MENGANJAKKAN MINDA MENGGERAKKAN AGENDA

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

PENDAHULUAN

Para pendukung da’wah yang diberkati Allah,

Sama-samalah kita melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah yang mana dengan keizinan dan inayah-Nya jua, perhimpunan tahunan kita pada hari ini dapat direalisasikan. Secara peribadi, tiada kata secantik bahasa yang dapat saya utuskan bagi menggambarkan rasa berterima kasih saya kepada rakan-rakan seperjuangan sekalian. Tiada ungkapan menarik yang mampu saya cetuskan bagi membayangkan rasa gembira saya dapat bertemu dan berada bersama handai taulan sekalian. Saya juga berasa begitu berbesar hati melihatkan sokongan dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh insan-insan di hadapan mata saya pada hari ini, yang mana saya pasti matlamat kalian hanyalah satu, ya’ni meraih keredhaan Allah.

Dalam kita berukhuwwah dan bermahabbah, marilah kita bersama-sama menyemak dan menilai kembali prestasi, pencapaian dan hasil kerja kita pada tahun lalu. Sama-samalah kita mencari ruang untuk memperkemaskan lagi perjalanan langkah kita yang destinasinya masih jauh di hadapan. Sambil bermuhasabah, kesempatan ini juga akan sama-sama kita manfaatkan bagi meletakkan asas, arah dan agenda organisasi Karisma yang amat kita sayangi ini pada tahun-tahun mendatang. Kita mantapkan segala strategi pengoperasian kita agar visi yang dicita-citakan dapat dicapai dalam tempoh waktu lebih awal dari yang telah kita sasarkan.

Selain itu, di dalam keriangan dan kehangatan ukhuwwah ini, jangan sekali-kali  kita alpa untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan saudara-saudara se-Islam kita yang ditimpa ujian yang getir dari Allah. Moga mereka dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang berterusan dalam mendepani pahit maung di dalam menongkah liku perjuangan ini.

SENARIO GLOBAL DAN UMAT ISLAM

Para perwakilan yang diredhai Allah,

Kelalaian generasi umat terdahulu dalam mendukung peranan memakmurkan bumi berlandaskan syariat Islam yang sebenar telah meninggalkan kesan yang pahit dan cukup mendalam terhadap nasib umat Islam hari ini. Imperialisme dan kolonialisme oleh kuasa-kuasa besar dari benua Eropah  terhadap negara-negara umat Islam seantero dunia, yang merangkumi rantau Afrika dan Asia pada beberapa abad lalu adalah hasil dari kealpaan umat menjalankan tugas sebagai khalifatuLlah. Sejarah telah menyaksikan bahawa selain menjalankan misi menguasai sumber kekayaan dan hasil bumi, penjajah Barat turut mengetengahkan ideologi, falsafah dan pemikiran palsu ciptaan mereka untuk menguasai minda umat Islam di negara jajahannya, dalam memastikan umat meninggalkan cara hidup Islam yang dianuti mereka.

Walaupun sebahagian besar negara umat Islam mencapai kemerdekaan dari  pihak imperialis pada dekad 1940-an hingga 1960-an, namun mereka masih belum bebas dari fikrah milik penjajah yang sedikit sebanyak telah meracuni pemikiran dan minda majoriti rakyat, termasuk para pemimpin negara yang ada di kalangan mereka berlatar belakangkan pendidikan Barat. Mereka mentadbir negara berasaskan panduan ideologi-ideologi  asing, manakala kehendak Islam diketepikan. Sungguhpun kedapatan juga di sana negara-negara yang menjadikan Islam sebagai dasarnya, namun negara-negara ini gagal menonjolkan pelaksanaan sistem dan hukum Islam secara realiti.

Pun begitu, ada sedikit sinar yang terpancar. Sejak beberapa dekad belakangan ini, kesedaran, pemahaman dan penghayatan masyarakat terhadap deenul Islam semakin meningkat. Walau pun umat Islam terus-menerus merasai penindasan dan kesengsaraan, apatah lagi dengan suasana politik dunia yang tidak menentu, keupayaan beberapa negara umat Islam menggerakkan perubahan dan pembangunan dalam aspek politik, ekonomi dan ketenteraan dalam kadar masa yang begitu pantas telah mula membuka mata dunia, serta menghadirkan rasa gerun Barat terhadap kebangkitan mereka, yang semestinya tidak mampu dipandang enteng.

Bagi umat Islam, mereka tidak boleh lagi mendabik dada. Pelbagai peristiwa yang melanda dalam arena politik antarabangsa, khususnya yang melibatkan keadaan dan nasib umat Islam menunjukkan bahawa masih banyak tugas sebagai hamba dan khalifah Allah yang perlu dibereskan. Sejak dunia dipengaruhi oleh kuasa unipolar, iaitu Amerika Syarikat, Islam semakin hebat dicabar.

Bagi tahun 2004, beberapa peristiwa penting yang melanda umat Islam wajar dijadikan renungan dan pengajaran. Nasib umat Islam di Palestin, Iraq, Sudan, Afghanistan, Kashmir, Chechnya, Kosova, Filipina, dan Selatan Thailand menunjukkan bahawa musuh-musuh Islam akan terus mencari alasan untuk melemahkan kekuatan dan pengaruh umat Islam. Slogan yang ditaja dan dilaungkan mereka, yang mana orang Islam dianggap pengganas, dan Islam adalah agama keganasan telah dimanfaatkan sebaiknya oleh mereka untuk terus membuli umat Islam.

Satu lagi peristiwa penting yang menutup tirai tahun 2004 adalah bencana Tsunami yang melanda dan telah mengorbankan beratus-ratus ribu nyawa manusia di beberapa negara Asia dan Afrika, termasuk beberapa jiwa yang terkorban di negeri-negeri di utara Malaysia. Bagi seorang muslim, kita haruslah meyakini bahawa bencana ini bukan suatu kebetulan. Ini adalah amaran dari Allah azza wa jalla terhadap manusia agar kembali kepada ajaran Islam.

MALAYSIA DAN PERKEMBANGANNYA

Para pendukung da’wah yang saya hormati sekalian,

Setelah memperoleh kemerdekaan, negara Malaysia tidak lagi menoleh ke belakang. Para pemimpin dan rakyatnya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan dihormati.  Keseriusan pihak pemerintah dalam merealisasikan hasrat ini terbukti dengan terhasilnya ‘Wawasan 2020’, satu agenda jangka panjang kerajaan untuk menganjakkan minda rakyat agar memandang jauh ke hadapan, seterusnya membuat persediaan rapi bagi menghadapi kedatangan alaf baru yang menjanjikan  seribu satu cabaran.

Negara Malaysia adalah antara beberapa buah negara yang masih dikurniakan keamanan dan kestabilan. Sebagai seorang yang beriman, kita wajib bersyukur dengan ni’mat keamanan dan suasana harmoni yang kita alami pada hari ini. Bagi insan yang bergelar da’i, keadaan ini seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin dalam meningkatkan kefahaman dan kesedaran ahli masyarakat seluruhnya terhadap ad-Deen.

Namun begitu, suasana aman yang sama-sama kita rasai ini seharusnya tidak membuat kita alpa untuk menyedari bahawa masih banyak permasalahan dan gejala negatif yang melanda masyarakat, yang sewajarnya ditangani. Dengan berleluasanya maksiat dan kemungkaran, khususnya di kalangan generasi muda adalah suatu perkara yang amat merisaukan. Kepelbagaian ekses sosial yang menyelubungi masyarakat kita pada hari ini seharusnya menerbitkan rasa insaf kepada umat bahawa usaha-usaha membaik pulih masyarakat berlandaskan syariat-Nya haruslah menjadi agenda serius pelbagai pihak dan sektor.

Sepanjang tahun 2004, beberapa fenomena yang berlaku seharusnya dijadikan iktibar. Isu gengterisme di kalangan remaja, jenayah ragut, kegiatan rogol dan bunuh, penagihan dadah, dan pelbagai gejala lain terus berlaku dari tahun ke tahun, seolah-olah tidak ditemui ubat mujarabnya. Bagi kita, selagi Islam tidak dijadikan agenda tunjang, mengharapkan kemunculan jalan penyelesaian terhadap segala konflik sosial ini  adalah umpama bermimpi di siang hari, mahu pun seperti pungguk merindukan bulan.

DUNIA KAMPUS : BEBERAPA ISU ASAS

Saudara-saudara yang dirahmati Allah,

Beribu-ribu graduan dilahirkan oleh pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta setiap tahun. Memandangkan tidak banyak kekosongan jawatan di pasaran kerja, maka ia telah menatijahkan semakin bertambahnya bilangan tenaga kerja yang menganggur. Isu pengangguran ini bukanlah isu baru, malah isu ini telah banyak kali diperdebatkan dan dijadikan bahan perbincangan, termasuk melalui media massa, serta mendapat reaksi dari tokoh-tokoh yang terbabit dengan pelbagai bidang.

Banyak andaian yang telah dilemparkan berhubung permasalahan ini. Antaranya ada yang mengatakan bahawa graduan kurang kemahiran komunikasi, kurang kemampuan berfikir, kurang bertenaga dan kurang berinisiatif.  Punca lain adalah ada graduan yang mendapat kerja, tetapi tidak puas hati dengan suasana kerja, tidak selesa dengan pekerjaan yang dilakukan dan lain-lain alasan lagi.

Selain isu pengangguran di kalangan graduan, terdapat beberapa isu lain yang tidak kurang menarik perhatian berkaitan dunia kampus pada hari ini. Secara ringkas, saya senaraikan isu-isu tersebut seperti berikut :

1-      Mahasiswa belajar sekadar untuk lulus peperiksaan dan tiada disiplin pembelajaran yang tersusun.  Kesungguhan di peringkat sekolah dahulu telah pudar kerana tiada lagi pemantauan. Malah, mahasiswa bebas untuk memilih untuk gagal atau bergelar graduan.

2-      Mengharap agar dapat berkerjaya di sektor kerajaan yang dikatakan selesa dan tidak berfikir menjangkau lebih dari itu.

3-      Tidak kreatif dalam mendepani masalah hidup. Seringkali menjadikan masalah sebagai alas an apabila gagal di universiti.

4-      Mabuk bercinta sehingga menggadai maruah dan agama. Kebanyakan mahasiswa amat khuatir sekiranya tidak memiliki pasangan apabila tiba tahun akhir.

Ini hanyalah beberapa isu daripada sekian banyak isu yang melanda dunia menara gading. Bagi mahasiswa du’at, peranannya sebagai peneraju ‘wahdah’ (kesatuan) ke arah ‘nahdah’ (kebangkitan) seharusnya digerakkan.  Seluruh mahasiswa harus menganjakkan minda mereka untuk kembali berdiri atas dasar kebenaran dan mendukung tradisi keilmuan.

KARISMA SEPANJANG TAHUN 2004

Para perwakilan yamg dikasihi,

Pada kesempatan ini, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak pengalaman dan gerak kerja da’wah Karisma bagi tahun 2004. Semoga perkongsian ini menjadi bekalan yang bermanfaat untuk dijadikan muhasabah organisasi, seterusnya panduan yang berguna dalam melaksanakan yang terbaik terhadap segala perancangan dan pengoperasian da’wah dan islah pada masa hadapan. Saya juga berharap agar muhasabah ini dapat menganjakkan minda kita untuk terus bersikap proaktif, kreatif dan inovatif dalam meraih kegemilangan da’wah.

Berdasarkan Ucapan Dasar Presiden Karisma Nasional (KnL), saudara Aidiahmad Dewa bertajuk ‘Membina Kekuatan Mendepani Tribulasi Da’wah Masa Kini’, barisan pimpinan KnL mula melakar perancangan strategik untuk tahun 2004 ini. Berpandukan Ucapan Dasar tersebut juga, beberapa aspek yang dirasakan penting telah dikenal pasti untuk diberi fokus dengan serius oleh Karisma.

Akhirnya, lahirlah ‘AGENDA 07’, yang merupakan wawasan dan unjuran Karisma bagi tempoh masa tiga tahun mendatang, iaitu sehingga tahun 2007. Seperti yang semua sedia maklum, Agenda 07 adalah terdiri daripada tujuh agenda penting yang ingin dicapai oleh Karisma, yang boleh diringkaskan seperti berikut:

1- 1000 ahli

2- 500 RM

3- 100 kepimpinan

4- 50 IPT

5- 10 negeri

6- 5 K.I.G

7- 1 pejabat

Agenda 07 telah menjadi asas dalam segala gerak kerja Karisma pada tahun ini. Saya merasa bersyukur kerana telah berkesempatan untuk membentangkan Agenda 07 ini kepada semua pendukung, aktivis dan ahli Karisma dalam siri lawatan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun ini ke seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak. Adalah menjadi harapan agar setiap pemimpin Karisma memahami dan menghayati dengan baik akan sasaran yang ingin dicapai melalui Agenda 07 ini, seterusnya menjana pengoperasian yang berstrategi dalam menjayakan setiap agenda tersebut.

Saudara-saudara yang saya kasihi sekalian,

Aspek tarbiyyah telah menjadi salah satu fokus utama Karisma pada tahun ini. Pemantapan pelaksanaan sistem pentarbiyyahan Karisma di setiap lokaliti adalah menjadi perkara yang amat dititik beratkan untuk diberi tumpuan. Perbincangan demi perbincangan telah dilakukan oleh pelbagai pihak yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung dalam pengoperasian sistem pentarbiyyahan Karisma ini, yang mana kemudiannya telah membawa kepada kemunculan ‘Big Picture Tarbiyyah Karisma’, suatu gambaran besar akan pelaksanaan sistem pentarbiyyahan yang dihasratkan oleh organisasi untuk diimplementasikan oleh setiap pihak yang terlibat.

Konvensyen Tarbiyyah Karisma Nasional (KTKN) yang dijalankan pada 23 dan 24 Oktober 2004 di Ipoh, Perak telah menjadi platform untuk para pendukung dan aktivis Karisma bermuzakarah berkaitan aspek tarbiyyah ini. Melalui perkongsian ‘Big Picture Tarbiyyah Karisma’, tiga perkara utama ditekankan; ‘End Result’, ‘Critical Elements to the End Result’, dan ‘Critical Ways to the End Result’.

‘End Result’ yang ingin dicapai oleh Karisma adalah ‘Mahasiswa Du’at Soleh Wa Musleh’. ‘Critical Elements to the End Result’ adalah terdiri daripada faktor murabbi, modul dan amal. Manakala ‘Critical Ways to the End Result’ adalah berasaskan kepada ‘Bonding and Attachment’, ‘Transform by Process’ dan ‘Strategic in Involvement’. Pemahaman dan penghayatan terhadap ‘Big Picture Tarbiyyah Karisma’ ini akan diusahakan oleh barisan pimpinan KnL sesi akan datang di dalam ziarah berkalanya ke seluruh negara sepanjang tahun 2005 nanti.

Di samping aspek tarbiyyah, satu lagi aspek yang turut menjadi perhatian KnL pada tahun ini adalah aspek pentadbiran organisasi, yang mana merupakan satu bidang yang menjadi fokus penting sejak penubuhan Karisma lagi. Dengan perkembangan organisasi Karisma yang semakin pesat dan membesar dari masa ke semasa, pentadbiran dan pengurusan organisasi, sama ada di peringat Pusat, Negeri mahu pun IPT haruslah ditangani dengan bijak oleh para pemainnya.

Setelah sekian lama tertangguh, akhirnya Perlembagaan Karisma berjaya juga dikeluarkan. Perlembagaan ini telah melalui beberapa proses perbincangan, termasuk didiskusi dan diperdebatkan oleh lebih kurang 70 orang pimpinan Karisma pelbagai peringkat sewaktu Muzakarah IPT Nasional (MIN) di Port Dickson, Negeri Sembilan  pada 24 dan 25 Julai 2004 yang lalu. Kita berharap semoga sistem pentadbiran organisasi yang terpandu dan terencana berasaskan Perlembagaan tersebut, yang dijadualkan akan bermula pelaksanaannya pada pertengahan Januari 2005 akan melancarkan lagi segala gerak kerja pentadbiran dan pengurusan organisasi Karisma di semua peringkat. Dengan keberkesanan sistem pentadbiran, diharap akan dapat mematang dan mendisiplinkan lagi perjalanan organisasi Karisma secara keseluruhan.

Para perwakilan yang beriltizam untuk Islam,

Tahun 2004 merupakan tahun di mana Karisma mula membuktikan kesungguhan dan iltizam untuk berperanan secara aktif di dalam masyarakat. Setelah lima tahun sejak penubuhannya, impian Karisma untuk menepati objektif ‘melibatkan golongan mahasiswa di dalam proses pengislahan masyarakat’ mula menjadi nyata. Malah, pendirian tegas dan jelas yang telah dikeluarkan oleh Karisma melalui media massa di dalam isu-isu tertentu, khususnya berkaitan remaja dan antarabangsa sepanjang tahun ini membuktikan Karisma begitu prihatin, berkomitmen dan sedia berkhidmat untuk memastikan perubahan masyarakat ke arah yang lebih positif dan konstruktif.

Realiti umat yang melanda kini mendorong Karisma dan aktivisnya untuk tidak berdiam diri. Kefahaman dan penghayatan Islam yang dimiliki, hasil pentarbiyyahan yang diikuti menjadi bekal berharga untuk aktivis Karisma mempraktikkan segala teori yang diperoleh di medan. Bagi mencapai tujuan ini, berasaskan strategi ‘niche’, beberapa bidang telah dikenal pasti untuk menjadi fokus Karisma di dalam usaha menempatkan aktivisme da’wah dan islahnya di dalam masyarakat.

Dengan terbentuknya beberapa Karisma Interest Group (K.I.G) seperti Karisma International bagi bidang isu antarabangsa, Karisma Fasilitator bagi bidang pembangunan remaja, Karisma Media (media massa) dan Karisma Care (kebajikan masyarakat), ia menjadi ujian dan penilaian untuk Karisma membuktikan keupayaannya sebagai organisasi da’wah mahasiswa yang benar-benar serius di dalam mencapai visinya. Penubuhan K.I.G selain daripada memanfaatkan segala kepakaran dan minat ahli untuk menebarkan usaha da’wah, adalah juga bertujuan bagi melatih dan membiasakan diri ahli untuk memainkan tanggungjawabnya terhadap masyarakat sejak di bangku IPT, agar mereka tidak terlalu terkejut dan berasa ragu-ragu untuk terus berperanan apabila benar-benar terjun ke dalam masyarakat apabila tiba detiknya nanti.

Agenda ummah yang ingin dibawa oleh Karisma adalah agenda besar. Menjadi suatu keperluan untuk agenda ini dikongsikan secara meluas. Untuk mencapai agenda ini, penggembelingan tenaga dan kepakaran pelbagai pihak, sama ada individu mahu pun organisasi dilihat penting untuk diusahakan. Maka, Karisma yang merupakan salah satu entiti yang berkomitmen untuk menjayakan agenda ummah ini mula mengambil inisitif untuk mengadakan usaha-usaha perhubungan awam atau public relation (PR) dengan pelbagai organisasi yang mencita-citakan agenda yang sama.

Bagi tahun 2004, Karisma menumpukan usaha-usaha mewujudkan PR dengan pelbagai organisasi mahasiswa. Ia dimulakan dengan penganjuran program Konvensyen Mahasiswa Nasional (KONSIS) pada 1 hingga 3 Mei 2004, yang mana digerakkan oleh beberapa entiti yang terlibat secara langsung di dalam mengendalikan sistem pentarbiyyahan di IPT, yang mana Karisma turut sama berperanan. Selain itu, Karisma turut mengadakan PR dengan beberapa badan mahasiswa arus perdana seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Majlis Persidangan Mahasiswa Islam (MPMI), Democratic Youth and Student Movement (DEMA) dan beberapa front mahasiswa selainnya. Hubungan yang terjalin ini berasaskan kepada beberapa perkara asas yang selari antara organisasi-organisasi mahasiswa tersebut. Malah, penubuhan platform Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dilihat salah satu hala cara untuk mengeratkan kerjasama dan permuafakatan antara organisasi-organisasi mahasiswa yang terlibat.

Di samping itu, Karisma turut melakukan PR dengan beberapa entiti mahasiswa di luar negara. Ini boleh dibahagikan kepada dua bentuk hubungan; Pertama, hubungan dengan kelompok pelajar Malaysia di luar negara, seperti di United Kingdom dan Jepun. Kedua, hubungan dengan organisasi mahasiswa luar negara seperti Saff Perdaus di Singapura. Beberapa program telah dilaksanakan sepanjang tahun ini seperti Perhimpunan Pelajar Malaysia (PPM), Muzakarah Aktivis Mahasiswa dan Semaian Ukhuwwah bagi memperpadu dan memperkasakan jaringan hubungan yang sedia terbina ini.

DAKWAH DAN ISLAH : SUATU TUNTUTAN

Saudara-saudara penggerak islah,

Da’wah adalah suatu kewajipan, bukan pilihan. Terdapat banyak dalil yang terkandung di dalam Al-Quran, yang jelas menunjukkan bahawa melaksanakan usaha dakwah, iaitu melakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah suatu tuntutan keimanan yang tidak boleh diabaikan.  Salah satu dalil tuntutan dakwah adalah sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran :

“ Dan ingatlah ketika suatu umat di antara mereka berkata : ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?’ Mereka menjawab : ‘Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertaqwa.’” (Al-A’raf : 164)

Matlamat yang ingin dicapai melalui usaha dakwah yang dijalankan adalah bergantung kepada realiti yang dialami oleh umat Islam pada ketika itu. Dengan ketiadaan negara Islam, matlamat dakwah yang diinginkan adalah untuk menegakkan sebuah negara Islam. Manakala setelah wujudnya negara Islam, menjadi tanggungjawab dakwah untuk memastikan kelestarian Islam di dalam masyarakat serta peluasannya ke negara-negara yang masih belum menjadikan deenul Islam sebagai pegangan utamanya.

Usaha dakwah dan islah merupakan kerja utama organisasi Karisma dan setiap individu yang menyertai gerabaknya. Ini adalah berasaskan kefahaman bahawa tugas menggerakkan dakwah dan islah adalah menjadi kewajipan bagi setiap individu yang bergelar muslim dan mengucapkan kalimah ‘La Ilaha IllaLlah Muhammadur Rasulullah‘. Malah, ia merupakan sunnah terbesar Nabi Muhammad SAW, serta para rasul dan nabi sebelumnya, yang mana tujuan diutuskan mereka kepada setiap umat manusia adalah tidak lain dan tidak bukan, untuk membawa dan mengembangkan risalah Islam ini.

Firman Allah swt:

‘ Hai Nabi, kami mengutuskan engkau sebagai saksi, dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan, dan untuk menjadi penyeru (da’i) kepada (ad-Deen) Allah dengan seizin-Nya dan untuk menjadi cahaya yang menerangi.’ (Al-Ahzab : 45-46)

Berhubung persoalan da’wah juga, Imam Said bin Jubair pernah berkata:

‘Jika seseorang itu tidak mahu mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar sehinggalah dia berada dalam keadaan sempurna, maka tidak akan ada sesiapa pun yang mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar.’

Salah satu kekeliruan yang kerap didapati dalam konteks dakwah adalah seseorang individu itu perlu memastikan kesempurnaan dirinya sebelum terjun menjalankan usaha dakwah. Sekiranya mentaliti ini masih bertakung di minda kebanyakan individu muslim, umat Islam akan terus-menerus ketandusan anasir-anasir dakwah yang mampu membawa perubahan yang diharapkan. Ini kerana tiada seorang pun yang akan mencapai tahap kesempurnaan, sama ada dalam aspek keperibadiannya mahu pun tahap keilmuannya.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

‘Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dicegah dengan tangannya, jika tidak mampu, cegahlah dengan kata-katanya, jika tidak mampu juga, cegahlah dengan hatinya, dan itu adalah tanda selemah-lemah iman.’ (Riwayat Muslim)

Islam mengakui tahap keupayaan setiap individu. Ini didasarkan sabda Nabi di atas, setiap muslim dituntut berdakwah berteraskan kemampuannya. Dalam konteks mencegah kemungkaran, usaha paling minima yang boleh dilakukan adalah membenci sesuatu kemungkaran itu dengan hati. Ini kerana mengingkari kemungkaran dengan hati adalah wajib hukumnya ke atas setiap muslim. Ini juga menunjukkan tanda-tanda keimanan seseorang, yang mana salah satu neraca pertimbangannya adalah membenci maksiat.

Seseorang pendakwah perlu mempersiapkan dirinya dalam tiga perkara: ilmu, wara’ dan akhlak. Dalam hal ini, Imam Al-Ghazali pernah menjelaskan:

‘Berkaitan dengan ilmu, seseorang pendakwah perlu mengetahui suasana dakwahnya, batas-batasnya, tempat berlakunya kemungkaran, serta penghalang-penghalangnya, supaya dakwahnya berjalan di atas landasan agama. Wara’ bermakna seseorang pendakwah menjauhi perbuatan-perbuatan salah yang diketahuinya. Berhubung dengan akhlak yang baik, seseorang pendakwah hendaklah berdakwah dengan lemah lembut dan kasih sayang…Dengan tiga sifat ini, dakwah menjadi amalan yang mendekatkan seseorang kepada Allah swt. Tanpa ketiga-tiganya, kemungkaran tidak akan tertolak, malah kadang kala dakwah bertukar menjadi kemungkaran, kerana melampaui batas-batas agama.’

GENERASI MUDA HARAPAN UMMAH

Golongan pemuda adalah salah satu kelompok individu yang sangat besar sumbangan dan peranannya terhadap masyarakat. Golongan pemuda juga adalah suatu golongan yang sangat dinamis dan berpengetahuan dalam pelbagai bidang. Seandainya golongan pemuda berjaya menjalankan tugasnya selaku ahli masyarakat, maka masyarakat tersebut akan mencapai kemajuan material dan pembangunan insan yang diharapkan. Sebaliknya, masyarakat akan menjadi lesu dan kurang bermaya jika generasi mudanya  melalaikan kewajipan dan tanggungjawabnya membina masyarakat.

Oleh kerana itu, masyarakat amat memandang tinggi serta bergantung harapan yang menggunung terhadap generasi muda. Generasi ini mempunyai kekuatan yang pelbagai, semangatnya sentiasa membara, dan idealismenya sarat dengan cita-cita. Pada tahap usia yang sedang dialaminya, ini adalah detik terbaik untuk seseorang pemuda itu menyediakan dirinya, lantas menabur bakti dan mencurahkan khidmat yang tidak berbelah bagi terhadap masyarakat sekitarnya.

Andai kita menyingkap tabir seerah, maka kita akan dapati bahawa pendukung, pemikul dan pelopor risalah para anbiya’ kebanyakannya terdiri daripada golongan pemuda. Saya ingin memetik beberapa ayat Al-Qur’an yang bersangkutan dengan hal ini , yang dimulai dengan kisah pemuda Ashabul Kahfi (penghuni gua) :

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan buat mereka dengan hidayah petunjuk.’ (Al-Kahfi : 13)

Al-Qur’an turut menceritakan tentang kisah seorang pemuda bernama Ibrahim :

‘(Setengah dari) mereka berkata : “Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya.”’ (Al-Anbiya’ : 60)

Di dalam ayat yang lain, kisah seorang pemuda bernama Ismail yang sanggup berkorban turut dirakamkan Allah di dalam kitab yang mulia :

Nabi Ibrahim berkata : “ Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu…!” Anaknya menjawab : “Wahai ayahku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, dengan izin Allah, ayah akan mendapati aku daripada orang-orang yang sabar.’ (Al-Saaffaat : 102)

Satu lagi kisah yang turut menarik perhatian saya adalah keteguhan iman seorang pemuda bernama Yusuf dalam menongkah godaan yang menduga :

‘…wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya…’ (Yusuf : 33)

Inilah antara contoh para pemuda hebat yang pernah lahir dalam sejarah manusia. Mereka jualah yang akhirnya membawa perubahan kepada kaum mereka. Mereka adalah golongan yang selayaknya mendapat bantuan Allah, lantaran kegigihan dan keikhlasan mereka untuk membuahkan syiar-Nya dalam kehidupan.

Generasi muda hari ini adalah harapan umat. Mereka harus menyedari bahawa tanggungjawab membangunkan umat dan memperjuangkan risalah-Nya adalah tergalas di bahu mereka. Sememangnya tugas ini amat berat, dan pastinya menagih pengorbanan yang bukan sedikit. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi tribulasi hebat pada alaf ini. Maka, adakah para pemuda pada hari ini, termasuk di hadapan mata saya ini telah benar-benar bersedia dan mempersiapkan diri untuk memikul amanah ini?

MENGGERAKKAN AGENDA

Para perwakilan yang berhati mulia,

Karisma yang merupakan organisasi da’wah mahasiswa tidak akan berganjak dari pendiriannya, dan tetap teguh dengan iltizamnya untuk menjayakan aspirasi Islam, serta menggerakkan agenda islah. Dalam mendukung keazaman ini, Karisma akan  bersama-sama dengan seluruh ahli masyarakat dan organisasi yang berkomitmen untuk meninggikan kalimahnya, bersandarkan rasa ukhuwwah, mahabbah, ta’awun dan musyawarah. Karisma menyedari bahawa tugas yang amat mulia ini bukan hak golongan tertentu sahaja, bahkan wajib dikongsi dengan semua petugas di jalan-Nya, dan diimplementasikan berdasarkan kemampuan dan keupayaan masing-masing.

Dengan izin Allah, Karisma akan berperanan sebaik mungkin untuk merealisasikan visi dan misi berikut:

Kenyataan visi Karisma :

‘Menjadi sebuah gerakan mahasiswa kontemporari yang menjana perubahan ke arah tertegaknya syariat Islam di Malaysia’

Kenyataan misi Karisma :

Beriltizam untuk melahirkan mahasiswa du’at soleh wa musleh yang cemerlang dari aspek kepimpinan, akademik dan sahsiah melalui program pembangunan insan yang komprehensif’

Dalam menggerakkan agenda yang besar ini, pasti ada cabaran hebat yang sedang melambai. Harapan saya agar seluruh ahli Karisma dapat menetapkan objektif peribadi masing-masing untuk membantu melancarkan pengoperasian kita, serta komited untuk mengukuhkan misi Islam dalam kehidupan bermasyarakat.

Bagi tempoh masa setahun mendatang, tumpuan Karisma adalah cenderung untuk menggerakkan agenda-agenda berikut :

1-      Pembangunan ahli

2-      Pengurusan organisasi

3-      Pelonjakan aktivisme

4-      Perhubungan awam

5-      Penjanaan dana

Ingin saya tegaskan di sini bahawa pelaksanaan agenda-agenda ini adalah tanggungjawab kita bersama. Marilah kita hayati tugas yang terpikul di bahu kita ini dengan teliti, seterusnya saling berganding bahu untuk memastikan kecemerlangan pengamalannya.

 

PENGURUSAN ORGANISASI

Para perwakilan yang dihormati,

Secara amnya, pengurusan dan pentadbiran boleh dikaitkan dengan pengaturan dan pengelolaan tingkah laku manusia dan sumber-sumber yang berada di sekelilingnya. Ia melibatkan pelaksanaan aspek-aspek perancangan, penyusunan, pengarahan, penyelarasan, perhubungan, pengawasan serta pengawalan terhadap kepelbagaian sumber dan potensi tenaga manusia melalui satu aturan sistem dan perorganisasian.

Di dalam Al-Qur’an, aspek pengurusan dan pentadbiran turut diberi penekanan. Perkataan ‘yudabbiru’ digunakan bagi menerangkan maksud mengarah, menunjukkan jalan, mengurus, melaksana, meneraju, mengawal supaya teratur, merancang dan mengendali.

‘Allah lah yang meninggikan langit tanpa tiang sebagaimana yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy dan menundukkan matahari dan bulan. Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan…’ (Ar-Ra’d : 2)

‘Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepada-Nya dalam satu hari yang kadarnya adalah seribu tahun menurut perhitunganmu.’ (As-Sajdah : 6)

Dalam konteks Karisma, kewujudan sistem pengurusan organisasi yang teratur, serta pelaksanaan perancangan yang berkesan adalah satu keutamaan yang harus ditekankan dalam menggerakkan agenda ‘amal Islami pada masa kini.  Ini adalah kerana Islam sentiasa mementingkan sistem dan perorganisasian yang kemas dalam segala gerak kerja sesebuah jama’ah Islam dan da’wah. Sekiranya sesebuah organisasi Islam berjaya mengadakan, seterusnya melaksanakan suatu sistem pengurusan yang dapat  menggabung dan memanfaatkan segala kekuatan dan kepakaran yang dimiliki oleh orang Islam umumnya dan ahli-ahli khususnya, ini akan membantu sedikit sebanyak peningkatan prestasi dan produktiviti organisasi Islam tersebut.

Untuk menjadi sebuah organisasi yang benar-benar produktif dan mampu membawa perubahan, terdapat tiga pra-syarat utama yang harus diperhatikan oleh Karisma :

1-      Kewujudan struktur yang dapat melicinkan perjalanan organisasi dalam mengoperasikan strategi da’wah;

2-      Kebijaksanaan para pemimpin organisasi dalam menterjemahkan visi ke alam realiti;

3-      Komitmen ahli-ahli dalam menghayati aspirasi dan agenda perjuangan organisasi.

Melalui tiga pra-syarat di atas, organisasi Karisma perlu melaksanakan langkah-langkah berikut :

1-      Mengadakan ‘Blue-print of Action’ yang praktikal

2-      Mengembleng sepenuhnya potensi dan tenaga ahli

3-      Mengekalkan semangat tinggi ahli dari masa ke semasa

Satu lagi aspek penting yang harus ditinjau bagi memastikan kelancaran pengurusan organisasi dalam menjayakan agendanya adalah kepentingan pengkhususan. Pengkhususan merupakan pembahagian tugas di dalam sesebuah organisasi dengan tujuan agar dasar-dasar yang digariskan mampu diurus dan dilaksanakan oleh para anggotanya. Bagi sesebuah organisasi yang sedang membesar, pengkhususan pasti mendatangkan banyak manfaat.

Bagi mencapai tujuan ini, organisasi Karisma di semua peringkat harus menentukan fungsi-fungsi khusus sebahagian besar ahlinya bagi memenuhi objektif-objektif spesifik yang telah ditetapkan oleh organisasi. Dengan kata lain, seseorang ahli yang diberikan peranan khusus oleh organisasi hendaklah memberikan fokus yang sebaiknya terhadap gerak kerja bidang yang diceburinya. Keadaan ini akan memastikan ahli tersebut lama-kelamaan dapat membiasakan dirinya untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya secara efektif. Penumpuan sebegini akan membolehkannya memberi perhatian yang bersungguh-sungguh terhadap tugasnya.

Terdapat banyak lagi aspek penting yang harus diperhatikan oleh Karisma berhubung persoalan pengurusan organisasi. Selain faktor kekuatan ahli, kekuatan organisasi juga dilihat penting. Pelaksanaan sistem pengurusan organisasi yang berkesan boleh menjadi pemangkin yang akan memacu Karisma untuk sampai ke arah tujuannya.

 

PELONJAKAN AKTIVISME

Para perwakilan yang bersemangat waja,

Sebagai sebuah organisasi da’wah mahasiswa, Karisma menjadikan Islam sebagai matlamat dan asas perjuangannya. Di samping menjalankan usaha-usaha membentuk, membangun dan memperbaiki ahli dan organisasi, Karisma turut berkomitmen untuk terlibat langsung di dalam proses pembinaan masyarakat ke arah yang lebih sejahtera. Karisma berkeyakinan bahawa lapangan masyarakat merupakan pentas terbaik untuk ahli-ahlinya memanfaatkan kepakaran dan potensi diri yang dianugerahkan Allah, serta  meningkatkan pentarbiyyahan diri untuk menjadi insan soleh dan musleh.

Dalam melonjakkan aktivisme pengislahan, Karisma menyedari bahawa da’wah dan aktiviti yang dijalankan tidak sepatutnya terhad dan berlegar-legar di kalangan ahli sahaja. Kita juga akan memastikan bahawa da’wah kita bukan untuk orang islam sahaja. Misi kita adalah memastikan seluruh komponen masyarakat, termasuk kelompok non-muslim untuk memahami Islam sebagai satu cara hidup yang syumul.

Bagi merealisasikan hasrat ini, Karisma akan mengamalkan strategi da’wah yang relevan, yang mana penumpuan usaha da’wah Karisma terhadap masyarakat adalah terfokus, dan selari dengan arus perdana.  Karisma akan mengenal pasti ‘niche’ dan bidang unggul yang boleh disertai, dan penglibatan ini adalah bersifat objektif dan rasional dengan persekitaran semasa.

Untuk tahun 2005, ‘niche’ atau bidang unggul yang akan menjadi tumpuan Karisma di dalam melonjakkan aktivisme da’wah dan islahnya adalah seperti berikut :

Remaja

Bidang pembangunan remaja merupakan satu bidang yang sangat relevan dalam konteks aktivisme pengislahan bagi organisasi Karisma. Seperti yang diketahui umum, golongan remaja kini sering dikaitkan dengan pelbagai gejala sosial yang cukup mennyesakkan. Permasalahan seperti keruntuhan akhlak, gengsterisme, penyalahgunaan dadah, lepak dan sebagainya adalah fenomena yang sering didedahkan oleh banyak pihak, terutamanya media massa yang mana secara langsung melibatkan golongan remaja.

Pelbagai kajian menunjukkan bahawa kecenderungan remaja terjerumus di dalam gejala-gejala ini adalah berasaskan beberapa faktor. Antara sebab yang biasanya dikemukakan adalah kegagalan institusi keluarga memainkan peranan yang berkesan dalam memberi bimbingan kepada anak-anak, godaan keseronokan dunia dan rakan sebaya, serta pegangan akidah yang teramat longgar. Apa pun sebab yang diberikan, pelbagai usaha perlu dijalankan agar lebih ramai remaja yang berwawasan dan beriltizam dengan Islam dapat dilahirkan.

Di samping itu, para remaja masa kini perlulah didedahkan dengan ilmu-ilmu baru berkaitan Islam. Ini bagi memastikan mereka dapat menangkis segala bentuk serangan yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam terhadap diri mereka, khususnya dalam aspek pemikiran. Para remaja seharusnya diperlihatkan dengan keindahan dan kesyumulan Islam, seterusnya mencetuskan rasa bangga mereka terhadap Islam.

Isu-isu antarabangsa

Beberapa isu besar yang mewarnai pentas politik dunia, terutamanya berkaitan dunia Islam perlu diketahui oleh setiap umat Islam, termasuk semua aktivis dakwah. Isu-isu dan tragedi yang berlaku terhadap negara-negara umat Islam seperti Palestin, Iraq, Bosnia, Sudan, dan lain-lain adalah suatu perkara yang boleh dijadikan bekalan oleh para pendakwah dalam menggerakkan misi dakwah dan islahnya terhadap masyarakat.

Realiti yang berlaku kini adalah masyarakat didedahkan terhadap isu-isu tersebut dari kaca mata barat. Berita-berita yang disiarkan oleh pelbagai pihak media antarabangsa seringkali dilihat tidak adil terhadap umat Islam. Sumber dan maklumat yang sahih berkenaan isu-isu yang berkaitan seharusnya disampaikan agar masyarakat jelas segala perkembangan dan punca permasalahan yang berlaku, seterusnya timbul kesedaran untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa penderitaan yang merupakan saudara-saudara seaqidah.

Banyak sumbangan penting yang boleh digerakkan oleh Karisma dalam menangani isu-isu ini. Apa yang pasti, selain bantuan dari sudut material dan sokongan, Karisma turut peranan dalam memberi kesedaran kepada ahli masyarakat terhadap isu-isu yang melanda umat Islam, yang mana kaedah ini mampu memberi kefahaman Islam secara tidak langsung kepada mereka, seterusnya menerbitkan rasa izzah dan bertanggungjawab terhadap masa depan Islam.

Media massa

Dalam konteks pembentukan keperibadian individu, salah satu faktor persekitaran yang paling berpengaruh adalah media massa, sama ada media cetak mahu pun media elektronik. Walaupun pihak media tidak dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap segala fenomena sosial yang berlaku pada masa kini, terutamanya terhadap golongan remaja, namun beberapa kajian mendapati bahawa media berperanan besar dalam mempengaruhi tingkah laku remaja terhadap perkara-perkara negatif, sama ada dalam aspek keganasan, ketagihan dadah dan rokok, serta amalan seks bebas.

Dalam era globalisasi ini, muncul pula satu bentuk media yang sememangnya mendapat tempat dalam masyarakat sedunia, iaitu internet. Medium ini diakui sebagai alat sebaran yang begitu efektif dalam mempengaruhi tingkah laku ahli masyarakat. Selain itu, media massa lain seperti televisyen, radio, majalah, akhbar, dan buku terus menjalankan fungsinya dalam mencorak dan mewarnai persepsi para pengikutnya.

Para aktivis Karisma perlu menyedari hakikat ini. Dengan kebanjiran media massa yang tidak bercirikan Islam dan meransang ke arah budaya hedonisme, alternatif perlu disediakan. Alternatif media Islam yang ingin diketengahkan perlulah merangkumi ciri-ciri berikut :

i- Memberikan penekanan, garis panduan serta galakan kepada anggota masyarakat, khususnya warga remaja dan belia untuk menjadi individu yang bertanggungjawab, matang serta progresif dalam masyarakat

ii- Menentukan individu dan kelompok yang harus dijadikan role model dan sanjungan remaja hari ini

iii- Memberikan gambaran positif terhadap institusi kekeluargaan dan pihak berwajib atau penguatkuasa kepada remaja.

Teknologi maklumat

Perkembangan pesat yang berlaku terhadap bidang teknologi komunikasi dan maklumat atau information and communication technology (ICT) telah menjadi salah satu faktor penting yang membawa kepada perubahan secara drastik terhadap sistem politik, ekonomi dan sosial umat manusia. Sesuai dengan visi Karisma yang ingin menjadi sebuah gerakan mahasiswa bersifat kontemporari, ICT seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin dalam memperkasakan lagi aktivisme dakwahnya.

Melalui penulisan saudara Ahmad Jamali Sepihie bertajuk ‘JIM-IT Menerajui Dakwah Digital Transformasi JIM Ke Arah K-NGO’ yang dimuatkan di dalam buku ‘Risalah Pemimpin II‘, beliau telah menukilkan bahawa:

‘ Alaf baru, yang juga lebih dikenali sebagai Era Maklumat, telah menaiktarafkan nilai dan kepentingan Ilmu Pengetahuan atau Knowlegde yang terdiri dari empat komponen utama – data, maklumat, ilmu dan hikmah. Kesemua komponen utama ini, apabila ditukar atau dihasilkan dalam format digital (atau elektronik), ianya boleh dirakam, disimpan, diubahsuai, dimanipulasi, disalur dan disebarkan kepada perisian/perkakasan dan manusia lain dengan pantas melalui pamanfaatan ICT secara kreatif. Sekaligus, peningkatan nilai dan kepentingan ilmu pengetahuan telah juga meletakkan MANUSIA itu sendiri pada satu tahap yang lebih tinggi dan mahal, kerana ilmu pengetahuan yang mereka ada dan boleh dimanfaatkan melalui ICT.

Dalam konteks dakwah, yang juga menfokuskan kepada manusia sebagai penyampai (atau da’i) dan penerima (atau mad’u) seruan kembali kepada Islam, ilmu pengetahuan yang me’leverage’kan ICT memberi satu dimensi baru dalam melihat kembali ‘industri dakwah’ secara keseluruhan.’

Selaras dengan wawasan dan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan masyarakat Malaysia bermaklumat dan berilmu pengetahuan, organisasi dakwah seumpama Karisma seharusnya mula membangun dan menggembleng potensi ahli-ahlinya untuk meluaskan usaha dakwah berteraskan ICT.

Kebajikan masyarakat

Firman Allah yang bermaksud:

‘Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran.’ (Al-Maidah : 2)

Sebagaimana yang disebutkan di dalam ayat di atas, dalam melaksanakan prinsip Islam yang menekankan konsep ‘ta’awun‘, iaitu saling bantu-membantu terutamanya dalam perkara-perkara kebaikan dan membawa kepada ketaqwaan, organisasi Karisma dan gerakan Islam yang lain diharapkan dapat memberi tumpuan kepada golongan dan insan yang kurang bernasib baik, ditimpa musibah dan kurang upaya. Usaha sebegini dilihat penting bagi memastikan masyarakat keseluruhannya bebas daripada belenggu kemiskinan, kesengsaraan, keterasingan dan sebagainya.

Mutakhir ini, kita melihat bahawa sudah banyak pihak, sama ada individu mahu pun organisasi yang tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan mereka dalam pelbagai bentuk terhadap golongan ini. Namun, adalah lebih baik dan berkesan lagi seandainya usaha-usaha kebajikan sebegini dapat direalisasikan dalam bentuk yang lebih terancang dan terfokus, serta digerakkan secara kolektif agar matlamat seperti yang telah disebutkan tadi akan tercapai.

Perbandingan agama

Salah satu bidang yang kini giat diteroka oleh pelbagai badan dan organisasi dakwah, serta boleh diguna pakai oleh aktivis Karisma dalam meluaskan usaha dakwahnya adalah bidang perbandingan agama (comparative relegion). Ia memfokuskan kepada perbandingan agama Islam dengan agama-agama lain (Kristian, Buddha, Hindu, dan lain-lain). Terdapat beberapa tokoh Islam terkemuka masa kini yang menggunakan pendekatan perbandingan agama dalam menyampaikan mesej dakwah, antaranya ialah Sheikh Ahmed Deedat dan Sheikh Zakir Naik.

Sebagai memenuhi tuntutan fardhu kifayah, perlu ada sekelompok dari kalangan umat Islam yang menguasai dan menjadi rujukan dalam bidang perbandingan agama ini. Selain itu, terdapat ayat Al-Quran yang menjelaskan agar umat Islam mengetahui perkara-perkara yang saling bersangkutan antara agama Islam dengan agama-agama lain.

Firman Allah yang bermaksud :

‘Marilah kepada kalimah bersamaan di antara kami dan kamu, iaitu kita tidak menyekutukan Allah, dan tidak akan menyembah yang selain-Nya.’ (Ali Imran : 64)

Siasah syar’iyyah

Siasah syar’iyyah atau politik Islam merupakan satu bidang yang tidak sepatutnya diabaikan oleh individu-individu muslim, apatah lagi bagi organisasi Islam. Pemahaman dan penekanan terhadap bidang ini terhadap anggota masyarakat, termasuk generasi muda perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, sebagai mana penekanan terhadap bidang-bidang Islam selainnya. Persoalan-persoalan seperti konsep negara Islam, demokrasi, hak-hak wanita untuk berpolitik, isu had masa kepimpinan, kemajmukan parti di bawah negara Islam dan seumpama dengannya perlu difahami dengan baik oleh setiap umat Islam, terutamanya bagi mereka yang bergelar pendakwah.

Ungkapan Imam Hassan al-Banna seperti berikut wajar dijadikan renungan:

‘Jarang sekali kita temukan orang yang berbicara mengenai politik dan Islam. Kalau pun ada biasanya dia akan memisahkan di antara kedua-dua unsur tersebut. Dia akan meletakkan kedua-dua unsur tersebut dalam dua konsep yang berasingan. Dengan demikian orang ramai beranggapan bahawa kedua-duanya merupakan dua unsur yang tidak dapat dipertemukan dan disatukan….’

Seharusnya para aktivis Karisma memberi penekanan terhadap bidang ini. Kesedaran berpolitik dan bernegara berlandaskan ketetapan syariat perlulah disemai dan ditanamkan, agar segala persoalan yang dilontarkan berkaitan Islam dan politik ini oleh pelbagai pihak dapat dijawab dan digarap dengan bernas dan memuaskan.

PENJANAAN DANA

Para penggerak dakwah yang dikasihi sekalian,

Salah satu kekuatan utama, yang mana mampu menjadi asas penting dalam meningkatkan martabat ummah seterusnya mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam adalah kekuatan dalam bidang ekonomi. Dalam konteks ini, Karisma melihat bahawa dalam usaha mendukung dan meluaskan risalah Islam yang syumul dan kamil ini ke segenap penjuru alam, wujud suatu keperluan untuk memastikan terlaksananya wawasan dan perancangan ekonomi yang bersifat strategik dan berobjektif. Ia perlulah merangkumi kedua-dua faktor jangka masa; sama ada bersifat jangka masa pendek mahu pun jangka masa panjang.

Firman Allah :

‘Beberapa orang lelaki yang tidak lalai oleh perniagaan dan jual beli dari mengingati Allah, mengerjakan solat dan membayar zakat. Mereka gentar kepada hari yang ketika itu hati dan penglihatan bergoncang. Kerana Allah hendak memberikan balasan kepada mereka, sesuai dengan pekerjaan mereka yang sebaik-baiknya, dan Allah hendak menambah kurnia-Nya. Dan Allah itu memberikan rezeki kepada orang yang disukai-Nya dengan tiada batasnya.’ (An-Nuur : 37-38)

Dalam konteks pengoperasian strategi pengislahan masyarakat, Karisma ingin menggalakkan agar ada di kalangan ahlinya terlibat secara aktif dalam dunia perniagaan, berlandaskan prinsip-prinsip mu’amalah Islam. Karisma perlu berperanan dalam mewujudkan kesedaran dan kefahaman kepada ahlinya bahawa penglibatan mereka dalam kancah perniagaan adalah tergolong dalam usaha Karisma untuk menggerakkan usaha pengislahan.

Selain itu, ahli-ahli yang terlibat dalam bidang perniagaan perlulah memahami akan tanggungjawab mereka sebagai seorang mu’min, yang mana perlu sentiasa berpegang teguh dengan ketetapan Allah. Firman Allah seperti ayat di atas perlulah sentiasa tersemat di hati, agar penglibatan mereka dalam bidang peniagaan ini, di samping sebagai salah satu strategi organisasi, turut dikira sebagai ibadah dan mendapat keredhaan Allah.

PERHUBUNGAN AWAM

Para perwakilan yang sentiasa mengharap cinta Allah,

Berdasarkan kefahaman bahawa agenda, misi dan aspirasi yang ingin kita jayakan ini bukan milik kita sahaja, bahkan perlu dikongsi dengan semua lapisan masyarakat, Karisma perlu menerapkan pendekatan perhubungan awam atau public relation (PR) yang berkesan dan berterusan dengan mana-mana entiti, badan, dan organisasi yang terlibat secara aktif dan strategik dalam memberi sumbangan mengisi dan mengkomunikasikan agenda ummah. Pelaksanaan PR dilihat penting bagi meluaskan lagi jalinan kerjasama antara Karisma dengan pelbagai pihak, demi memastikan kelangsungan agenda dan aktivisme pengislahan masyarakat seluruhnya.

Aktiviti PR Karisma harus mengutamakan semangat ukhuwwah, nilai persahabatan, dan rasa setiakawan. Karisma perlu bersikap proaktif dalam mewujudkan sebanyak mungkin jaringan perhubungan dengan stakeholder di kalangan pertubuhan mahasiswa, belia, dan badan bukan kerajaan atau NGO di dalam dan luar negara, malah jika berpeluang dengan institusi-institusi yang diwujudkan oleh kerajaan. Dalam menggerakkan agenda PR ini, peranan bukan sahaja di pihak Pusat, malah organisasi Karisma di peringkat negeri dan IPT turut digalakkan untuk mengadakan ‘smart partnership’ dengan mana-mana entiti yang boleh dijadikan rakan kongsi dalam mencapai misi da’wah di lokaliti masing-masing.

Bagi tahun 2005, hubungan sedia ada Karisma dengan badan-badan mahasiswa tempatan dan antarabangsa akan terus dimantapkan. Malah, karisma akan terus mempergiat dan memperluaskan hubungan PRnya dengan mana-mana pertubuhan mahasiswa yang masih belum ada talian permuafakatan dengannya. Selain itu, dalam menggerakkan agenda menempatkan aktivisme pengislahan Karisma bersama masyarakat, Karisma akan berusaha menyemai hubungan yang lebih erat dengan semua pihak yang turut memberi tumpuan yang sama dengan ‘niche’ da’wah yang diceburi oleh Karisma. Kita berharap dengan strategi ini, pencapaian da’wah kita akan menghasilkan impak yang lebih maksima.

Di samping itu, hubungan PR secara peribadi ahli-ahli Karisma dengan ahli-ahli dari organisasi lain, rakan-rakan di sekitarnya dan ahli masyarakat umumnya juga perlu dititik beratkan.  Kita jadikan hubungan PR ini sebagai suatu usaha kita dalam menggerakkan agenda da’wah fardhiyyah, agar pada suatu masa nanti mereka akan turut menghayun langkah yang seiringan dengan kita dalam menjayakan pelaksanaan syariah di bumi tercinta ini.

PEMBANGUNAN AHLI

Para penjulang kebenaran yang budiman,

Mari kita renung sejenak kata-kata tokoh pejuang Islam kurun yang lalu, Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna di dalam salah satu risalahnya,

“Tarbiyyah bukanlah segala-galanya, namun segala-galanya adalah bermula dengan tarbiyyah…”

Bagi sesebuah organisasi da’wah, tarbiyyah Islamiyyah merupakan kekuatan asas di dalam menterjemahkan segala tindakan dan amalnya di medan. Aktivisme da’wah dan pengislahan akan menjadi cukup subur dengan adanya kader-kader organisasi yang jernih fikrahnya, teguh azamnya, terdidik hatinya, dan berkobar semangatnya, yang terhasil daripada sistem pentarbiyyahan dan pembangunan ahli yang kemas dan berkesan oleh organisasi.

Tarbiyyah Islamiyyah, yang bersangkutan dengan pembinaan keperibadian individu muslim, mempunyai pengaruh yang sangat besar di dalam perjuangan seseorang insan yang ingin menafkahkan jiwa dan raganya untuk da’wah. Tanpa tarbiyyah, agenda ummah ini akan menjadi sukar pencapaiannya. Ini kerana tarbiyyah dan da’wah adalah dua perkara yang saling beriringan. Apabila hilang salah satu komponen tersebut , akan sumbanglah gerak laku du’at.

Tumpuan kepada persoalan pembinaan dan pembangunan ahli adalah menjadi perkara paling utama kepada organisasi Karisma sejak era penubuhannya. Usaha-usaha awal yang dilakukan seperti penyediaan modul tarbiyyah dan pembangunan sumber manusia Karisma, penubuhan Jawatan Kuasa Tarbiyyah JIM-IPT di peringkat Pusat, serta penglibatan para nuqaba’ dan naqibat JIM di pelbagai Daerah dan lokaliti di dalam proses pentarbiyyahan mahasiswa IPT membuktikan komitmen Karisma, dengan dibantu oleh JIM dalam aspek pembangunan ahli.  Sedari awal juga, Karisma menjadikan bidang tarbiyyah dan pembangunan sumber manusia sebagai hasil kerja utamanya, berdasarkan pengurusan strategik (strategic management) Karisma Nasional bagi sesi 2001-2003 dan 2003-2005. Tersemat keyakinan di hati saya bahawa aspek tarbiyyah dan pembangunan sumber manusia ini akan terus menjadi fokus penting Karisma pada fasa perancangan selanjutnya.

Bagi tahun 2005, dalam menggerakkan agenda pembangunan ahli, pelaksanaan dan pengoperasian yang bersungguh-sungguh terhadap ‘Big Picture Tarbiyyah Karisma’ perlulah diusahakan. Secara sepintas lalu, saya kongsikan matlamat umum tarbiyyah berdasarkan Modul Tarbiyyah dan Pembangunan Sumber Manusia Karisma :

“Melahirkan keperibadian mahasiswa yang mempunyai sahsiah unggul yang soleh dan cemerlang, berkeilmuan yang tinggi serta mempunyai kemahiran dan keterampilan yang mampu menggerakkan amal-amal Islami secara kolektif ke arah menyokong, menguatkan serta mendaulatkan penegakan syariat Allah SWT di muka bumi.”

Ini adalah matlamat atau ‘end result’ yang ingin kita capai melalui sistem pentarbiyyahan kita, iaitu ‘Mahasiswa Du’at Soleh wa Musleh’. Untuk mewujudkan takungan ini, semua pihak yang terlibat dengan sistem pentarbiyyahan Karisma perlu memperhatikan tiga faktor berikut :

1-      Murabbi

Murabbi adalah orang yang bertanggungjawab secara langsung di dalam pelaksanaan sistem pentarbiyyahan. Murabbi yang menjalankan peranannya dengan berkesan dapat membantu ke arah lahirnya mahasiswa du’at soleh dan musleh.

2-      Modul

Modul Tarbiyyah dan Pembangunan Sumber Manusia Karisma perlu dilaksanakan di pelbagai peringkat, sama ada di Pusat, Negeri mahu pun IPT. Ini adalah sebagai langkah untuk melahirkan tenaga ahli yang berkaliber, kompeten dan berdaya saing, serta mewujudkan rasa kebersamaan ahli dalam menggerakkan aktivisme da’wah, yang mana akan memastikan keutuhan organisasi dalam menggerakkan perencanaannya. Dalam memastikan pembentukan mahasiswa du’at soleh dan musleh, program-program tarbiyyah Karisma hendaklah merangkumi empat aspek berikut :

Tarbiyyah jasadiyyah – mengutamakan pembentukan diri insan melalui pembangunan aspek fizikal, dengan hasrat mempunyai barisan du’at yang kuat tubuh badannya dan tahan diuji;

Tarbiyyah ruhiyyah – pembersihan hati nurani insan untuk mendekatkan diri kepada Allah, dengan membudayakan amal ibadah yang fardhu dan sunat, zikir, bacaan Al-Qur’an dan aktiviti-aktiviti berunsurkan spiritual;

Tarbiyyah nafsiyyah – memandu jiwa insan untuk memiliki cara fikir dan perasaan yang positif pada setiap masa dan keadaan.

Tarbiyyah ijtima’iyyah – melibatkan tenaga insan agar memanfaatkan segala potensi jasmani, rohani, emosi dan intelektualnya untuk memberi sumbangan terhadap masyarakat. Penglibatan ini akan menjadi kayu ukur kecemerlangan seseorang insan dalam mempratikkan segala pentarbiyyahan yang diperolehinya di medan.

3-      Amal

Tarbiyyah dalam konteks amal dilihat penting dalam kehidupan seseorang individu. Dengan tarbiyyah ‘amaliyyah, sama ada berbentuk amal fardhi mahu pun amal jama’i, seseorang individu akan mampu menempuh cabaran dunia persekitarannya.  Ini akan memastikan nilai-nilai yang tertanam di dalam dirinya melalui sistem pentarbiyyahan yang diikuti menjadi semakin kukuh, semangat perjuangan dan pengorbanannya semakin meningkat, dan daya intelektualnya akan semakin mantap dalam mendepani pelbagai peristiwa di lapangan. Maka, mahasiswa du’at soleh dan musleh yang kita sasarkan akan mampu dilahirkan.

 

Dalam misi menggerakkan agenda, aspek pembangunan potensi kepemimpinan ahli merupakan suatu perkara yang akan turut dititik beratkan oleh Karisma. Kita mengetahui bahawa proses kebangkitan umat, termasuk di negara ini telah diterajui oleh generasi muda, khususnya golongan mahasiswa lepasan institut pengajian tinggi dalam dan luar negara. Organisasi dakwah mahasiswa seharusnya menumpukan kepada usaha-usaha pembangunan kepemimpinan, yang mana dengan terlaksananya usaha ini secara terancang dan berkesan diharap akan melahirkan barisan pemimpin masa hadapan yang mampu menggerakkan strategi, seterusnya mencapai agenda membawa perubahan di dalam masyarakat.

Selain aspek pembangunan kepemimpinan, penekanan terhadap aspek pembangunan akademik juga dilihat penting untuk difokuskan oleh Karisma. Sesuai dengan misinya, Karisma mempunyai hasrat untuk memastikan setiap ahlinya meraih kecemerlangan dalam bidang akademik. Penguasaan akademik yang baik oleh setiap ahli Karisma diyakini dapat membantu dalam membina imej yang baik bagi Karisma, serta mampu menjadi kekuatan penting kepada organisasi dalam menjayakan amal dakwahnya.

Organisasi Karisma di peringkat Negeri dan IPT adalah diharapkan agar dapat bersikap proaktif dan kreatif dalam merangka program dan aktiviti pembangunan akademik yang menarik untuk setiap ahlinya. Usaha yang berkesan dan berterusan dalam memantau prestasi akademik perlu dilaksanakan dalam memastikan setiap ahli sentiasa menitik beratkan pencapaian akademik mereka, agar sentiasa seimbang dan selari dengan usaha-usaha dakwah yang dijalankan.

Di samping itu, realiti pendidikan hari ini menunjukkan bahawa bilangan mahasiswi di institusi pengajian tinggi di negara ini adalah melebihi bilangan mahasiswa. Realiti juga menunjukkan bahawa jumlah kaum wanita di dalam sesuatu organisasi/jama’ah Islam turut mengatasi jumlah kaum lelaki. Maka, tidak dapat dinafikan bahawa dalam usaha untuk menjayakan matlamat dakwah, penumpuan terhadap pembangunan kepemimpinan dan potensi mahasiswi menjadi sangat penting. Penumpuan yang diberikan terhadap golongan wanita, yang merupakan saudara kandung kepada lelaki, secara tidak langsung memberi perhatian terhadap survival generasi akan datang.

Golongan mahasiswi mempunyai kelebihan dan peranannya yang tersendiri. Dalam menjalankan amal dakwah, kadangkala aktivis mahasiswi mempunyai komitmen dan keberkesanan gerak kerja yang jauh lebih memuaskan berbanding golongan mahasiswa. Ini dapat dilihat melalui hubungan sosial mereka dengan rakan-rakannya, yang mana mereka mempunyai kemampuan untuk mempengaruhi dan menyampaikan pemikiran, seterusnya melibatkan para mahasiswi yang disasarkan untuk turut serta di atas jalan dakwah.

Untuk tujuan ini, Unit Siswi Karisma atau SiSMA yang telah ditubuhkan pada tahun 2004 akan terus diperkasakan bagi menggerakkan agenda pembangunan potensi mahasiswi untuk tahun 2005 ini.

PENUTUP

Para penggerak agenda ummah yang amat saya kasihi,

Melalui Ucapan Dasar ini, dengan jelas saya telah kemukakan kepada kalian akan wawasan, gagasan dan tumpuan kita untuk tempoh masa setahun mendatang. Secara ringkas, saya telah tekankan kepada kalian akan segala permasalahan dan krisis yang sedang kita dan umat Islam hadapi pada masa kini. Segala penyakit yang melanda umat seharusnya menyedarkan kita untuk terus berusaha mengislahkan diri, dan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk memperbaiki masyarakat dengan segenap kemampuan dan upaya kita.

‘Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).’ (Al-Syams : 9-10)

Kehebatan umat pada masa lampau adalah hasil dari usaha tarbiyyah, da’wah dan jihad yang telah digerakkan oleh para pahlawan silam. Asas perjuangan mereka adalah keimanan yang utuh terhadap Allah, mengutamakan akhirat dari dunia, cintakan mati, serta rela berkorban apa sahaja demi tertegaknya kebenaran. Inilah jua asas yang harus kita teladani dalam mengembalikan kegemilangan Islam. Marilah bersama kita memperbaiki diri. Moga dengan ini kita akan dipermudahkan oleh Allah untuk memimpin masyarakat ke arah pelaksanaan syariah-Nya.

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.’ (Al-Ankabut : 69)

Sesungguhnya kenyataan hari ini adalah impian semalam, dan impian hari ini adalah kenyataan hari esok. Moga ‘Agenda 07’ dan misi ‘Menganjakkan Minda, Menggerakkan Agenda’ akan dapat direalisasikan Insya-Allah.

Sekian. Selamat bersidang.

 

Wan Muhammad Wan Ibrahim

Pemangku Presiden

Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma)

Sesi 2003-2005

 

Advertisements
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: