mahupun dengan kerjasama badan-badan pelajar yang lain. Sesungguhnya KARISMA mendokong permuafakatan menyeluruh dengan badan-badan lain kerana kita yakin usaha pengislahan ini memerlukan kerjasama semua pihak bukannya hanya ditunjangi oleh satu-satu pihak tertentu. Setiap badan pelajar ini mempunyai pendekatan dan kekuatan tersendiri yang bila digabungkan akan memberikan impak yang besar. Oleh itu, setiap pimpinan KARISMA perlu berusaha menjalinkan hubungan dengan badan-badan pelajar di IPT masing-masing. Penglibatan KARISMA haruslah secara aktif dan principal centered. Sudah sampai masanya untuk ahli KARISMA memastikan suara kita didengari dari peringkat awal perbincangan, bukan lagi hanya dilibatkan di peringkat perlaksanaan sahaja.

 

11. Cabaran Penerusan Penglibatan Dalam Proses Pengislahan Selepas IPT

Fenomena “Sekejap ada, sekejap tiada” memang biasa berlaku di kalangan aktivis dakwah mahasiswa. Ramai di kalangan aktivis pelajar yang aktif dalam arena pengislahan semasa belajar di IPT, namun hilang entah ke mana bila mula memasuki alam kerjaya. Antara faktor yang dikaitkan ialah kegagalan memahami dan menjiwai tuntutan dakwah. Golongan muda kaya dengan semangat. Namun, semangat tanpa kefahaman tidak membawa kesan berpanjangan. Justeru itu, para aktivis KARISMA perlu ditanamkan asas dan kefahaman akan aspek futur di jalan dakwah ini. Juga, sistem peralihan penglibatan dan tarbiah dari KARISMA dan JIM di peringkat organisasi KARISMA perlu dimantapkan lagi bagi mengelakkan keciciran di kalangan aktivis KARISMA. Juga, setiap ahli KARISMA mesti mengambil pendekatan proaktif dan positif dalam memastikan penerusan aktivisme masing-masing.

 

4. MENGGERAKKAN MISI PENGISLAHAN

Pengalaman lima tahun bergerak dijadikan panduan dalam memacu KARISMA ke hadapan. Walaupun masih ada ruang yang perlu ditingkatkan, KARISMA harus bergerak seiring dengan arus pengislahan negara. Era globalisasi menuntut KARISMA menjadi sebuah organisasi yang fleksible. Masih banyak ruang lingkup yang perlu diterokai oleh KARISMA, antaranya:

 

·                     Remaja

Remaja adalah kelompok berpotensi tinggi dalam membawa agenda pengislahan KARISMA. Pembentukan kelompok ini secara terancang dan tersusun akan memberi manafaat yang besar kepada KARISMA secara umum. Ini kerana kelompok ini bakal mewarnai masyarakat kampus dalam masa terdekat. Lantaran itu, penglibatan secara terus dalam program-program bersama remaja seharusnya diberi tumpuan. Kerjasama erat bersama dengan Kelab Remaja JIM (KRJ) merupakan langkah permulaan terbaik dalam merealisasikan agenda ini. Pastinya dengan kualiti diri seorang mahasiswa yang dipandang tinggi masyarakat dan akhlak yang sejahtera akan menjadi satu aset yang baik dalam diri ahli KARISMA untuk mendampingi golongan remaja ini.

 

·                     Dakwah Masyarakat Majmuk

Malaysia adalah sebuah negara yang unik dengan berbilang kaum membentuk sosio-budayanya. Sudah sampai juga masanya untuk KARISMA mula mengorak langkah ke arah usaha melaksanakan dakwah kepada masyarakat bukan Islam. Kerjasama dengan pelbagai pihak yang terlibat secara langsung seperti JIM (Unit Dakwah Masyarakat Majmuk), PERKIM, dan IPCI, boleh dijadikan pendedahan awal untuk organisasi KARISMA bermula.

 

·                     Penggunaan Effektif Teknologi Maklumat

Teknologi canggih merupakan telur emas yang patut digunakan dalam agenda pengislahan KARISMA. Internet, dunia tanpa sempadan, merupakan satu alat yang powerful dalam penyebaran fikrah. Penggunaan alatan ICT mampu memberi nafas dan tarikan baru kepada program-program bersama masyarakat. Justeru itu, ahli-ahli KARISMA perlu menguasai aspek penggunaan teknologi ini secara effektif dan berusaha secara kreatif untuk menggunakannya bagi memacu agenda pengislahan KARISMA, khususnya dan JIM pada masa hadapan.

 

·                     Isu-isu nasional dan antarabangsa

Pembacaan dan analisis secara kritis isu-isu nasional dan antarabangsa perlu dipupuk di kalangan ahli KARISMA dan juga di peringkat organisasi. Agenda pengislahan yang didokong oleh KARISMA bukan bersifat setempat, namun global (alami). Peranan yang dimainkan oleh setiap organisasi dalam memartabatkan Islam di pelbagai tempat di muka bumi ini merupakan usaha berkelompok. Justeru itu, kemahiran berfikir secara kritis perlu diterapkan ke dalam ahli KARISMA melalui program dan aktiviti yang bersesuaian. Di peringkat organisasi, KARISMA akan berusaha terlibat secara aktif dan bijak dalam menangani isu nasional dan global. KARISMA International telah memulakan langkah awal dengan penglibatan langsung dalam isu Palestin melalui kerjasama bersama JIM International.

 

·                     Aktiviti bersama masyarakat

Kefahaman akan Islam yang kita perolehi ini tidak akan menular dengan berkesan ke setiap penjuru masyarakat jika kita tidak turun bersama mereka. Perhubungan langsung dalam bentuk pertemuan bersemuka, perbincangan dan melakukan aktiviti bersama memberi kesan yang lebih mendalam di dalam hati masyarakat. Antara tarikan awal yang membantu Islam tersebar di Nusantara Melayu pada awal 14 Masehi ialah peribadi dan pembawaan para pedagang Islam dari Timur Tengah. Keperibadian dan pembawaan diri yang mulia membuat masyarakat tempatan tertarik untuk mengetahui siapa kelompok yang berbeza ini. Sedar atau tidak, setiap dari ahli KARISMA secara umumnya berbeza dari masyarakat umum kampus. Program pentarbiahan yang berkesan mampu melahirkan keperibadian yang mempunyai keistimewaan sepertimana yang digariskan oleh Islam. Marilah sama-sama kita tonjolkan perbezaan ini di dalam program-program masyarakat KARISMA, sebagai contoh Program Baktisiswa KARISMA, terutama dalam era kejatuhan moral dan akhlak muda mudi masa kini. Ahli KARISMA perlu sedar kita mempunyai satu aset yang berharga yang patut digunakan untuk memanggil manusia ke Ar-Risalah. Jangan takut untuk berbeza!!! Insya-Allah, perbezaan ini sebenarnya merupakan satu KEKUATAN yang perlu kita gunakan untuk melonjakkan aktivisme di jalan dakwah ini. Allahuakbar!

 

5. Penutup

 

Telah panjang saya lakarkan ucapan dasar ini untuk sama-sama kita perbincangkan. Jalan perjuangan ini penuh dengan tribulasi yang memerlukan persediaan awal dan kekuatan. Marilah bersama kita bahu membahu dalam menjayakan agenda pengislahan ini.

 

“Dan katakanlah: “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mu’min akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”

(At-Taubah: 105)

 

“Membina Kekuatan Mendepani Tribulasi Dakwah Masa Kini””

 

Selamat Bersidang.

 

Wassalamualaikum warahmatullah.

 

Aidiahmad Dewa

Presiden KARISMA Nasional sesi 2003-2005

Advertisements
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: