Menggembleng Tenaga Mahasiswa Ke Arah Fikrah Islam Dominan Alam Kampus

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w..

PENDAHULUAN

Para perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, dengan keizinanNya jua, kita dapat berkumpul sekali lagi pada perhimpunan tahunan kali ini. Perhimpunan yang mengumpulkan seluruh ahli dan kepimpinan Karisma ini diadakan dalam rangka untuk kita sama-sama menyusun saf perjuangan ini untuk meneruskan usaha ke arah mencapai visi dan misi kita.

Perhimpunan sebegini dilaksanakan dalam suasana kasih sayang semata-mata untuk meraih cintaNya. Semata-mata untuk di akhirnya nanti, kita dapat menghasilkan sesuatu yang baik demi Islam. Di ruang sebeginilah kita sama-sama muhasabah diri dan organisasi, memberi ruang kepada perwakilan untuk bersuara menyatakan hasrat, melontarkan pandangan, memberi cadangan, membulatkan tekad serta mencari kesepakatan agar dakwah kita terus mekar di muka bumi Allah ini. Sesungguhnya perhimpunan ini perlu mampu memandu arah organisasi yang kita sayangi ini dalam usaha merealisasikan visi kita bersama. Akhirnya, apa yang kita harapkan dari semua ini hanyalah redha Allah s.w.t.

Untuk PKN kali ini, tema “Menggembleng Tenaga Mahasiswa Ke Arah Fikrah Islam Dominan Alam Kampus (FIDAK)” dipilih sebagai penegasan betapa perlunya kita menggembleng mahasiswa di sekitar kita agar turut sama-sama mendokong misi FIDAK ini.

Dalam ucapan dasar saya yang pertama ini, saya akan menyentuh aspek-aspek yang perlu kita ambil kira dalam gerak kerja perlaksanaan seterusnya sama ada dari sudut kekuatan, kelemahan, peluang mahupun cabaran. Saya juga akan menyentuh unjuran ke hadapan, perkara-perkara yang perlu kita pertingkatkan dan perkukuhkan. Moga Allah memberi petunjuk kepada kita.

SENARIO GLOBAL

Saudara-saudara seperjuangan yang dikasihi Allah,
Sebagai umat Islam dan lebih-lebih lagi sebagai generasi penggerak dakwah, pengamatan kepada perkembangan antarabangsa dan mengambil tahu khabar saudara-saudara kita di seluruh dunia menjadi tuntutan kepada kita. Memahami senario gobal, menganalisis cara pemikiran barat, memahami gaya perjuangan antarabangsa, pasti ada sesuatu yang boleh kita pelajari.

Sabda Rasulullah s.a.w. :
“Sesama muslim itu bersaudara. Oleh karena itu, jangan menganiaya dan jangan mendiamkan. Siapa saja yang memperhatikan kepentingan saudaranya, Allah akan memperhatikannya. Siapa saja yang melapangkan satu kesulitan sesama muslim, niscaya Allah akan melapangkan satu kesulitan dari beberapa kesulitannya pada hari kiamat. Siapa saja yang menutupi kejelakan seorang muslim Allah akan menutupi kejelekannya pada hari kiamat.” (HR.Bukhari dan Muslim)

Senario antarabangsa menunjukkan beberapa perkembangan menarik di sepanjang tahun 2007. Kemenangan parti AKP di Turki menjadi salah satu tajuk perbincangan hangat di kalangan pemerhati politik antarabangsa. Perkembangan ini juga tidak terlepas dari pemerhatian para aktivis dakwah termasuk di Malaysia. Kemampuan parti Islam ini untuk memenangi hati rakyat di sebuah negara sekular menjadi antara sebab mengapa ia menjadi antara topik hangat perbualan antarabangsa.

Pertukaran tampuk pimpinan di Britain juga menjadi antara berita utama yang memeriahkan kalendar tahunan. Kemampuan Tony Blair mengubah parti buruh menjadi parti pilihan rakyat Britain dikagumi ramai orang. Cuma, di bawah kepimpinan baru ini, adakah sekutu Amerika Syarikat ini masih terus mampu meraih sokongan rakyat lantaran kegagalan misi keamanan antarabangsa anjuran Amerika Syarikat yang mendapat sokongan Tony Blair sebelum ini. Dosa Tony Blair kini, terpaksa ditanggung oleh Presiden baru, Gordon Brown. Dan sehingga kini, nampaknya taring Gordon Brown tidak setajam taring Tony Blair.

Namun begitu, keadaan di Iraq dan Palestin masih lagi sama. Rakyat di Iraq masih lagi tertindas oleh tentera penjajah. Pergaduhan sesama muslimin semakin membimbangkan. Pertentangan puak sunni-syiah masih tiada kesudahan. Amerika, sekali lagi terus ketawa melihat gelagat umat Islam, bergaduh sesama sendiri.

Dalam masa yang sama, bumi suci Palestin masih terus dijajah dan rakyatnya terus dizalimi. Sengketa HAMAS dan Fatah terus berlarutan. Mahmoud Abas yang dilihat hanya menjadi boneka Amerika Syarikat kini menjadi duri dalam daging bagi rakyat Palestin. Adakah Mahmoud Abas tidak mahu belajar dari kesilapan lalu Yasser Arafat? Kerajaan HAMAS pilihan rakyat terus dinafikan hak untuk memimpin. Yang terbaru, persidangan Annapolis menjadi pertaruhan terbaru Mahmoud Abas yang kononnya mahu menjadi watak hero dalam pembebasan Palestin. Namun, kita kenal benar permainan Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat. Perjanjian damai kali ini dilihat lebih membahayakan apabila melibatkan hak rakyat Palestin. Entahlah, apa pula permainan mereka selepas ini. Dalam hal ini, kita akan terus memberikan sokongan kepada saudara seperjuangan kita di Palestin dalam apa jua bentuk mengikut kapasiti kita. Usaha-usaha menyalurkan bantuan kewangan akan kita teruskan melalui kempen-kempen yang diadakan. Kempen kesedaran Palestin akan terus diperhebat. Serta doa yang tidak akan putus, insya Allah.

Dan kini, setelah Palestin, Afghanistan dan Iraq… adakah Iran akan menjadi sasaran kekejaman Amerika Syarikat yang seterusnya? Jika ya, sudah pasti Amerika Syarikat akan bertemu lawan mereka yang sebenar. Sebagai umat Islam, kita perlu terus memberi sokongan kepada saudara-saudara kita dan memberi tekanan kepada musuh.

Juga tidak kita lupakan juga saudara-saudara kita yang juga memerlukan sokongan kita di seluruh dunia seperti di Moro, Mindanao, dan Selatan Thailand. Sesungguhnya ukhwah Islamiyyah ini tidak mengira sempadan.

SENARIO TEMPATAN

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah,

Tahun ini merupakan tahun yang istimewa buat seluruh rakyat Malaysia apabila tarikh 31 Ogos 2007 yang lalu menandakan kemerdekaan negara kita yang ke-50. Kehangatan sambutan dirasakan sejak awal tahun lagi apabila pelbagai kempen dan promosi berlangsung sempena sambutan ini. Namun, adakah usia kemerdekaan ini menggambarkan tahap kemerdekaan sebenar rakyatnya? Pemikiran, budaya serta gaya hidup jelas masih dijajah oleh penjajah. Kita masih lagi belum berani untuk berbangga dengan produk Malaysia. Budaya masyarakat terutamanya para muda-mudi jelas tidak lagi menampakkan ciri ketimuran. Pakaian menjolok mata. Pergaulan tanpa batasan antara lelaki dan perempuan menjadi satu budaya yang biasa. Berpelukan di khalayak ramai sudah menjadi satu bentuk ekspresi kebebasan individu.

Tahun ini juga negara digemparkan dengan berita-berita yang menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia. Antara yang paling besar ialah kes pembunuhan kejam seorang kanak-kanak di Lembah Klang. Negara seperti tidak lagi selamat. Itu belum lagi ditambah dengan kes-kes rogol, pembunuhan, samun, culik yang saban hari tersiar di dada akhbar perdana Malaysia. Bilakah agaknya kebejatan moral sebegini dapat diatasi. Selama 50 tahun kita merdeka, pelbagai kaedah diperkenalkan; memperketatkan undang-undang, pelancaran kempen-kempen dan penggubalan akta-akta. Semuanya seperti menemui jalan buntu. Benarlah teori sosial yang diungkapkan oleh seorang penyair:

“Demi sesungguhnya, sebuah negara tidak akan terasa sempit kerana penduduknya. Namun akhlak manusia yang akan menjadikannya terasa sempit”

Namun, kita yakin, sebenarnya formula sudah ada di hadapan mata namun seperti tidak diendahkan. Islam telah menganjurkan langkah praktikal menurut Al-Quran dan As-Sunnah untuk membentuk masyarakat harmoni.

Perubahan perlu dilakukan!

Spekulasi berterusan terhadap pilihanraya umum juga tidak terlepas dari pemerhatian para penggerak dakwah. Pelbagai andaian dibuat terhadap kemungkinan tarikh pilihanraya. Sebagai gerakan mahasiswa, tentu ia menjadi antara topik perbincangan hangat di kalangan ahli. Kita mahu apa yang terbaik untuk rakyat dan juga perjuangan kita. Kita menyokong pemimpin yang boleh membawa aspirasi rakyat, memperjuangkan hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan yang paling penting ialah memimpin dengan meletakkan hak Allah dan RasulNya melebihi segala-galaNya. Tapi, sebelum berbicara lebih panjang tentang pilihanraya, saya ingin bertanya, adakah anda telah mendaftar sebagai pengundi?

Saudara perwakilan dan pemerhati yang saya hormati sekalian,

Kedudukan Islam di Malaysia… apa pendapat anda? Alhamdulillah, di dasarnya, kita lihat ‘produk-produk’ berteraskan Islam semakin mendapat sambutan; sistem kewangan Islam, dan pengeluaran makanan halal adalah antaranya. Namun, ini tidak cukup untuk mengatakan Islam sudah tertegak di negara kita. Yang lebih penting adalah pengamalan Islam itu sendiri secara menyeluruh. Bukanlah sesuatu yang baik apabila ada pihak yang cuba untuk mentakrif semula kedudukan Islam di Malaysia, cuba untuk menyamatarafkan semua agama dan cuba untuk mempertikaikan ajaran dan hukum di dalam Islam. Namun, saya ingin berpesan supaya kita tidak mudah melenting. Ya! Kita akan terus bangkit mempertahankan Islam. Dan dalam masa yang sama, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi kefahaman sebenar mengenai Islam ke dalam masyarakat, samada kepada muslim ataupun yang belum Islam. Kita akan terus memberi pandangan melalui kenyataan akhbar atau penulisan-penulisan di media sebagai usaha untuk memimpin pandangan umum berteraskan kefahaman yang sebenar. Dan kita akan terus menyokong usaha penyatuan ummah.

KAMPUS, MAHASISWA, DAN DAKWAH KAMPUS

Saudara dan saudari pendukung gerakan dakwah sekalian,

Peluang : Pasaran dakwah kita

Setiap tahun, jumlah kemasukan mahasiswa ke IPT-IPT semakin meningkat. Ini menandakan betapa luasnya pasaran dakwah kita sebenarnya.

Jumlah kemasukan baru pada tahun 2006 bagi pelajar sijil, diploma, dan sarjana muda sahaja mencecah seramai 266,887!! Betapa ramainya mad’u kita di luar sana. Jika kita lihat pada jadual di atas, dijangka untuk tahun-tahun yang akan datang, jumlah ini akan terus meningkat. Apa maksudnya? Ya! Peluang dakwah juga sebenarnya terus meningkat.

Persoalannya, berapa ramai dari mereka yang telah kita santuni? Mari kita fikirkan :
1) Dari pasaran dakwah yang luas ini, berapa peratus yang sudah kita terokai?
2) Pasaran dakwah yang luas ini, bagaimana harus kita terokainya?
3) Mustahilkah semua ini?

Bukan sahaja itu, jumlah IPT dan kolej-kolej juga semakin hari semakin bertambah. Kini, di seluruh negara terdapat :
o    20 IPTA
o    27 IPTS (Universiti dan Kolej Universiti)
o    35 Kolej Komuniti
o    21 Politeknik
o    27 Institut Perguruan
* tidak termasuk kampus cawangan

Nah! Dengan fakta nombor ini, bagaimana mahu kita memanfaatkan peluang dakwah?

Peluang : Bajet 2008

Pembentangan belanjawan 2008 yang dibentangkan pada 7 September 2007 memperlihatkan beberapa peruntukan besar untuk mahasiswa di dalam mahupun luar negara. Pengumuman bahawa kerajaan akan meningkatkan jumlah pelajar Ijazah Pertama yang ditaja oleh JPA di universiti tempatan daripada lima ribu setahun kepada sepuluh ribu orang pelajar mulai 2008 juga merupakan satu peluang untuk para aktivis Karisma yang ingin melanjutkan pelajaran. Pertambahan ini juga pasti akan memperlihatkan peningkatan bilangan mahasiswa di dalam negara.

Pengumuman lain yang memberi manfaat untuk para mahasiswa ialah kenaikan elaun sara hidup pelajar di semua peringkat pengajian tinggi tempatan, termasuk kursus persediaan dan kursus bahasa. Kenaikan elaun sara hidup ini juga berkuatkuasa untuk pelajar Malaysia di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada yang mana peningkatan elaun sara hidup dijangka sehingga 97 peratus!

Ini antara beberapa peluang dan perkara yang perlu kita ambil kira dalam perancangan kita sama ada secara individu ataupun organisasi. Adakah dengan peningkatan ini, kita akan menghantar ramai lagi pelajar ke luar negara? Atau kita galakkan ahli belajar di dalam negara?

Cabaran : Mahasiswa kini

Arus globalisasi nampaknya benar-benar memberi kesan terhadap kehidupan masyarakat Malaysia. Mahasiswa sebagai penerus perjuangan juga tidak terkecuali. Muda-mudi kini disogokkan dengan hiburan melampau. Budaya hedonisme semakin menjadi-jadi di kalangan muda-mudi. Golongan mahasiswa yang diklasifikasikan sebagai golongan intelektual juga turut tidak terkecuali. Seakan-akan ketagih dengan ‘dadah ringan’ ini. Prinsip asas hedonisme, “Maximize leisure, minimize pain” menyebabkan mahasiswa lebih memilih untuk berseronok daripada bersakit-sakit menempuh cabaran membina diri, keluarga, agama, dan negara. Adakah di kalangan kita juga ada penyakit ini? Seharusnya tidak…. tapi, ia tidak mustahil.. bukan?

Sifat ‘akuisme’ atau mementingkan diri juga dilihat semakin menebal di kalangan mahasiswa. Budaya berkenalan, membuat kawan baru, dan tegur-menegur seakan semakin pupus. Apabila melihat perkara salah, hendak ditegur, nanti dikatakan menjaga tepi kain orang. Hendak mengajak berbuat baik, nanti dikata alim. Akhirnya, engkau-engkau, aku-aku. Janji hidup bahagia.

Ini antara cabaran sikap yang melanda mahasiswa kini. Antara cabaran lain dalam dunia mahasiswa masa kini dan perlu kita ambil perhatian ialah :
o    Mahasiswa mabuk bercinta sehingga mengabaikan pelajaran dan lebih teruk, sehingga sanggup menggadaikan maruah dan harga diri atas alasan cinta
o    Mahasiswa terlalu menumpukan kepada akademik tanpa mengambil perhatian terhadap pembinaan ‘nilai tambah’ (added values) di dalam diri
o    Tidak melihat kepentingan untuk menyumbang ke dalam masyarakat semasa dan selepas tempoh pembelajaran. Kebanyakannya hanya berfikir mengenai kerjaya sendiri.

Ini antara beberapa cabaran yang melanda mahasiswa kini. Mungkin banyak lagi. Ini cabaran dalam usaha kita untuk menggembleng mahasiswa ke arah mencapai misi kita.

Suatu Muhasabah : Dakwah di kampus

Aktivisme mahasiswa sudah bermula sejak zaman sebelum merdeka lagi. Aktivisme mahasiswa terus rancak selepas penubuhan Universiti Malaya (UM) dengan kemunculan beberapa pertubuhan mahasiswa seperti Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM), Persatuan Mahasiswa UM (PMUM), dan Persatuan Bahasa Melayu UM (PBMUM). Pada era awal, mahasiswa begitu terkehadapan dalam membawa suara mahasiswa malahan menjadi jurubicara masyarakat. Aktivisme mahasiswa terus meningkat sehinggakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) terpaksa digubal pada tahun 1971 untuk mengekangnya. Namun, suara mahasiswa terus bergema sehingga akhirnya pada 3 Disember 1974 tercetusnya demonstrasi paling besar melibatkan kesatuan mahasiswa seluruh negara mengenai isu kelaparan, kemiskinan, dan penyelewengan. Di sepanjang zaman ini, muncul tokoh-tokoh mahasiswa seperti Abdul Wahab, Anwar Ibrahim, Syed Hamid Ali dan Aminudin Baki.

Namun begitu, aktivisme mahasiswa mula lumpuh setelah peristiwa reformasi 1998. AUKU digunakan sepenuhnya untuk melumpuhkan gerakan mahasiswa yang ketika itu bangkit lantang memperjuangkan keadilan. Kebanyakan pertubuhan mahasiswa disenaraihitamkan. Aktivis-aktivis mahasiswa disekat dan ada yang digantung pengajian.
Alhamdulillah, dengan keizinanNya jua, dakwah kampus tidak terus padam.

Pasca reformasi 1998 telah menyatukan saf gerakan orang muda yang sebelum itu sukar untuk duduk semeja berbincang. Kesatuan ini telah memberikan impak yang cukup besar ketika pilihanraya 1999 dan merupakan titik mula bagi penyatuan gerakan dakwah di kalangan mahasiswa.

Tahun demi tahun, kelompok mahasiswa yang masih prihatin ini, terus gigih merapati mahasiswa untuk mengajak kembali memahami Islam dan kemudian bersama-sama menyebarkannya. Dan kini, aktivisme mahasiswa bangkit semula dengan cara berbeza. Namun, kita masih merindu-rindukan zaman kebangkitan mahasiswa seperti yang kita biasa dengar dalam sejarah gerakan mahasiswa.

Kini, dakwah kampus mula rancak kembali. Usrah sebagai wasilah utama tarbiyyah menjadi aktiviti mingguan. Tidak ketinggalan, wasilah-wasilah tarbiyyah yang lain seperti daurah, katibah, mukhayyam dan lain-lain. Juga usaha penyebaran pemahaman Islam melalui kuliah-kuliah dan program-program umum yang dilaksanakan oleh pelbagai pertubuhan mahasiswa Islam.

Usaha penyatuan wadah mahasiswa juga kebelakangan ini memperlihatkan tanda positif. Jurang perbezaan wadah perlu kita kecilkan. Sensitiviti antara wadah perlu kita kurangkan. Matlamat kita sama. Cuma cara kita berbeza.

Namun, pasti ada titik pertemuan. Ummah ini tercari-cari sinar, jangan kita pula yang mempersulitkannya.

Cukup kita lihat pada ‘diri kita’. Bagaimana pula dengan sasaran dakwah kita? Bagaimana penerimaan mereka? Adakah cara kita masih relevan dengan budaya mahasiswa kini? Adakah kita berjaya berubah sesuai dengan peredaran zaman? Atau kita masih copy and paste usaha-usaha terdahulu?
Tepuk dada tanya iman.

Tidak kita nafikan, kita berada di zaman penuh cabaran. Ada yang mengeluh “mahasiswa kini tidak seperti dulu – berani”, “sekarang susah nak gerak, ada AUKU”, “mahasiswa sekarang hanya suka berhibur”, “pelajar lelaki sekarang susah nak ajak pergi usrah, daurah, katibah”. Kita sudah ditentukan untuk berada di zaman ini dan mari kita bersyukur kerana dipilih berada bersama para pejuang Islam di zaman ini. Tiada guna kita mengeluh. Pilihan yang kita ada sekarang ialah menyumbang kepada kejayaan atau memberi penyelesaian kepada cabaran yang ada. Kita perlu PROAKTIF. Sesungguhnya syurga tidak menunggu kita, kita yang perlu mengejarnya.

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia-lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” (At-Taubah : 51)

KARISMA : MENITI KEMATANGAN

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

Jika kita melihat kembali kepada sejarah awal aktivisme mahasiswa dalam JIM, pada fasa awal penubuhan JIM, penumpuan ketika itu lebih kepada pensyarah dan guru berbanding mahasiswa.  Lima tahun selepas itu (1995-1999), dakwah di kalangan mahasiswa mula diberi perhatian dengan menempatkan semula warga kampus bersama JIM. Ketika itu, JIM IPT diletakkan di bawah Pejabat Presiden JIM sebelum diterima sebagai JK Pusat.

Merasakan bahawa aktivisme mahasiswa perlu digerakkan sendiri melalui mahasiswa, idea penubuhan Karisma dicetuskan di peringkat JIM IPT dan akhirnya selepas beberapa siri roadshow pada tahun 1999, Karisma dilancarkan pada 2 Mei 1999 di Kompleks Al-Amin, Sungai Pusu. Semenjak itu, Karisma mula memimpin dakwah kampus sehingga hari ini.

Lapan tahun KARISMA

Sejak pelancaran KARISMA pada 2 Mei 1999, organisasi ini telah melalui pelbagai fasa dalam usaha berkongsi keindahan Islam dengan seluruh masyarakat khususnya mahasiswa. Matlamat kita tidak lain hanyalah memastikan syiar Islam kembali menyinari seluruh alam ini. Secara ringkasnya, perkembangan KARISMA sejak penubuhannya boleh dirumuskan melalui gambarajah di bawah :

Tahun ini, genap lapan tahun KARISMA berada bersama-sama sahabat lain dalam usaha mencapai visi yang digariskan. Dan untuk tahun-tahun seterusnya, misi “Fikrah Islam Dominan di Alam Kampus menjelang tahun 2015 (FIDAK 2015)” akan terus menjadi misi besar yang perlu kita dokong bersama-sama, insya Allah.

Kini, kita telah diterima sebagai salah sebuah pertubuhan mahasiswa yang giat membawa usaha pengislahan di dalam kampus. Tiada lagi istilah ‘underground’  dalam gerak kerja kita. Kita perlu merasa ‘izzah dengan usaha kita.

2007 : Suatu sorotan

Deadline 070707 telah kita lepasi bersama-sama pertengahan tahun ini. Agenda 07, suatu matlamat jangka pendek yang diusahakan sejak tahun 2004 akhirnya tiba ke tarikh penilaian. Alhamdulillah, jika melihat secara keseluruhan, ia boleh dikira suatu prestasi yang baik namun, ia tidak sama sekali meletakkan kita di suatu kedudukan yang selesa. Ketidakmampuan kita untuk mecapai yang lebih baik seharusnya menjadi wake-up call untuk kita terus meningkatkan kualiti kerja.

Seterusnya apa? Terus fokus FIDAK 2015. Hanya tinggal lapan tahun sahaja lagi. Misi FIDAK perlu kita hayati bersama. Kita perlu bernafsu tinggi merealisasikan misi besar ini. Untuk mencapai hasrat ini, usaha pembumian FIDAK giat dijalankan di seluruh negara sepanjang tahun ini. Cerita FIDAK dijaja di mana-mana. Penerangan FIDAK, bengkel FIDAK dan diskusi pengoperasian FIDAK merupakan antara yang kita lakukan. Kepada negeri yang belum melaksanakannya, masa masih ada, namun jangan terus bertangguh. Kita harus memastikan pimpinan, ahli bahkan seluruh masyarakat mendokong dan bekerja bersama-sama menjayakan misi FIDAK ini!

Beberapa perkembangan lain turut mewarnai takwim 2007 KARISMA. Ada yang putih, ada yang hitam. Di peringkat nasional, alhamdulillah melalui Muzakarah IPT Nasional (MIN) yang dilaksanakan pada awal tahun, segala perancangan di pusat dibumikan di peringkat pimpinan lokaliti. Usaha pemantauan dilaksanakan menerusi laporan bulanan dan ziarah ke negeri-negeri.

Ziarah ke negeri-negeri seluruh Malaysia kadangkala mencetuskan kegembiraan, adakalanya mencetuskan kebimbangan. Alhamdulillah, pimpinan KARISMA Nasional diberikan keizinan dan kekuatan oleh Allah s.w.t untuk menjelajah hampir ke seluruh Malaysia. Benarlah, “Jauh Perjalanan Luas Pemandangan”. Hasil dari ziarah, saya ingin kongsikan beberapa perkara dengan para perwakilan dan pemerhati sekalian:

1) Tarbiyyah

Isu tarbiyyah nampaknya masih mengulang cerita yang sama. Kurang nuqaba, kurang pelapis, amal melampaui fikrah, modul tidak terlaksana, kurang kefahaman terhadap TeAM-i dan sebagainya. Ikhwah dan akhwat, sesungguhnya tugas ini memerlukan pengorbanan yang besar. Jangan hanya menunggu. Jangan jadikan ‘tidak faham’ sebagai alasan. Jangan jadikan ‘tidak mampu’ sebagai alasan. Tingkatkan kemampuan diri, tambahkan ilmu di dada, dan maksimumkan komitmen diri.

Namun begitu, di Pahang mencetus berita gembira buat kita. Kesanggupan penggerak UIA Kuantan untuk meredah perjalanan jauh menggerakkan tarbiyyah di daerah lain seharusnya menjadi contoh kepada rakan-rakan seperjuangan yang lain. Sesungguhnya dakwah itu tiada sempadannya. Dan usaha besar sebegini perlu dirancang sebaiknya mengambil kira faktor kekuatan penggerak, jumlah mad’u, mobiliti, kewangan dan faktor lain yang berkaitan.

2) Amal Jamai’e

Amal Jamai’e atau kerja berpasukan merupakan salah satu syarat kejayaan mana-mana organisasi. Apatah lagi bagi satu organisasi dakwah seperti Karisma. Tanpa elemen ini, hilanglah kepaduan dan keseragaman dalam organisasi. Sesunggunhya ini juga yang disukai oleh Allah s.w.t.
“Seungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam satu saf seolah-olah satu binaan yang tersusun kukuh”  (Surah as-Soff: 4)

Dengan visi serta misi yang cukup besar untuk dicapai, amal jamai’e adalah amat penting agar:
1.    Setiap dari kita bergerak menuju matlamat yang sama
2.    Kita menjadi organisasi yang saling melengkapi
3.    Segala perancangan baik di peringkat pusat, negeri, daerah ataupun IPT dapat dioperasikan sebaiknya.

Ahli menghormati pimpinan. Pimpinan pula mengambil berat ahlinya. Inilah budaya yang perlu kita budayakan dalam organisasi. Pimpinan di mana-mana peringkat sekalipun perlu membumikan visi dan misi kepada ahli agar ahli faham dan menghayati aspirasi perjuangan kita.

Struktur kita sudah jelas. Pimpinan Karisma negeri/daerah menjadi rujukan di negeri. Karisma Nasional menjadi rujukan di peringkat pusat. Sebarang keperluan konsultansi boleh rujuk pada JIM IPT. Mari kita lebih berdisplin dalam berjamaah.

3) Penyebaran Fikrah

Usaha penyebaran fikrah Islam kepada masyarakat merupakan satu usaha kita untuk memberi kefahaman tentang Islam kepada masyarakat. Pelbagai usaha yang dilakukan di peringkat lokaliti… penganjuran program-program umum, usaha-usaha kebajikan, program bersama masyarakat dan sebagainya. Tahniah atas usaha yang dilakukan. Usaha memasyarakatkan dakwah sebegini perlu diteruskan.

Moga Allah mengganjari sebaiknya atas setiap usaha yang ikhlas. Namun, pastikan apa yang kita lakukan itu strategik dan selari dengan misi fikrah Islam dominan di alam kampus.

4) Pemantapan organisasi

Tahun ini memperlihatkan kewujudan beberapa tanzim baru. Antaranya penubuhan jawatankuasa penaja K-Melaka dan penubuhan tanzim K-UIA Nilai. Penstrukturan semula K-Terengganu pula memperlihatkan beberapa muka baru dalam barisan kepimpinan yang diharapkan memberi nafas baru dalam penerusan dakwah di negeri pantai timur ini.

Selaras dengan perkembangan organisasi Karisma seluruh negara, aspek pemantapan organisasi perlu lebih kita tekankan di setiap peringkat. Untuk dilihat sebagai sebuah organisasi yang kuat, pimpinan Karisma di setiap peringkat perlu berupaya untuk menguruskan organisasi secara teratur dan berdisplin. Ini adalah perkara paling asas. Manual urustadbir yang telah disediakan hendaklah diimplementasikan di lokaliti masing-masing. Standard Operating Procedure (S.O.P.) pula menjadi panduan dalam pengoperasian.

Sistem komunikasi dalaman pula perlu lebih lancar agar segala maklumat dapat disalurkan dengan baik. Pimpinan dan ahli perlu benar-benar jelas akan struktur Karisma dan peranan masing-masing. Ini untuk mengelakkan sebarang keciciran dan kekaburan maklumat di mana-mana peringkat. Di peringkat nasional, kita mengusahakan sistem negeri angkat, penganjuran Muzakarah IPT Nasional dan siri ziarah untuk memastikan segala agenda nasional dapat disampaikan ke setiap peringkat. Sistem ini juga nampaknya mula dioperasikan di beberapa lokaliti.

5) Perhubungan (Networking)

Antara elemen penting dalam KRA FIDAK ialah perhubungan atau networking. Beberapa negeri/daerah dan IPT telah memulakan usaha yang baik dalam membentuk networking dalam kapasiti masing-masing.
Antaranya, nun di utara, Simposium Bring Islam Back (SBIB) diusahakan sebagai medan mengumpulkan gerakan-gerakan pemuda Islam di seluruh Pulau Pinang. Keterlibatan Karisma Pulau Pinang sebagai sekteriat SBIB merupakan satu usaha yang cukup positif. Tahniah!

Usaha Karisma Gombak untuk memperkenalkan Karisma di UIA Gombak (K-UIAM) juga suatu usaha murni yang perlu kita sokong. Inisiatif K-UIAM untuk bekerjasama dengan fakulti di UIAM dalam penganjuran program merupakan satu usaha networking yang baik dalam memberi imej baik kepada Karisma.

Maaf, tidak dapat saya sebutkan semua usaha networking di seluruh negara di sini. Namun, saya pasti usaha ini juga dilakukan di lokaliti-lokaliti lain. Moga Allah mengganjari sebaiknya.

Usaha mewujudkan networking dengan pelbagai pihak tanpa mengira latarbelakang perlu kita mulakan asalkan ia tidak membelakangi Allah dan RasulNya. Usaha ini dilihat strategik dalam usaha kita untuk memastikan misi FIDAK ini berjaya digerakkan.

FIDAK dan Rancangan JIM Ke2

Para perwakilan dan pemerhati yang dimuliakan Allah sekalian,

Tahun 2007 merupakan tahun terakhir dalam fasa Rancangan JIM Pertama (RJ1) dan 2008 merupakan tahun pertama dalam Rancangan JIM Ke-2 (RJ2). Karisma sebagai salah sebuah institusi di bawah JIM, komited dalam menjalankan strategi yang dirangka dalam fasa ini. Mahasiswa dan orang muda akan terus digerakkan dan disusun dalam saf  ini bersama-sama. Dalam fasa seterusnya ini, Karisma perlu mampu dilihat sebagai organisasi mahasiswa yang terus relevan, mempunyai perwatakan yang mantap, serta berdaya saing di zaman penuh cabaran ini.

Dalam fasa RJ2 ini, JIM menjadikan kepimpinan ummah sebagai objektif dan “Mewujudkan front ummah yang pro-syariah; suatu kesatuan yang melindungi manusia dan alam” sebagai cadangan matlamat RJ2. Walaupun perancangan dalam RJ2 belum muktamad, namun ia memberi bayangan jelas terhadap jalur pemikiran kita.

Sebagai sebuah institusi mahasiswa di bawah JIM, Karisma akan terus mendokong agenda besar ini tanpa perlu menjejaskan agenda, halatuju, dan perancangan kita.

KARISMA : Langkah ke hadapan

Para perwakilan dan pemerhati pilihan Allah sekalian,
Kini, bukan masa untuk menoleh ke belakang. Kecemerlangan kita, jadikan pemangkin untuk terus maju. Kelemahan kita, mari kita perbaiki ia bersama. Cabaran ada di mana-mana. Namun, jangan lupa peluang juga ada di mana-mana. Untuk langkah kehadapan, saya menyarankan untuk kita fokus kepada beberapa perkara iaitu :

1) Perkukuhkan tapak 1 : TPSM
Sebagai gerakan dakwah dan tarbiyyah, tarbiyyah menjadi paksi kekuatan kita. Fokus kita adalah pentarbiyahan yang sebenar. Iaitu mendidik diri kita sendiri dan juga umat ini supaya memiliki peribadi dan jati diri cemerlang.

Seterusnya membentuk sebuah masyarakat yang mampu bangun untuk mempertahankan maruah, sentiasa bermotivasi untuk mengembalikan kegemilangan ummah, dan bersedia untuk berhadapan dengan perit jerih dalam perjuangan. Sesungguhnya inilah ‘produk’ yang kita impi-impikan dari proses tarbiyyah ini. Move forward : TPSM organisasi perlu kita perkukuhkan dengan :

o    Memperkemaskan tarbiyyah ruhi melalui usaha mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan sehampir-hampirnya.
o    Berusaha merealisasikan kempen “Satu Penggerak Satu Mad’u” seterusnya ke arah “Satu Nuqaba Satu Pelapis Nuqaba”.
o    Mengusahakan perlaksanaan Majlis Nuqaba Karisma Daerah di setiap daerah sebagai medan muhasabah tarbiyyah.
o    Menjadikan pembangunan pelapis sebagai agenda penting dalam perancangan berkaitan TPSM untuk memastikan kesinambungan dakwah di IPT.
o    Memperkasakan ahli dengan kefahaman fiqh dakwah untuk membolehkan kita lebih memahami konsep perubahan bersandarkan kepada kefahaman Islam. Antara fiqh dakwah yang boleh ditekankan ialah:
    Fiqh al-Maqasid – Agar keputusan kita mengambil kira kelima-lima daruriyat yang digariskan iaitu penjagaan agama, penjagaan nyawa, penjagaan akal, penjagaan harta dan juga penjagaan keturunan serta maruah
    Fiqh al-Awlawiyaat – Agar kita mengambil kira soal keutamaan dalam membuat keputusan
    Fiqh al-Muwazanaat – Agar kita mempunyai panduan asas dalam membuat pertimbangan
    Fiqh al-ikhtilaf – Agar kita memahami seni dalam menghadapi perbezaan pendapat di antara umat Islam dan lebih-lebih lagi, perbezaan pendapat di kalangan kita
    Fiqh al-Waqi’ – Agar kita lebih memahami keadaan semasa dan faktor-faktor yang mempengaruhi perjalanan hidup masyarakat

Kumpulan-kumpulan usrah sebagai nuklues asas bagi Karisma perlu diberi nafas baru agar ia benar-benar ‘hidup’ untuk menghidupkan roh ahlinya. Tarbiyyah yang dibina di dalam usrah tidak seharusnya hanya melingkar di dalam lingkungan eksklusif tetapi seharusnya menuai usaha dakwah di dalam masyarakat khususnya di dalam golongan mahasiswa. Tarbiyyah merupakan suatu proses untuk mengembangkan potensi diri seseorang manusia dalam membentuk kecemerlangan diri, masyarakat dan negara.

2) Perkukuhkan tapak 2 : Dana
Memang diakui, kita masih lagi lemah dalam aspek ini. Usaha kita mengadakan Muzakarah Ekonomi Karisma (MUZEK) tahun 2005 dilihat sebagai langkah awal yang baik untuk memberi kesedaran pentingnya konsep perkongsian dan networking dalam penjanaan dana yang efektif. Dan dalam dua tahun selepasnya, setiap lokaliti telah nampak usaha penjanaan dana secara mandiri di kebanyakan lokaliti. Namun, ia masih bersifat on project basis dan tidak bersifat konsisten. Model  penjanaan dana di USM adalah antara yang terbaik setakat ini dalam memastikan penjanaan dana secara berterusan serta menjadi tempat untuk melatih sifat keusahawanan ahli.
Menyedari perkara ini, nampaknya bukan penjanaan dana yang menjadi perkara kritikal tetapi pembentukan ahli berpotensi sebagai usahawan dilihat sebagai perkara yang kritikal. Gerak Niaga Alam Kampus (GERAK 07) anjuran JK Dana tahun ini adalah langkah bijak untuk membangun potensi keusahawanan dalam diri seorang mahasiswa sebagai satu usaha memberi tambah nilai kepada diri mahasiswa. Akademi GERAK yang dirancang merupakan usaha kesinambungan yang baik. Namun, ia tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini. Insya Allah, ana berkeyakinan penuh bahawa jika usaha sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan, kita mampu melahirkan tokoh usahawan di kalangan mahasiswa!

3) Sinergi tenaga kita, Optimakan sumber yang ada
Bercakap soal kerja, memang banyak kerja yang perlu dilaksanakan. Namun kita perlu memahami konsep penting dan segera (important and urgent).

Inilah perlunya setiap pimpinan menganalisa kekuatan, kelemahan, peluang serta cabaran yang ada di sekeliling kita. Kenali juga stakeholders kita dalam organisasi. Dengan ini, kita akan mampu merancang dengan lebih strategik. Dahulukan yang lebih utama, dahulukan yang lebih strategik ke arah misi FIDAK kita.

Ya, kerja besar untuk perubahan besar. Namun, kadangkala kita boleh melakukan kerja kecil untuk hasil yang besar asalkan kita tidak membazir sumber, dan memanfaatkan kekuatan yang kita ada. Non-added values dalam gerak kerja kita perlu dikurangkan.

4) Dakwah mesra mahasiswa
Seiring dengan peredaran zaman, saya tegaskan sekali lagi bahawa Karisma perlu mampu dilihat sebagai organisasi mahasiswa yang terus relevan, mempunyai perwatakan yang mantap, serta berdaya saing di zaman penuh cabaran ini.  Dakwah kita perlu sampai kepada seluruh mahasiswa dan mampu diterima oleh sasaran dakwah kita yang cukup luas.

Antara inisiatif yang perlu kita usahakan ialah :
o    Memperhebat usaha untuk mendekati masyarakat
o    Mempelbagaikan kaedah dakwah sesuai dengan pasaran dakwah kita yang berlainan
o    Menjuarai isu kebajikan mahasiswa khususnya dan masyarakat Malaysia secara umumnya
5) Berjuang di barisan hadapan! Be independent, Be proactive!

“Mahasiswa mempunyai idealisme perjuangan yang tinggi”

Seringkali kita mendengar pernyataan ini. Benar atau tidak? Jawapannya ada pada diri kita! Mari kita buktikannya.

Sebagai institusi yang memfokuskan kepada mahasiswa, Karisma perlu lebih ke hadapan dalam membawa arus Islam ke dalam kampus-kampus. Kita tidak boleh sekadar berharap kepada ‘orang-orang lama’ untuk menggerakkan agenda mahasiswa. Sebaliknya, kita sendiri yang perlu ke hadapan. Kita memegang amanah ini. Dakwah hari ini memerlukan kita untuk lebih bersikap proaktif. Sama ada memberi penawar kepada masalah atau menjadi jawapan kepada setiap cabaran.

Saya mencabar setiap aktivis Karisma untuk lebih berani tampil ke hadapan. Saya mencabar setiap aktivis Karisma untuk lebih berani bersuara. Saya mencabar setiap aktivis Karisma untuk memacu agenda perjuangan mahasiswa di lokaliti masing-masing. Siapa yang berani menyahutnya?

Janganlah kita mudah merasa puas dengan hanya duduk dan menerima di dalam usrah, daurah, katibah, mukhayyam dan sebagainya. Bagi para pimpinan Karisma, sudah tiba masanya untuk kita gerakkan agenda islah dan dakwah di dalam kampus, khususnya di kalangan mahasiswa. Ini masanya untuk kita memberi khidmat kepada masyarakat.

Sebelum saya pergi ke bahagian penutup ucapan dasar saya, ingin saya cetuskan persoalan kepada semua rakan seperjuangan di hadapan saya. Mungkin anda ingin menjawabnya di dalam sesi perbahasan nanti. Sudah sediakah kita untuk lebih independent? Sudah sediakah kita untuk keluar dari bayangan JIM?

PENUTUP : MENGGEMBLENG TENAGA MAHASISWA KE ARAH FIKRAH ISLAM DOMINAN ALAM KAMPUS

Para perwakilan dan pemerhati yang saya kasihi sekalian,

Share our vision

Kita sedar usaha menggerakkan misi “Fikrah Islam Dominan Alam Kampus” tidak mampu kita laksanakan secara berseorangan. Tugas besar ini bukan hanya untuk didokong oleh Karisma, malahan ia perlu didokong oleh seluruh warga kampus.

Ingin saya tegaskan empat prinsip asas dalam perlaksanaan misi FIDAK 2015 iaitu :

1.    Iman dan Ukhuwwah
–    Kita mengajak manusia kembali beriman kepada Allah s.w.t dan RasulNya. Konsep ukhuwwah dan persaudaraan menjadi asas dakwah kita.
2.    Insklusif bukan eksklusif
–    Fikrah Islam adalah untuk semua dan bukan hanya untuk golongan tertentu
3.    Meraikan bukan meminggirkan
–    Kita meraikan setiap sumbangan ke arah kebaikan dan menggalakkan kerjasama dalam usaha ke arah kebaikan asalkan tidak bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah.
4.    Mengiktiraf bukan menafikan (sumbangan organisasi dakwah lain)
–    Kita mengiktiraf setiap sumbangan organisasi dakwah dan kesatuan di antara organisasi dakwah perlu diusahakan

Mari kita sama-sama berkongsi dengan seluruh masyarakat, misi FIDAK ini sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung. Warga kampus khususnya mahasiswa perlu digembleng untuk menggerakkan misi FIDAK ini kerana kita percaya misi ini misi mulia, kerana kita yakin dakwah ini untuk semua, kerana kita imani bersama, hanya redha Allah yang menjadi matlamat kita, insya Allah.

Al-Quran dan As-Sunnah sebagai landasan

Saudara dan saudari, sahabat seperjuangan saya sekalian

Landasan matlamat kita sudah jelas. Matlamat yang sedang kita usahakan selama ini dilandaskan dari al-Quran dan as-Sunnah serta panduan dari perjuangan generasi terawal. Islam yang kita anuti. Islam yang kita banggakan, Islam yang kita imani, kita sematkan di jiwa kita dan kita kongsikan dengan seluruh alam. Makna dan ciri Islam ini kita landaskan secara jelas dan nyata :

1.    Kita yakin bahawa hukum dan ajaran Islam lengkap mancakupi seluruh urusan manusia di dunia dan akhirat. Islam bukan hanya semata-mata ibadat atau kerohanian. Sistem Islam mencakupi aspek pendidikan, kewangan, kekeluargaan, politik, ketenteraan, hubungan kemasyarakatan dan lain-lain aspek kehidupan.

2.    Kita yakin bahawa asas kepada intipati Islam ialah al-Quran dan as-Sunnah. Jika ummah ini berpegang teguh kepada dua sumber ini, pasti kita tidak akan sesat selama-lamanya. Dua sumber ini juga menjadi sumber inspirasi dan bimbingan kita.

3.    Kita yakin bahawa Islam mengajarkan cara hidup yang praktikal. Islam is the way of life. Islam meletakkan dasar-dasar am dalam kehidupan dan membimbing manusia bagaimana mempraktikkannya di dalam kehidupan.
Inilah Islam yang kita banggakan. Mari kita sama-sama pertingkatkan ketaqwaan kita. Mari kita sama-sama kongsikan keindahan Islam ini dengan seluruh masyarakat. Agar manusia kembali semula kepada fitrah.

Genggam masa depan kita

Akhirnya, cabaran dan tanggungjawab ini berada di pundak kita. Tanpa perlu menoleh ke kiri dan kanan, mari kita sendiri yang usahakannya. Untuk mendepani cabaran arus semasa dalam dakwah, mari kita melakukan anjakan minda. Mari kita:

1.    Berfikir untuk berjaya dalam dakwah bukan hanya untuk tidak gagal
2.    Komited dalam berdakwah, bukan hanya mahu berdakwah
3.    Berfikiran besar (think big)
4.    Lebih melihat kepada peluang dakwah bukan pada halangan dakwah
5.    Lebih berani dan kreatif mempromosikan Islam dalam segenap peluang yang Allah kurniakan
6.    Meluangkan lebih masa mempelajari kisah orang yang berjaya berbanding kisah orang yang gagal
7.    Sentiasa mahu belajar dan meningkatkan diri dan bukan merasa diri kita sudah ‘cukup pandai’

Setelah berusaha, kuatkanlah pengharapan kepada Allah s.w.t.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu dan bersedialah serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya”     (Ali Imran : 200)

Apa yang kita harapkan dari semua ini, hanyalah redha Allah s.w.t.

Ayuh kita “Menggembleng Tenaga Mahasiswa Ke Arah Fikrah Islam Dominan Alam Kampus!”

Sekian, selamat bersidang!

Mohamad Amirul B Mohamad Letfee
Presiden
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma)
Sesi 2007

Advertisements
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: